Pada 5.11.2012 perlu menghadirkan diri ke Dungun. Pemberitahuan saat-saat akhir. Sudah tentu ia pemergian yang tidak dirancang. Mujurlah ada rakan sekerja yang akan pergi bersama. Kepenatan perjalanan raya yang melebihi 24 jam masih terasa! Jadi, kami mengambil keputusan untuk balik hari. Jika balik hari, perlu pengangkutan udara. Alahai... Kenapa? Kerana biarpun sudah berkali-kali terbang merentasi negari, negara, lautan dan benua, saya adalah seorang yang tidak suka pengangkutan udara! Malah, dua minggu lepas saya tidak menyertai rombongan kerja ke London kerana sebahagian alasannya ialah malas untuk terbang! Ha..ha..ha...
Maka, pada hari Isnin lepas, pagi-pagi lagi sudah berdebar. Ahh.... mudah-mudahan cuaca baik. Jika, cuaca baik, perjalanan akan lancar. Mata asyik memandang ke langit. Akhirnya, saat untuk terbang tiba. Duduk di tepi tingkap. Alhamdullillah, cuaca cerah. Lalu, ketika berada di ruang angkasa, tampaklah lapisan-lapisan awan yang sangat tersusun dan cantik. Perjalanan selama 50 minit tidak terasa kerana menikmati pandangan luaran ciptaan Tuhan yang sangat damai . Awan berkepol-kepol terapung, tidak digantung. Lihatlah berkali-kali. Lihatlah berkali-kali. Teringat Surah Al-Mulk. Sudah tentu tidak ada kecacatan yang ditemui.
Di awan biru, yang tidak disukai itu, rupa-rupanya aku temui saat sangat eklusif memuji-muji Tuhanku.
No comments:
Post a Comment