Wednesday, 7 October 2015

Untuk Cemerlang - Jaga Ibadah

Semalam, ketika dalam perjalanan ke pejabat, sempat terdengar ngomelan ringkas Dr. Fadzillah Kamsah, Pakar Motivasi, di radio Sinar, siaran retro. Dalam ramai-ramai pakar motivasi, saya kira Dr Fadzillah adalah antara golongan kecil pakar motivasi yang masih relevan walaupun telah lama di bidang ini. Ada segolongannya yang sudah pupus di tengah jalan. Apa kata Dr. Fadzillah?

Kata Dr Fadzillah, beliau pernah ditanya bagaimana untuk mendapat anak yang cemerlang? Kata pakar ini, jawapannya mudah. Ibu bapa perlu menjaga ibadah. Hubungan dengan Allah perlu sentiasa dijaga kerana Dia lah Pemilik semua jenis kecemerlangan yang ada. 

Saya bukan pakar motivasi. Tapi saya pernah ditanya soalan ini oleh anak-anak saudara. Barangkali, kerana sayalah satu-satunya ibu saudara yang masih punya anak-anak sedang bersekolah di dunia moden ini. Sudah tentu anak-anak saya bukanlah yang tergolong di kalangan yang muncul di dada akhbar kerana pencapaian akademiknya yang cemerlang. Pencapaian mereka biasa-biasa saja di mata masyarakat. Mungkin cuma di mata saya mereka istimewa. Misalnya, Gem 3 yang hanya kurang 9 bulan bertungkus-lumus menghadapi PMR ketika baru pulang dari Nottingham dulu. Beliau tidakpun mendapat 8A. Cuma 6A 2B. Pun begitu, keputusan itu saya anggap sangat cemerlang. Dengan serba kepayahan persekitaran, kehendak dan bahasa, beliau mampu memperolehi sebanyak itu. Atau seperti Gem 6, mendapat 5A di dalam UPSR sehingga mengejutkan guru-guru. Ya... kerap kali kecemerlangan itu seperti mimpi. Pada ketika kita hampir tidak mengharap, Allah memberi.

Bila Allah akan beri? Apabila hubungan kita denganNya dijaga. Bagaimana untuk menjaga? Lihat dan perhatikan ibadah asas kita - solat. Jika umur sudah melepasi sekolah menengah, solat tidak cukup 5 waktu sehari, maka apakah ertinya hubungan dengan Tuhan mu? Jika, solat Subuh jarang terjaga, maka, apakah ertinya hubungan dengan Tuhan mu? Dengan segala kemudahan canggih yang ada, tidak boleh solat Subuh atau berpura-pura tidak tahu.. maka Rahmat Allah yang mana akan datang? Jika sedang bersantai-santai ke sana ke mari, luput waktu solat tanpa diperduli, maka apakah ertinya hubungan dengan Tuhan mu? Jika anak tidak solat, dan  tidak berkata apa-apa, maka, apakah ertinya hubungan dengan Tuhan mu? 

Pelik benar kerenah manusia ini. Jika dengan manusia, seringkali kita berlumba-lumba untuk mengambil kesempatan dengan adanya kroni. Untuk perniagaan, mahu ada kroni. Untuk projek, mahu ada kroni. Kadang kala untuk urusan hajipun, mahu ada kroni. Kenapa? Kerana dengan adanya kroni, kadang-kala kita diberi keistimewaan yang luar biasa. Sepatutnya, kita gagal, tiba-tiba kita berjaya kerana ada yang mengenali. Tapi, dengan Tuhan, tidak pula begitu. Bayangkan jika hubungan kita dengan Allah dijaga... apakah kita tidak istimewa di sisiNya? Jika kita istimewa, seluruh alam ini boleh jadi milik kita kerana Allah jualah PemilikNya. Dia boleh memberi kita apa saja dengan hanya "Kun Fa Ya Kun" - Jadilah, maka jadilah!

Maka benarlah kata pakar motivasi itu. Untuk anak cemerlang, untuk kita cemerlang, untuk hidup dan mati yang cemerlang, jawapannya hanya satu - JAGA IBADAH.
 

No comments: