Selepas misi selesai, kami melihat semua brosur yang tercapai tangan. Akhirnya, semua ahli bersetuju untuk berada sehari di Philips Island - pulau yang disediakan khas untuk habitat asli beruang Koala, Wallabi dan Penguin. Kami booking melalui talipon dan berjanji untuk diambil pada pukul 12.00 di Hotel Como. Satu tempat yang agak jauh dari tempat tinggal kami. Selepas menalipon, kami semua keluar berjalan-jalan dengan tujuan untuk mencari Hotel Como untuk memudahkan urusan esoknya.
Perjalanan malam itu sangat santai. Cuaca tidak panas dan tidak sejuk. Angin menghembus sepoi-sepoi bahasa. Dan kami temui tempat yang akan dituju dengan jayanya setelah bertukar-tukar tram. Harapan kami, urusan esok mudah. Malangnya, esoknya perjalanan ke Hotel Como, tidak secepat yang diramal. Kesesakan kenderaan di siang hari membuatkan kami terlepas bas. Kami diberi masa sejam untuk berada di perhentian utama. Jika tidak, kami akan ditinggalkan. Di situlah keperluan membaca peta menjadi sangat utama. Rakan sekerja dan Gem 1 meneroka kemungkinan perjalanan yang perlu ditempuh. Saya dan suami rakan sekerja, cuma merenung kosong pada peta. Bolehkah kami sampai pada waktunya????
Akhirnya, kami naik keretapi dan kemudian tram. Selepas itu, kata rakan sekerja,"Mulai sekarang apa yang akan membuatkan kita akan sampai ke tempat tujuan ialah kekuatan kaki berlari!". Terkedek-kedek kami berlari dari satu jalan ke satu jalan. Hati sudah hampir kecewa, tapi masih berdoa,"Ya Allah, jika perjalanan ini baik, mudahkanlah... mudahkanlah..". Akhirnya, sambil tercungap-cungap dan mengesat peluh, kami tiba ke destinasi. Alhamdullillah.
Akhirnya, kami tiba di Philips Island selepas berada di dalam bas pada waktu yang agak lama. Kenangan mengembara ke Eropah dengan bas mengingatkan saya bahawa kami perlu duduk di barisan hadapan di dalam bas. Kedudukan itu memberikan pandangan180 darjah yang tiada halangan. Dan Allah memakbulkan keinginan kami itu dengan penuh hikmah. Jika kami tidak kerana terlepas bas di Hotel Como tadi, kami tidak mungkin akan berada di barisan paling hadapan ketika menunggu bas berkenaan. Sesiapa yang diambil oleh bas dari hotel-hotel tadi, perlu turun membayar tambang dahulu. Sedangkan kami sudah bersenang lenang bersedia berbaris paling depan untuk merebut tempat paling depan di dalam bas! Sesungguhnya, Allah Maha Kaya Merancang. Sedih dan hampa kami terlepas bas, rupa-rupanya untuk dianugerahkan nikmat pandangan sejauh mata memandang. Allahu Akbar!
Apa yang ada di Philips Island? Saya miskin kata-kata untuk menceritakan kebesaran Tuhan di sana. Rasailah sendiri. Ia satu pengalaman yang sangat berbaloi.
Selepas seharian di Philips Island, kami terkedek-kedek pulang ke apartment seperti Penguin pulang petang.
No comments:
Post a Comment