Wednesday, 13 June 2012

Ilham

Pada 12/6/2012 yang lepas saya di arahkan untuk menghadiri satu ceramah "Nobel Lecture" oleh pemegang anugerah Nobel  (Medicine Laureate - 1998), iaitu Professor Ferid Murad. Mengikut biodatanya, bapanya seorang Muslim, ibunya pula seorang Kristian, dan dia? Entah. Tidak tahu. Tajuk ceramahnya bertema "Journey of a Laureate". Jangkaan saya ia sudah tentu dipenuhi dengan cerita-cerita inspirasi. Maka, saya sangat berkobar-kobar menanti inspirasi itu. Seawal 7.30 pagi sudah terpacak di Dewan Utama itu, sedangkan aturcara pendaftaran bermula 8.45 pagi.

Majlis akhirnya bermula ketika jam menunjukkan hampir pukul 11 pagi. Prof Ferid memulakan cerita dengan saat dia menerima panggilan dari Pejabat Anugerah Nobel ketika pukul 4.00 pagi yang ketika itu isterinya sedang tidur kerana isterinya menjangkakan berita itu akan disampaikan pada minggu hadapannya. Kemudian dia bercerita tentang usul asal Anugerah Nobel. Dan seterusnya inspirasi yang ditunggu tidak tiba-tiba kerana ia diganti dengan gambarajah molekul-molekul yang mana saya tidak ambil peduli lagi selepas peperiksaan Kimia ketika SPM dulu. Aduh... masa terasa sangat lama. Kadang-kadang saya rasa seperti sudah berada di alam mimpi. Inspirasi? Masih tiada. 

Cuma, dihujung sessi ketika beberapa hadirin bertanya beberapa soalan, sedikit inspirasi terselit. Saya tidak keliru dengan soalan yang ditanya kepada beliau, tapi saya keliru dengan jawapan yang diberi. Entah di mana silapnya. Barangkali gema mikrofon atau gema pembesar suara atau cara percakapan, jawapannya menjadi sangat sipi-sipi.

Apa yang saya dapat garap akhirnya? Cuma ini sahaja - iaitu ianya bermula dengan ilham. Ilham itu kelihatan ganjil (beliau mengambil masa 20 tahun untuk membawa ideanya ke satu tahap ianya diterima masyarakat). Ganjil itu perlu agar ilham kita menyerlah. Selebihnya adalah usaha dengan bersungguh-sungguh diiringi dengan rasa suka untuk melakukannya. Bukan dipaksa. Kemudian, faktor sampingannya ialah "berada di tempat yang sesuai dan bertemu dengan orang yang sesuai pada ketika yang sesuai ("at the right place, the right person, the right time").

Ilham oh ilham! Ia tidak boleh dibeli. Hanya Allah sahaja yang dapat memberi pada sesiapa yang disukaiNya. Mudah-mudahan Ya Allah, kami termasuk di kalangan hambaMu yang terpilih itu.

No comments: