Sunday 28 March 2010

Biarpun Kecil....

Biarpun sumbangannya kecil... bergelap tanpa cahaya eletrik selama sejam (satu jam antara 24 jam sehari x 364 hari setahun!) bagi menjayakan 'Earth Hour' .. ianya adalah satu keraian dan kami meraikan pada malam 27/3/2010 yang lepas.

Setiap kali melihat iklan 'Earth Hour', anak-anak akan berkata "Don't forget!!!".. dan mereka memang menanti kedatangannya.

Maka, beberapa jam sebelum 'Earth Hour' bermula, mereka sibuk mencari lilin-lilin (bagus juga 'kegilaan' membeli lilin dari carboot suatu masa dulu!). Kali ini, mereka memilih lilin kecil, berwarna merah jambu, berperisa strawberi!

Gem 6 dan Gem 7 berteleku memerhati lampu lilin...

"One.. two... three... switch off!", teriak Gem 5 yang begitu bersungguh-sungguh dan tidak sabar menanti untuk bergelap. Lalu, kamipun menutup semua suis kecuali satu kipas dan satu peti sejuk (keadaan panas berbahang tidak mengizinkan kami berkorban hembusan kipas angin!!). Kami membayangkan keadaan sekeliling akan gelap gelita. Tapi, hakikatnya tidak begitu. Lampu-lampu masih berkerlipan di luar sana bagaikan kurang yang peduli. Lalu, saya katakan kepada anak-anak... nampaknya sambutan tidak menggalakkan.. marilah kita batalkan perayaan ini. Gem 4 menyampuk cepat "No mummy, every little things helps! We want to continue". Kami berbaring-baring di dalam gelap. Sesekali kedengaran Gem 6 mengeluh, "It's so boring without tv, computer or play station for ONE HOUR!". Apabila ditanya apakah kami perlu memberhentikan perayaan itu, beliau cepat-cepat berkata "NOOO!" Mereka bercerita dan menyanyi-nyanyi..


Pada saya, satu jam yang gelap adalah hambatan kenangan. Lalu, saya ceritakan pada anak-anak bahawa pada 30 tahun yang lampau, saya mengulangkaji untuk peperiksaan 'UPSR' di bawah lampu minyak tanah yang suram seperti lilin itu dan berjaya mendapat '4A 1B'. Dengan lesen '4A 1B' itu saya berjaya menempatkan diri ke MRSM. Saya telah mengalami satu kejutan sosial... bahawa ketika saya hanya disinari lampu minyak tanah, ramai rakan sekelas bercerita tentang bercuti-cuti ke Paris, ke Dubai... menikmati musim sejuk di sana sini. Dan kerana ingin merasai apa yang rakan-rakan sudah rasai, saya bertekad untuk berjaya dengan usaha dan bersenjatakan doa. Tiba-tiba, kelihatan anak-anak berlari ke ruang tamu, mencari buku-buku.. kata mereka "We just want to try reading with candle light!". Entah mereka mengerti susah payah saya atau tidak. Barang kali mereka juga seperti saya.. yang tidak mengerti susah payah mak dengan zaman pemerintahan Jepunnya!

Apapun... biarpun kecil, meraikan 'earth hour' sejam tanpa lampu adalah aktiviti keluarga yang unik. Bagi anak-anak, ianya satu luahan jiwa, bagi saya pula, ianya adalah hambatan kenangan pada masa silam yang sukar!

2 comments:

ME said...

nostalgia zaman dulu2 .. meriahnya berlari2 kat luar time bulan mengambang tak pernah terfikir ada lampu yg boleh menyinarkan jalan wpun tak de bulan. I sengaja bawa my kids jln2 kat luar rumah time earth hr .. yes, ramai yg tak prihatin nak tutup lampu

SevenDrops said...

Salam Me,

Lama tak dengar berita... anak-anak I yang excited pasal earth hour.. and I'm happy for that!