Bulan Disember hampir berlalu. Cepat betul. Banyak entri tertunggak kerana dikejar kesibukan hujung tahun.
Entri kali ini tentang kenduri kahwin Zulfadli pada 8/12/2012. Sejak kecil dipanggil Ajun. Sempena hari perkahwinannya, barangkali eloklah dipanggil dengan namanya yang sebenar, yang ada makna. Kenduri Zulfadli bermakna kerana ia diadakan di rumah Tok. Sudah 20 tahun rumah Tok tidak ada kenduri besar-besaran begitu. Kali terakhir sudah tentu kenduri kahwin Gem 1 dan Gem 2. Maka, kami sekeluarga sangat teruja untuk turut serta memeriahkannya. Malangnya, minggu kuliah masih ada. Biarpun cuti sekolah, kami tidak mampu untuk pulang lebih awal. Dan kami sampai di rumah Tok ketika jam menunjukkan pukul 12.30 pagi Jumaat. Kendurinya pula hari Sabtu. Apabila kaki melangkah masuk, rumah Tok tampak berseri-seri. Semua ruang sudah dihiasi. Dan ada pelamin sekali.
Sepanjang hari Jumaat, masing-masing bekerja dengan penuh semangat untuk melangsaikan persiapan. Rumah Tok yang berhampiran jalan menjadi bertambah meriah apabila disinggah oleh jiran yang lalu lalang. Maka, sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam menjadi sangat meriah. Ia bukan hanya menjadi isu keluarga. Ia merangkumi jiran tetangga. Ada yang kerjanya memasak. Ada yang kerjanya mengemas. Ada yang kerjanya menyapu. Ada yang kerjanya membasuh pinggan mangkuk. Kerja berjalan dalam suasana yang harmoni.
Pada hari Sabtu, ahli keluarga rasa gementar. Bermacam-macam rasa. Takut makanan tidak cukup. Takut tetamu tidak hadir. Takut majlis tersangkut-sangkut. Tapi akhirnya, ia berjalan sangat lancar. Setiap ahli keluarga tahu apa yang perlu dibuat. Pak Lang dan kroni serta Pak Jang dan kroni, bertanggungjawab tentang urusan pengantin. Mak Ngah dan kroni sibuk hal-hal khemah dan sarapan pagi. Pak Teh jadi DJ. Pak Long tukang signal makanan perlu ditambah. Kroni Pak Cik, bertanggungjawab menyelenggara meja makan dan menyediakan minuman. Yang lain-lain, pekerja rencam. Anak-anak pula sibuk mengangkut buah tangan ke depan dan membahagikan cenderahati untuk anak-anak tetamu. Sebaik kenduri dimulakan, tetamu berpusu-pusu. Ia terus begitu sehingga jam melepasi pukul 5.00 petang. Ia seperti waktu kemuncak yang tidak surut. Sibuknya ahli keluarga Tok melayan tetamu. Ada saudara mara yang bertahun tidak bertemu, akhirnya bertemu pada hari itu.
Kenduri di kampung berbeza dengan kenduri di bandar. Makanan dimasak oleh tukang masak kampung. Hasilnya, menunya unik dan beraneka. Ia tidak ada format menu standard seperti di bandar yang rata-rata kenduri dengan menu yang serupa.
Akhirnya, semua keluarga Tok tersenyum biarpun badan lesu. Kenduri Zulfadli telah berjalan sangat lancar dan hampir sempurna. Semua yang terlibat mengucap syukur pada Allah tidak terhingga. Betullah kata Wonder Pet versi Melayu: "Apa yang Penting Kerjasama"!!
Gem 3 keletihan. Dia sepatutnya ditugaskan menjaga sesuatu, akhirnya dijumpai terlena di atas pelamin!
Gem 7 sudah 2 hari meminta untuk bermain-main di atas pelamin. Akhirnya barulah dia dibenarkan.
Ini 4 rakan baik. Malam-malampun masih bekerja ketika ahli lain sudah bermimpi... Well done!
Ketika penat masih tidak hilang, ada ahli keluarga yang berkata: Lain kali kenduri kahwin, buat begini lagi.... Siapa pula calon seterusnya???!
2 comments:
betul..kenduri kat kampung lain nikmatnya dgn kenduri kat bandar..penat yg berbaloi..
suka pelamin...simple tp cantik...
Zafwah,
Kenduri yang sangat berbaloi..
Simple kan pelamin.
Thanks.
K.Nas
Post a Comment