Wednesday, 1 September 2010

Tabung

Ketika raya menghampiri, teringat pula tentang tabung ketika zaman kanak-kanak. Kata orang dewasa, "Menabunglah, untuk kegunaan masa hadapan". Maka, urusan menabung sudah menjadi satu kemestian, apatah lagi ketika berdepan dengan duit raya.

Ada beberapa tabung yang rupa bentuknya masih kekal dalam ingatan. Kebanyakannya buatan sendiri dari tin-tin atau kotak. Cuma sekali merasa mempunyai tabung yang dibeli - cenderamata dari Cik Pah. Ianya diperbuat dari buah kelapa, berkilat dan dilukis dengan bunga-bunga. Biarpun dibeli atau dibuat sendiri, kesemua tabung memiliki satu ciri yang serupa: kepingan syiling yang tersimpan di dalamnya terlalu sedikit. Jika, digoncang-goncang, bunyinya gemercing kuat hasil langgaran antara dua tiga keping syiling dengan dinding tabung. Dan, bunyi gemercing itu sentiasa kuat sehingga akhir hayat tabung kerana isinya tidak pernah padat. Saya sentiasa menginginkan tabung yang padat. Ingin membeli itu dan ini sesuka hati. Malangnya, keinginan itu menjadi satu mimpi. Berkali-kali saya mengimpikan agar keajaiban berlaku dan membayangkan tiba-tiba tabung menjadi padat! Namun, fitrah alam tidak begitu. Keajaiban tidak berlaku.

Kini, walau usia meningkat tua, tabung masih menjadi satu isu. Cuma, kali ini tabung itu isinya tidak dirujuk pada duit ringgit. Ia tabung amalan, buat bekalan untuk hidup di alam lain yang kekal abadi. Tabung yang bakal ditimbang di alam akhirat, menentukan syurga atau neraka, satu kehidupan yang kekal abadi. Entah bagaimana rupanya tabung amalanku ketika ini? Apakah ianya ringan seringan tabung duitku berpuluh tahun dahulu?

Dalam renungan yang panjang, tiba-tiba hatipun tersentak melihat Rahmat Tuhan. Keajaiban rupa-rupanya saban tahun berlaku dan berlalu. Nilai tabung amalan boleh diganda sekelip mata di malam Lailatul Qadar!!!

Oh Allah, masukkanlah kami dalam golongan manusia yang menerima keajaiban itu. Mudah-mudahan tabung amalan kami yang ringan menjadi padat, sendat dan berat. Mudah-mudahan, ianya mampu melayakkan kami menaungi Syurga FirdausMu.

Saturday, 21 August 2010

Ganjil

Berpuluh tahun dahulu, amat sedih dan mengharukan jika terasa diri berkeadaan ganjil. Ada bermacam kategori keganjilan. Selalunya, jika berkeadaan ganjil, maka terasa-rasa orang-orang sekeliling akan berkata-kata sesuatu mengenainya. Pun begitu, kehidupan masa lampau banyak ganjil dari 'genapnya'! Contohnya, ketika berhari raya, selalu akan kelihatan ganjil kerana tidak mampu untuk mengikuti fesyen semasa. Atau, selalu berkeadaan ganjil kerana tidak memiliki apa yang kebanyakan orang lain mampu untuk memilikinya. Lantas, tertanam satu persepsi buruk bahawa ganjil adalah lambang kalah, murah dan muram. Lama persepsi itu tertanam di situ.

Cuma, baru-baru ini, ketika membelek-belek kain dan baju untuk persiapan menyambut aidil Fitri, tiba-tiba terasa tidak endah lagi untuk bertanya apakah fesyen kain atau baju atau tudung terbaru untuk dihambat dan diheret pulang. Ketika itu terasa, mengapa selama ini perlu berlumba-lumba untuk menjadi sama? Nikmat kerana sama rupa-rupanya tidak mungkin lama. Esok atau lusa, ia menjadi lapok juga ditelan masa. Kenapa tidak berlumba-lumba untuk menjadi ganjil?

Perhatilah dengan hati yang terbuka. Ganjil adalah lambang kemenangan dan kejayaan. Tidakkah anda akan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, ijazah tertinggi kerana anda berjaya mencari dan mencipta keganjilan bertahap dunia? Tidakkah projek anda diberi markah tertinggi kerana anda berjaya menghasilkan produk dan analisa yang ganjil? Sesuatu rekabentuk atau produk yang menyerlah adalah kerana ganjilnya. Cubalah berjalan di pasar Ramadhan. Langkah anda terhenti di gerai yang memaparkan sedikit kelainan: antara kuih-muihnya, lauk-pauknya, perhiasan gerainya atau kebersihan tuan dan gerai. Kerana, ganjil itu ada satu daya tarikan yang tersendiri.

Dulu, melihat sesuatu itu tanpa diam sebentar untuk berfikir. Dalam ruang lingkup agama, banyak perkara ada kaitan dengan ganjil. Contohnya, ketika Ramadhan ini, dinasihatkan agar memburu Lailatul Qadar pada malam-malam ganjilnya. Nama Allah = 99 = ganjil. Ada 7 kasta neraka dan 7 kasta syurga = ganjil. Ada 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi = ganjil. Ada 7 benua dan 7 lautan = ganjil. Banyak amalan-amalan, sunat diganjilkan. Ketika mengambil wuduk, perbuatannya diulang 3 kali = ganjil. Ketika bertasbih dan bertahmid = 33 kali = ganjil.

Apakah hikmahnya ganjil? Tidaklah cukup ilmu untuk menafsirkan. Cuma, ianya kelihatan seperti berkata-kata,"carilah keganjilan, kerana ianya lambang kejayaan". Lalu, jika ada yang bertanya,"bagaimana untuk berjaya?" Jadikanlah hasilnya ganjil: rekabentuk / idea / tulisan / kraf tangan / perniagaan / software / hardware / cerita - mudah-mudahan di sana ada kejayaan. Nampaknya, begitulah fitrah alam. Ganjil itu 'posh', anggun, mewah!

Friday, 6 August 2010

Analisa

Analisa adalah satu keperluan dalam kehidupan sehari-hari, satu istilah kata kerja dalam dunia sains dan teknologi. Pun begitu, tanpa dunia sains pun, istilah itu perlu terpahat di hati... berulangkali sering didengari dalam ceramah-ceramah tentang muhasabah .. muhasabah.. Entah, saya kurang arif dan tidak pula pakar dalam bahasa. Bagi saya, istilah analisa dan muhasabah agak sama.

Lalu, kerana ia perlu, maka banyak juga tanpa kita sedari kita suka ber'analisa'. Tentang apa saja... gaya.. fesyen.. kerenah manusia.. tabungan... hutang... gaji...

seperti..

Saya menganalisa tentang harga barang yang serba naik. Oleh kerana adanya analisa, saya telah dapati.. harga barang tidak pernah turun.. termasuk juga harga perkhidmatan seperti tol.. tidak pernah turun. Asyik naik dan naik. Ada ketikanya ia tidak disebut 'naik' lagi.. diubah seperti 'selaras' atau 'kurang subsidi' atau apa sahaja yang seumpamanya. Bagi saya yang bukan pakar bahasa.. ianya sama sahaja = naik, kerana saya membuat analisa ringkas apabila melihat dengan sejumlah duit yang sama, saya boleh membeli sepenuh troli 10 tahun lepas, hari ini troli dengan harga yang sama, tinggal sesuku!

atau seperti..

Saya menilai prestasi pelajar... berapa peratus lulus atau gagal. Kalau banyak yang gagal, apa sebabnya. Jika ramai yang cemerlang, apa sebabnya. Kerana, dengan analisa, saya boleh membuat kesimpulan. Mudah-mudahan, situasi di masa hadapan, menjadi lebih baik dari hari ini.

atau seperti

Colin dan Colin (kedua-dua bekas penyelia saya) sering menekankan keperluan untuk sentiasa analisa secara terperinci dan kritikal. Analisa satu kunci utama untuk berjaya di dalam sesuatu penyelidikian - kata mereka. Pada pertemuan pertama lagi, mereka 'memaksa' saya untuk memiliki satu buku catatan.. kata mereka ianya perlu - untuk mencatit idea dan analisa. Lalu, saya memiliki satu buku log. Di situ saya mencatit apa-apa hasil setiap perjumpaan. Saya lekatkan padanya semua e-mail dari mereka bersama apa-apa jawapan yang saya berikan kepada mereka. Segalanya .. kerana ia penting untuk tujuan analisa. Agar .. apabila merenung helaian demi helaian.. saya boleh kenal pasti isi-isi penting yang perlu dicari, dikemaskini... bla..bla... bla... Sudah pasti ianya untuk tujuan kerja = dunia.

Namun, pada suatu hari.. dalam gelisah dan gundah gulana menghadapi ujian Tuhan, tiba-tiba saya rasa amat malu padaNya. Kerana, seumur hidup saya, saya tidak pernah memiliki satu diari untuk Tuhan... sedangkan Allah berkali-kali menyebut.. sesungguhnya DIA memiliki satu diari untuk setiap kita, satu kitab Luh Mahfuz, yang Maha Terperinci, yang mencatit apa yang terserlah dan tersirat, fizikal dan rohani. Apakah selama ini saya buta dan pekak. Tidak peduli apa yang telah tertulis dan akan ditulis, lantas sudah pasti saya tidak mampu membuat analisa yang terperinci.. semuanya sekadar ingat-ingat lupa. Apakah saya ingat tentang apa yang saya telah lakukan pada Ramadhan sepuluh tahun lepas? Jangankan sepuluh tahun lepas, yang tahun lepaspun belum tentu dapat dingat satu persatu. Lalu, saya bertekad... saya ingin memiliki satu diari khas untuk Allah. Di dalamnya saya akan catit apa yang saya lakukan. Biarlah rekodnya corot. Sekurang-kurangnya apabila saya menganalisa, saya tahu saya corot dan saya memiliki data yang terperinci. Nampak mudah.. tapi sebenarnya sukar bagi seorang saya yang tidak pernah setia pada diari. Berkali, buku kecil yang dibeli untuk diheret ke sana ke sini, hilang entah di mana.

Tadi, ketika mendengar ceramah Ustaz Roslan di TV9... ustaz berkata.. jadikanlah Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang lepas. Lalu, saya teringat pada buku kecil yang sudah comot.. di situ ada rekod untuk Ramadhan yang lepas. Mesti buat analisa!!! Mudah-mudahan.. saya dapat membuat perbandingan antara Ramadhan yang akan tiba ini dengan Ramadhan yang telah lepas... apakah naik atau turun. Mudah-mudahan biarlah ia mewarisi tradisi harga barang.. terus naik dan naik!!!!!

Salam Ramadhan untuk rakan maya yang sudi bertandang. Mudah-mudahan Allah mengurniakan nikmat rajin dan kesihatan untuk membelai Ramadhan yang datang dan akan pergi.

Sunday, 25 July 2010

Rakan Maya dan Realiti Kehidupan

Pada lewat petang Ahad minggu lepas, tiba-tiba saya mendapat panggilan daripada Nurazzah8, seorang rakan maya yang juga merupakan rakan sekerja. Katanya dengan nada sedih,"Raden Galoh (nama maya) sedang tenat di hospital. Doakanlah moga Allah meringankan kesusahannya". Saya tidak pernah bersua muka dengan Raden Galoh. Saya cuma 'silent reader' pada blognya http://onebreastbouncing.blogspot.com. Pun begitu, seolah-olah mengenali beliau dari dekat kerana kadang-kadang membaca coretan beliau yang ditulis dengan gaya bahasa yang indah dan halus. Tulisannya menggambarkan kecekalan dan pengharapan ketika beliau diuji dan diuji Tuhan.
Pada pagi Isnin, diberitakan beliau telah kembali ke Rahmatullah. Saya diajak Nurazzah8 berkunjung ke rumahnya. Setibanya di sana, saya diperkenalkan oleh nurazzah8 dengan rakan-rakan maya yang lain. Katanya, "Perkenalkan, ini SilverSarina... ini Kak Lady.... ini...." - semuanya dengan menggunakan nama maya mereka. Yang paling dikagumi, SilverSarina datang dari Kemaman menuju ke hospital semata-mata ingin berjumpa dengan rakan mayanya Raden Galoh. Setiba di hospital, beliau diberitahu tentang berita kematian, lantas bergegas pula mencari rumah ibu bapa Raden Galoh. Itulah pertemuan awal dan akhir.
Ketika saya sempat bersalam dengan ibu Raden Galoh, beliaupun bertanya,"Di mana kau kenal dia nak.. maafkanlah kesalahan beliau". Saya cuma memeluknya erat tanpa berkata apa-apa.. dalam hati cuma berkata .."Saya tidak pernah bertemu dengan anak Mak Cik!"
Dan jika berkunjung ke blog Raden Galoh... ratusan komen masih mendoakan beliau, dari dekat, dari jauh, yang dikenali dan tidak dikenali.
Yang pasti, rakan maya bukan sekadar sesuatu yang sia-sia. Ia umpama, rakan yang jauh tapi dekat di hati. Dalam konteks ukhwah, rakan maya adalah sebahagian daripada realiti kehidupan.

Saturday, 10 July 2010

Pesan untuk Anak-anak

Minggu lepas, minggu pertama semester bermula. Sejak memegang tugas, permulaan semester adalah suatu agenda biasa. Kali ini, buat pertama kalinya, ia menjadi sedikit luar biasa, apabila saya dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan urusan pendaftaran pelajar-pelajarnya. Ketika diberitahu bahawa saya perlu bersedia untuk tugasan itu, saya tidak begitu ambil pusing. Apatah lagi tugasan itu dalam proses untuk dihapuskan. Dalam hati, saya amat berharap, agar ianya dapat dihapuskan sebelum saya sempat bertugas! Namun, hakikatnya tidak begitu. Lalu, dengan hati yang amat berat.. saya melalui hari pertamanya.

Setiba di pejabat, ramai pelajar sudah berpusu-pusu. Banyak sungguh urusan.. sehingga tidak sempat untuk duduk sebentar dan bertafakur. Antara ketukan pintu yang bertalu.. deringan talipon yang tak henti berlagu.. ditambah dengan e-mel... kepala jadi pusing.

Dalam bilik yang terasa makin sempit... tiba-tiba datang sekumpulan pelajar menerpa masuk. Arghh! Mesti ada masalah lagi.. itu anggapan awal. Tiba-tiba mereka berbaris... Kata mereka, "Kami tak ada masalah puan... kami datang cuma untuk berkenalan.. ambil restu". Kata mereka sambil seorang demi seorang datang bersalam dan mencium tangan. Ketika mereka berlalu.. sempat juga saya merenung sejenak.. sepatutnya saya tidak perlu berkeluh kesah. Tidak ada di dunia ini satu pekerjaan lain selain dari pendidik yang mana anda akan disalami bagai seorang ibu, dengan rasa tulus ikhlas. Kedatangan mereka mengubah persepsi saya. Satu tugas yang saya anggap adalah beban adalah satu peluang untuk menyusuri liku-liku hidup anak-anak muda. Mereka adalah pelapis negara yang sedang berjihad untuk agama. Menuntut ilmu adalah salah satu cabang jihad.. besar pahalanya di sisi Tuhan. Apakah saya perlu lagi berkeluh kesah?

Untuk anak-anak CS230,
Selamat berjihad untuk masa depanmu dan agamamu....
Di tanganmu ada nasib ibu, bapa dan keluargamu...
Di tanganmu ada nasib bakal anak dan cucumu... generasimu di masa hadapan!
Untuk si kaya... di tanganmu ada kuasa untuk mempertahankan kekayaanmu
Untuk si miskin... di tanganmu ada kuasa untuk menoktahkan kemiskinanmu
Biarkan apa badai yang datang..
Jadikan diakhirnya sebuah kejayaan dan kemenangan!!!

Angan Gem 7

Gem 7 baru menyambut ulang tahun kelimanya bulan lepas. Beliau suka bercerita tentang apa yang beliau inginkan. Minggu lepas, ketika memeluknya, beliau berkata, "Mummy.. I want to go to America.. I want to buy a house there". Tanya saya, "Why?". Katanya, "I want to meet Justin Beber, he lives there!". Untuk memiliki rumah di USA, bukanlah satu cita-cita yang mudah. Ada dua perkara syarat utama perlu dimiliki: kepandaian dan kekayaan. Maka, kami akan berdoa agar Gem 7 dikabulkan cita-citanya suatu hari nanti, tapi.. tentulah cita-citanya untuk memiliki rumah di sana.. dan bukannya bertemu Justin, si penyanyi kecil itu!

