Wednesday, 26 September 2012

Meniti Alaf digital

Hari-hari, meniti kehidupan di Alaf Digital, apakah kita bersyukur? Banyak perkara di dalam kehidupan harian yang berorientasikan teknologi komputer, komunikasi dan maklumat telah meletakkan umat Nabi Muhammad SAW di akhir zaman seperti kita, berada di posisi yang lebih mengerti tentang rahsia-rahsia kejadian Tuhan.

Contohnya, perjalanan Nabi Muhammad ketika Israk dan Mikraj, nampak sangat ghaib dan ajaib yang tidak ada sandaran logik, jika dilihat dari perspektif kehidupan di Zaman Batu. Hanya orang yang benar-benar beriman kepada setiap patah kata Nabi dan Allah sahaja yang akan menerimanya. Bagi yang lain, pasti memikirkan alasan logik bersandarkan akal, yang akhirnya akan berkata semua cerita itu dusta belaka.

Sedangkan, bagi kita yang berada di Alaf Digital, yang mampu menyaksikan segala jenis kenderaan, dari kereta yang menjalar di jalan raya sehingga ke roket yang membelah angkasa, maka kejadian Israk dan Mikraj dapat disandar kepada hujah logik. Jika manusia yang lemah akal dan kekuatan, dapat menghasilkan roket ke angkasa, apatah lagi Allah yang Maha Berkuasa. Tentu Dia Maha Mampu melakukan segala jenis perjalanan, sekalipun sehingga langit yang ke tujuh.

Satu analogi, jika seekor semut memberitahu seekor semut yang lain, bahawa dia sudah sampai ke London. Maka, apakah semut yang lain itu akan percaya? Dalam dunia semut, mana mungkin seekor semut dapat merentas negara, lautan dan benua. mati hidup balikpun tidak percaya. Tetapi, jika dilihat dari perspektif manusia, kisah semut ke London, bukan pelik. Sang semut ke London kerana tersesat di dalam sebuah beg tangan seorang manusia yang bertolak ke London dengan kapal terbang. Seekor semut mampu ke sana sambil merentasi negara, lautan dan benua. Begitulah dengan perjalanan Israk dan Mikraj, ia ada alasan logiknya jika dianalisa di luar kepompong kemampuan manusia.

Meniti kehidupan di Alaf Digital, kita dapat membuat analisa kelemahan ciptaan manusia berbanding Kehebatan Ciptaan Allah. Maklumat ada dihujung jari untuk meneroka tanda-tanda Kebesaran Allah. Sesuatu yang tidak mungkin dinikmati oleh umat di zaman-zaman yang terdahulu. Nikmat Tuhan manakah yang telah kita dustakan?


No comments: