Thursday, 12 July 2012

Tangga di Carta

Lama rasanya saya tidak kisah tentang anak tangga di sesuatu carta. Dulu-dulu, ketika remaja sibuk mengambil tahu lagu apakah pada carta tertinggi "Lagu Popular Minggu Ini" di radio. Kedudukan di anak tangga ke berapa menjadi isu penting. Malah, masih ingat lagi lagu Rindu Bayangan yang dinyanyikan oleh Jay Jay berada di puncak carta berbelas-belas minggu lamanya. Pencapaian itu dikira sangat hebat. Sekarang, tanda usia meningkat tua. Carta seperti itu tidak lagi diambil peduli.

Tapi, sejak kelmarin, ada satu carta yang mendapat perhatian. Carta buku "A Priceless Princess" di Amazon. Hari ini, saya jadikan ia terlekat di sebelah kiri blog. Satu carta untuk kedudukan di Amazon.com dan satu lagi carta untuk kedudukan di Amazon.co.uk. Apakah maksud carta itu? SUDAH TENTU ia BUKAN JUMLAH BUKU YANG telah TERJUAL. Kalaulah ia bermaksud begitu, sudah tentu saya sedang pengsan kegembiraan sekarang kerana buku itu sudah terjual begitu banyak! Ia cuma seperti carta  "Lagu Popular Minggu Ini". Setiap buah buku yang dibeli untuk sesuatu jodol merupakan satu undi popular untuk buku tersebut. Makin banyak buku yang dibeli, makin banyaklah undi popular yang diperolehi. Walaupun hanya dengan satu buku yang dibeli, ia mampu mengubah kedudukan di carta secara drastik.

Rekod terbaik "A Priceless Princess", ialah di anak tangga 1,440,172 (Amazon.com) dan  84,122 (Amazon.co.uk), dan juga di tangga 84 (top 100!) dalam kategori 4-for-3 Books > Religion & Spirituality > Islam > General. Corotkah kedudukannya? Ada lagi buku yang corot sehingga kedudukan 5 JUTA lebih! Buku Harry Potter siri pertamapun sekarang di kedudukan 420 lebih. Itupun bukunya dibaca oleh berjuta-juta manusia. Buku saya yang satu itu umpama anak bilis berlumba dengan ikan-ikan paus gergasi di lautan yang sangat luas. Dilihat secara positif, sekurang-kurangnya ia masih mampu berenang-renang.

Lalu saya terbayang carta saya di sisi Allah. Jika carta Amazon hanya bersandarkan kepada satu unsur (jumlah jualan), carta di sisi Allah banyak unsur yang mempengaruhinya. Setiap yang dicakap, didengar, difikir, dibuat ada markahnya di sisi Allah. Itu tidak termasuk perkara sunat, makruh, haram dan wajib. Saya membayangkan carta kita di sisi Allah itu sudah tentu terumbang-ambing, kerap melonjak dan menurun mengikut rentak iman di dada. Itulah carta yang paling PENTING - di hujungnya ada nilai Syurga dan Neraka. Ya Allah, tinggikanlah kedudukan carta-carta kami di sisiMu.






No comments: