Monday, 31 December 2012

Ke Benua Terkecil - Siri 1

Keinginan untuk menjejak kaki ke benua terkecil pernah sekali sekala tersisip di fikiran. Tapi, keinginan itu tidak dihadapkan dengan bersungguh-sungguh pada Tuhan. Tidak seperti keinginan untuk melihat anak-anak berjaya di dalam peperiksaan mereka, yang diulang dan diulang. Pun begitu, Allah Maha Mendengar biarpun ia cuma lintasan hati yang bersahaja. Dan Allah memakbulkan dengan cara dan ketika yang tidak disangka-sangka.

Dua bulan lepas, pelajar PhD, Suraya yang bakal ke Australia untuk skim "PhD student attachment" selama lebih sebulan, membisikkan perlahan-lahan, "Saya akan uruskan kedua penyelia di sini untuk bertemu penyelia di sana!". Dan dia menguruskan dengan segera. Kami cuma perlu mendapatkan kebenaran pihak fakulti dan organisasi. Suraya menempah semua keperluan dan menyusun jadual. Sungguh, persiapannya sangat tergesa-gesa. Dan kedua-dua penyelia Suraya membawa pasangan masing-masing bersama. He..he.. masing-masing meraikan ulang tahun ke 20 perkahwinan! Rupa-rupanya saya dan rakan sekerja sudah bersahabat lebih lama dari itu, iaitu ketika kami muda remaja... Baru hari itu kami menyedari!

Ketika pulang ke kampung untuk meraikan kenduri Zulfadzli, saya membisikkan pada Tok yang kami akan meninggalkan anak-anak kami di sana selepas kenduri tersebut. Belum sempat kami tolong mengemas, kami sudah bertolak ke Shah Alam untuk penerbangan ke benua terkecil pada 10.12.2012. 

Pada 11.12.2012, kami mendarat di Melbourne, Australia. Perjalanannya memakan masa 8 jam dengan penerbangan Air Asia X. Pengalaman mendarat di Melbourne perlu dicatitkan. Kami disuruh beratur dalam kumpulan-kumpulan kecil dan kemudian seekor anjing dilepaskan untuk menghidu. Gementar sungguh rasanya walau pasti tidak bersalah. Dan pada sesi hiduan kami, anjing tersebut gembira sambil menggoyang-goyangkan ekornya apabila ia menjumpai dua benda terlarang dari dua penumpang yang berbeza. Alhamdullillah.. kami terlepas. Dan bermulalah pengembaraan kami di benua terkecil itu. 

Seterusnya, kami menaiki bas ke stesen keretapi Southern Cross. Kami sepatutnya berjumpa Suraya di situ. Tapi di mana? Terlupa tempat pertemuan! Selepas periksa semula e-mail, barulah kami bertemu Suraya. Itupun selepas kami masing-masing tunggu menunggu selama sekitar sejam. Suraya membawa kami ke apartment yang disewanya. Sesampai di sana, Suraya membuka bekal nasi dan lauk pauk. Alhamdullillah... nikmatnya kenyang selepas beberapa lama kelaparan. Uh..uh.. uh.. cuaca di Melbourne ketika itu sangat nyaman biarpun musim panas. Ia mengembalikan nostalgia bumi Nottingham yang dirindui...

Petang itu kami berehat-rehat. Masing-masing tertidur antara keletihan dan kekenyangan. Apabila terjaga, kami meronda-ronda sekitar kawasan dan meninjau-ninjau Melbourne di waktu malam. Terkejut juga dengan pergerakan pantas orang-orang di sana. Dan kamipun cuba-cuba berjalan dengan pantas. Esok ada urusan rasmi yang perlu dipenuhi.

 Kali pertama menjejak kali di Melbourne
Di depan apartment yang disewa

No comments: