Sunday, 9 September 2012

Semester Baru

Hari ini bermulanya semester baru. Salah satu keseronokan menjadikan pengajar sebagai profession ialah perjalanan kerja ada tempo. Bila semester bermula bererti 14 minggu dengan dunia mengajar. Sudah tentu ia berselang seli sedikit dengan penyelidikan dan penulisan.

Kemudian, minggu peperiksaan. Kemudian cuti yang panjang. Cuti bukan bererti tidak bekerja, tapi seluruh masa ditumpukan kepada penyelidikan, penulisan dan pelajar-pelajar PhD. 

Cuti semester yang berlalu ini sangat tidak produktif. Bukan disebabkan bulan puasa. Tetapi, aircond rosak bermula di musim peperiksaan sehingga hari ini. Apa yang dapat difikirkan apabila bilik bertukar menjadi sauna! Berbulan sudah sengsara. Dari minggu ke minggu menanti. Akhirnya, ada pihak berjanji akan diselesaikan hari ini. Bolehkah janji ditepati? Tungguuuuuu.

Walaubagaimanapun, sempena semester baru ini, kebanyakan pelajar PhD sudah masuk semester 3 dan ke atas. Semester yang memerlukan sepenuh tumpuan dan jiwa raga. Bagi saya yang melaluinya, semester 3 tidak ada istilah bersuka-ria. Semester untuk melaksanakan apa yang dirancang untuk dilaksanakan sebelumnya. Jika kereta, semester ini = gear 5 = pecutan sudah bermula.

Untuk Suzana yang akan berangkat ke UK dan Suraya yang akan berangkat ke Australia, syabas di atas ketekunan anda semua untuk merebut peluang yang datang. Mudah-mudahan Allah permudahkan perjalanan dan urusan sepanjang tempoh tinggal di sana.

Untuk yang tinggal, mudah-mudahan Allah membuka pintu-pintu rahmatNya untuk ke garisan penamat. Selamat berjuang. Selamat berjuang. Hidup ada liku, tapi usaha tidak berhenti di situ.

No comments: