Sunday, 30 September 2012

Jika itu yang Tersurat

Ketika bermalas-malasan hari ini, tiba-tiba Gem 1 menunjukkan satu SMS yang diterimanya. Biarpun kandungan SMS itu membawa khabar negatif, tidak mengapalah.  Kerana kita hanya merancang. Dan Allah adalah Perancang yang Muktamad. Pasti ada hikmah yang tersurat. Tahun depan usaha lagi!

Dulu-dulu, ketika menginginkan sesuatu, pasti keinginan itu dinyatakan secara spesifik. Contohnya, "Ya Allah, makbulkanlah doaku untuk bercuti ke tempat X". Bila tiba masanya doa dimakbulkan Tuhan, tetapi demam pula. Sudah tentu ia bukan percutian yang terbaik. Kerana terlalu inginkan sesuatu, kita sering lupa bahawa sesuatu keadaan itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain yang kita terlepas pandang. Sedangkan faktor-faktor tersebut penyumbang kepada sesuatu kegembiraan yang hakiki.

Sekarang, doa lebih kepada keinginan kepada sesuatu yang berkeadaan terbaik. Contohnya, "Ya Allah, mudahkanlah  kami untuk ke destinasi X, dan pilihlah kami untuk menyertai perjalanan yang terbaik". Maka, jika keinginan tidak terlaksana, hati mudah menjadi redha. Kenapa? Kerana mungkin perjalanan kali ini tidak sesuai untuk kami. Dan Allah lebih mengetahui faktor-faktor lain yang mempengaruhi perjalanan yang dinanti. Faktor-faktor yang memungkinkan kami tidak menjadi antara yang terpilih dan terbaik!

Lalu, hati menjadi tenang. Jika itu yang tersurat, redha!

No comments: