Wednesday, 21 November 2012

Bercuti ke Masjid Negeri

Tahun ini tidak banyak pelan bercuti. Cuti anak-anak dan cuti ibu bapa yang tidak seragam menjadikan susah untuk merancang. Sekarang, jika terlintas untuk bercuti secara tiba-tiba, bilik hotel sudahpun penuh. Cuti sekolah tanpa perancangan apa-apa, sangat merunsingkan kepala. Sudah tahu tentang apa yang anak-anak akan lakukan untuk mengisi kekosongan masa. Tidur sangat lewat malam dan sentiasa dibayangi alatan digital. 

Ketika rakan mengajak untuk mendaftarkan anak-anak ke Program Daurah Remaja Masjid Negeri, kami terus pergi mendaftarkan Gem 5, Gem 6 dan Gem 7. Hendak juga mendaftarkan Gem 4 sekali, tapi katanya," NOOOOOOOO..... you've sent me away for one year already!!! I want to stay at home". Lalu, Gem 4 selamat. Kerana inilah kali pertama hendak menyertai program seperti ini, ia sudah tentu mendapat tentangan. Darjah tentangan berkadar terus dengan usia. Yang makin tua, makin muncung - tanda protes tidak setuju!

Bila tiba hari pendaftaran, dengan langkah yang berat, ketiga-tiga anak dihantar pergi. Mereka antara 1500 orang anak-anak yang mendaftar untuk berkampung di Masjid Negeri selama 6 minggu dari pukul 8.00 pagi sehingga ke pukul 5.00 petang. Masa yang lama, seperti masa bekerja juga! Hari ini sudah masuk hari ke empat mereka ke sana. Alhamdullillah.... tidak ada protes lagi. Mudah-mudahan, amal mereka di sana diberkati sehingga ke akhir hayat.

Ahh... kali ini tidak bercuti ke Lego Land atau Universal Studio atau bersantai di kolam renang atau di mana-mana peranginan. Kali ini anak-anak bercuti ke Masjid Negeri!

Tuesday, 20 November 2012

Menunggu Keajaiban

Tarikh 19.11.2012 yang lepas merupakan tarikh debaran terutamanya untuk Gem 6. Tarikh di mana keputusan UPSR diumumkan. Biarpun peperiksaan UPSR bukanlah penentu besar di dalam kehidupan, tetapi sijilnya yang bakal diterima akan diheret sehingga hari tua. Sudah tentu semua yang terlibat berharap biarlah ia yang terbaik.

Ketika pihak yang terlibat mengumumkan tarikh keputusan UPSR dilewatkan seminggu, orang yang paling gembira ialah Gem 6. Kenapa? Katanya, "Alhamdullillah.... I can still pray to Allah". Secara diam-diam, dia mengambil handphone saya dan meletakkan peringatan "Wake Aufa up for Qiamullaill!!!". Dan talipon itupun berbunyi ketika dinihari untuk mengingatkan. Sudah tentu keinginan melebihi bilangan perlaksanaan. Semangat yang berkobar-kobar di awal malam ditelan mimpi-mimpi.

Seminggu tidak lama. Setiap hari Gem 6 akan berkata secara kuat untuk didengari : 

6 hari lagi.
5 hari lagi.
4 hari lagi.
3 hari lagi...

sehingga akhirnya menjadi jam.

21 jam lagi.
20 jam lagi.
.......
2 jam lagi...

Kenapa Gem 6 sangat takut? Tanyalah padanya, mesti dia akan berkata seumur hidupnya di alam persekolahan dia tidak pernah mendapat 'A' di dalam pelajaran Bahasa Melayu.  Di dalam peperiksaan percubaan, beliau hanya mampu mendapatkan keputusan yang paling baik untuk mata pelajaran itu iaitu 1B dan 1C. Itulah huruf-huruf yang selalu hadir selepas beberapa lama menempuhi deretan 'F' dan 'D'. Sejarah itu menakutkan Gem 6 dan akhirnya membawa dia kepada satu pengharapan, bahawa hanya Allah yang mampu memberi keajaiban.

