Tahun ini tidak banyak pelan bercuti. Cuti anak-anak dan cuti ibu bapa yang tidak seragam menjadikan susah untuk merancang. Sekarang, jika terlintas untuk bercuti secara tiba-tiba, bilik hotel sudahpun penuh. Cuti sekolah tanpa perancangan apa-apa, sangat merunsingkan kepala. Sudah tahu tentang apa yang anak-anak akan lakukan untuk mengisi kekosongan masa. Tidur sangat lewat malam dan sentiasa dibayangi alatan digital.
Ketika rakan mengajak untuk mendaftarkan anak-anak ke Program Daurah Remaja Masjid Negeri, kami terus pergi mendaftarkan Gem 5, Gem 6 dan Gem 7. Hendak juga mendaftarkan Gem 4 sekali, tapi katanya," NOOOOOOOO..... you've sent me away for one year already!!! I want to stay at home". Lalu, Gem 4 selamat. Kerana inilah kali pertama hendak menyertai program seperti ini, ia sudah tentu mendapat tentangan. Darjah tentangan berkadar terus dengan usia. Yang makin tua, makin muncung - tanda protes tidak setuju!
Bila tiba hari pendaftaran, dengan langkah yang berat, ketiga-tiga anak dihantar pergi. Mereka antara 1500 orang anak-anak yang mendaftar untuk berkampung di Masjid Negeri selama 6 minggu dari pukul 8.00 pagi sehingga ke pukul 5.00 petang. Masa yang lama, seperti masa bekerja juga! Hari ini sudah masuk hari ke empat mereka ke sana. Alhamdullillah.... tidak ada protes lagi. Mudah-mudahan, amal mereka di sana diberkati sehingga ke akhir hayat.
Ahh... kali ini tidak bercuti ke Lego Land atau Universal Studio atau bersantai di kolam renang atau di mana-mana peranginan. Kali ini anak-anak bercuti ke Masjid Negeri!
No comments:
Post a Comment