Lalu, saya terkenang kembali cita-cita masa lampau. Ketika berusia tujuh tahun, secara diam-diam, saya ingin sekali menyaksikan sendiri bahawa fakta dunia ini terbahagi dua... di sebelahnya malam dan di sebelah yang lain pula siang adalah benar. Bukankah Allah mengabulkannya 11 tahun kemudian, lalu menempatkan saya di New York.. tempat yang benar-benar mempunyai beza waktu 12 jam dengan waktu Malaysia. Dahulu, angan saya pernah diketawakan. Hari ini saya tidak akan mengetawakan mimpi Gem 7, kerana saya benar-benar akur bahawa Allah sentiasa mendengar keinginan tersirat hambanya. Mudah-mudahan, mimpi Gem 7 menjadikan kenyataan. Jika menjadi satu kenyataan, kami memohon doa agar ianya bukan sahaja memberi manfaat untuknya, tetapi membawa kebaikan untuk ugamanya jua. Amin.

Tuesday, 22 June 2010

Santai @ Redang - Part 1


Cuti sekolah baru saja habis. Biarpun berlalu, kenangan cuti kali ini segar. Kami memulakan cuti sekolah dengan perjalanan yang jauh - tunggu Gem 4 balik dari sekolah sessi petang dan bertolak ke rumah Kak Dilah + Abg Zul di Padang Serai untuk ambil Gem 3 yang telah pulang dari asrama di Penang. Sampai di Padang Serai sudah pukul 2 pagi, kami bermalam di situ. Kesokan harinya, menghadiri kenduri Pak Jang Kamil dan seterusnya kenduri kahwin kerabat Gem 1. Ketika hari sudah petang, barulah sampai di rumah Tok. Hanya sempat berehat sebentar, bertolak pula ke rumah Pak Long untuk menziarah beliau sekeluarga. Pulang ketika hari sudah lewat malam.

Kesokan harinya pula, kami terus berangkat ke Terengganu melalui lebuh raya Timur-Barat. Aduhai.. lamanya masa perjalanan merentasi negeri Perak dan Kelantan. Di awal perjalanan, banyak tempat yang ingin disinggahi. Akhirnya, kami cuma sesekali berhenti untuk makan dan sembahyang. Kemudian terus mendapatkan tempat persinggahan. Sempat juga bertemu Ustaz Kasy sekeluarga di sebelah malamnya.

Esoknya, pagi-pagi lagi kami telah bersedia untuk menaiki bot ke Pulau Redang. Cuaca nampak tersangat baik, laut amat tenang dan langit membiru. Legalah rasa hati apabila melangkah ke bot yang sedang menanti di Jeti Shahbandar. Perjalanan ke Pulau redang mengambil masa lebih daripada sejam. Anak-anak sudah lama bergembira kerana telah menanti percutian yang dirancang ini sejak sebulan dua yang dulu.

Pakej percutian yang kami ambil berbaloi rasanya. Kos RM350 untuk dewasa dan RM150 untuk kanak-kanak, meliputi tambang bot, chalet untuk 3 hari dua malam, makan 4 kali sehari dan 3 kali acara snorkeling.

Panggilan dari pantai - bersedia untuk aktiviti pantai ...

Gem 1 bersama kamera Nikon (yang telahpun tamat hayatnya kerana'ter' snorkeling!)

Bersama Gem 7 yang amat gembira dengan acara pertama sebaik selesai mendapatkan chalet.. bersantai di laut ketika mentari terpacak di atas kepala

3 dara berendam...
Semua ahli rombongan sibuk mencari-cari ikan... ikan ada pelbagai warna dengan trumbu karang yang cantik
Di belakang .. bot untuk pergi snorkeling di tengah laut
Di belakang... chalet kami .. kayu, dua tingkat... comel.. seperti 'little house on the praire'

Semua dah terapung...

Air yang jernih dan bersih, pasir yang halus dan putih... kalah pantai Costa Del Sol!

Muka asyik menyelam.. mengejar ikan yang berwarna warni..


Inilah aktiviti Gem 5 ... tak penat-penat snorkeling...

Apalah yang menjadi perhatian Gem 6 tu?

Empat Gem di sini..

Seronok.

Gem 4 dan Gem 5 tak habis-habis mengejar ikan.. memang .. percutian yang amat berbaloi!