Jadi, pada tanggal yang dimaksudkan, kami menunggu keajaiban. Mudah-mudahan, ia berlaku. Itulah yang tersirat, tak perlu diucap.

Keputusan mula diumumkan ketika hujan turun lebat. Ada 51 pelajar mendapat 5A, kurang 4 dari bilangan tahun lalu. Nama pelajar dipanggil satu demi satu ke pentas secara rawak. Dan kami menanti. Sesekali, saya merenung ke pentas sambil cuba-cuba membilang berapa pelajarkah yang sudah berada di pentas. Kerana bakinya adalah harapan yang tinggal untuk Gem 6. Bilangan di pentas semakin ramai. Sudah melebihi 40 orang. Sesekali terpandang Gem 6 yang berbaris bersama kawan-kawannya - mukanya nampak sangat muram. Barangkali, dia juga membilang harapan yang tinggal. 

Tiba-tiba terdengar nama Gem 6 dipanggil! Dan itulah keajaiban yang ditunggu. Ketika Gem 6 berjalan laju ke pentas sambil memeluk guru-gurunya satu per satu, ada guru yang mengenalinya berkata,"Saya tak sangka awak dapat!". Uhhh ...uh... uh... rupa-rupanya Gem 6 bukan dari senarai "pelajar harapan"! Di hujung sana beberapa pelajar harapan teresak-esak mengelap air mata apabila panggilan ke pentas tidak kunjung tiba. Begitulah takdir. Pada Allah segalanya terserah dan tersurat.

Friday, 16 November 2012

Selembar Kertas Putih

Awal Muharram datang lagi. Datangnya seperti membentangkan sehelai kertas putih. Berbahagialah sesiapa yang dapat mengekalkan keputihan kertas tersebut dari bintik-bintik hitam dosa sehingga bertemu Muharram yang baru.

Mudah-mudahan, di akhir tahun ini, kertas putih yang terbentang itu tidak bernoda dengan bintik-bintik hitam dosa-dosa. Itulah harapan kita dengan azam yang berganda-ganda.

Selamat Menyambut Tahun Baru  .... .... .....

Wednesday, 7 November 2012

Di Awan Biru

Pada 5.11.2012 perlu menghadirkan diri ke Dungun. Pemberitahuan saat-saat akhir. Sudah tentu ia pemergian yang tidak dirancang. Mujurlah ada rakan sekerja yang akan pergi bersama. Kepenatan perjalanan raya yang melebihi 24 jam  masih terasa! Jadi, kami mengambil keputusan untuk balik hari. Jika balik hari, perlu pengangkutan udara. Alahai...   Kenapa? Kerana biarpun sudah berkali-kali terbang merentasi negari, negara, lautan dan benua, saya adalah seorang yang tidak suka pengangkutan udara!  Malah, dua minggu lepas saya tidak menyertai rombongan kerja ke London kerana sebahagian alasannya ialah malas untuk terbang! Ha..ha..ha...

Maka, pada hari Isnin lepas, pagi-pagi lagi sudah berdebar. Ahh.... mudah-mudahan cuaca baik. Jika, cuaca baik, perjalanan akan lancar. Mata asyik memandang ke langit. Akhirnya, saat untuk terbang tiba. Duduk di tepi tingkap. Alhamdullillah, cuaca cerah. Lalu, ketika berada di ruang angkasa, tampaklah lapisan-lapisan awan yang sangat tersusun dan cantik. Perjalanan selama 50 minit tidak terasa kerana menikmati pandangan luaran ciptaan Tuhan yang sangat damai . Awan berkepol-kepol terapung, tidak digantung. Lihatlah berkali-kali. Lihatlah berkali-kali. Teringat Surah Al-Mulk. Sudah tentu tidak ada kecacatan yang ditemui.

Di awan biru, yang tidak disukai itu, rupa-rupanya aku temui saat sangat eklusif memuji-muji Tuhanku.