Kata Ustaz (Ustaz yang sama dengan entri Sekalipun Kerana Nasi Lemak), "Kita jangan jadi hamba fesyen. Kenapa hidup kita disusahkan kerana mengejar fesyen?". Ketika mendengar pernyataan itu, saya mengangguk-ngangguk tanda setuju. Kerana beberapa tahun lepas barulah saya menyedari saya penat mengejar fesyen. Satu perlumbaan yang tidak akan menang. Jika menangpun, ia hanya sekadar seketika. Esok fesyen lain datang.
Entah bagaimana, tahun lepas saya memulakan satu nekad baru. Saya ingin mereka fesyen sendiri dengan pilihan fabrik sendiri. Saya tidak peduli lagi fesyen apakah ketika ini. Yang penting apa yang saya pakai memenuhi kriteria pakaian seorang Muslimah. Bukankah saya juga menulis "Life is about abiding by the Muslim's Clothing Code"? Salah satu siri pesanan yang ada di dalam buku "A Priceless Princess". Sudah tentu pesan itu sangat ditujukan untuk tiga anak perempuan saya yang sedang meningkat remaja. Saya inginkan anak-anak saya mereka fesyen pakaian mereka sendiri yang mematuhi hukum Tuhan:
- Menutup aurat BUKAN MEMBALUT.
- Menutup aurat BUKAN BERERTI menutup rambut tetapi memakai t'shirt berlengan pendek dan sendat.
- Menutup aurat bukan dengan baju yang jarang.
Sudah tentu impian itu tidak tercapai lagi 100%! Apatah lagi satu ketika dulu Gem 6 pernah bertanya kenapa ada remaja perempuan Muslim yang berambut perang dan tidak memakai tudung. Muslimkah mereka? Aduhai.... pernyataan Gem 6 menjadikan saya kadang kala berkata senangnya membesarkan mereka di Nottingham dulu kerana jurang pemisahnya amat jelas. Senangnya mulut mereka berkata "I cannot do this because I'm a Muslim". Rindunya saya pada sebutan itu yang sering meniti di mulut mereka. Hari ini mereka amat jarang berkata begitu. Mereka lebih berkata "Saya Melayu"......