Monday, 21 November 2016

Pertolongan Allah yang Hampir

Dulu-dulu saya kira saya telah melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Apakah kesilapan itu? Kesilapannya ialah apabila saya berhajat sesuatu yang besar, saya seringkali mahu mencari sesorang untuk tolong mendoakan. Kenapa? Kerana saya percaya doa mereka lebih didengari. Kenapa rasa begitu? Kerana saya rasakan jika saya berdoa bersendirian .. doa saya itu terasa jauh untuk dimakbulkan. Begitulah yang berlaku tahun demi tahun.

Tetapi .. selepas suka mendengar ceramah Ustadz Nouman Ali atau Mufti Menk ... kesilapan silam itu terasa seperti sudah hilang. Terasa benar kejahilan diri. Kerana telah lama mensia-siakan Rahmat Allah untuk seluruh alam. Allah sangat hampir dengan kita semua. Kenapa kita perlukan orang lain untuk menyampaikan doa kita? Jika doa kita lambat dimakbulkan.. periksa semula semua bentuk komunikasi kita dengan Tuhan melalui rukun Iman dan Islam. Berapa banyak langkahkah kita sudah berlari mendapatkan Rahmat Allah atau kita hanya merintih tanpa zikir dan doa? Percayalah... bila kita menghampiriNya... pertolonganNya sangat hampir dengan cara yang tidak disangka-sangka.

Pada hari Ahad dua minggu lepas, kami bergegas ke Cheras untuk berjumpa dengan Gem 5 yang sedang menghadapi peperiksaan SPM. Sengaja memilih pukul 4 petang untuk bergerak kerana Gem 4 masih bertungkus lumus menghabiskan tugasannya di rumah sebelum dihantar pulang ke kolejnya di Beranang. Tetiba pada waktu kami keluar, hujan turun mencurah-curah, sangat lebat. Antara dua jalan, Gem 1 memilih jalan yang kedua kerana katanya jalan yang pertama akan lebih sesak. Ditakdirkan, setelah memilih laluan kedua, tetiba kereta di hadapan tidak bergerak langsung. Jem. Jem yang sangat teruk di tengah-tengah hujan lebat. Mata asyik melirik detik minit yang berlalu. Pukul 6, waktu melawat akan tamat. Nasi dan lauk yang masih panas telah berbungkus di belakang kereta. Hajatnya, kami akan makan bersama-sama nanti. Dalam keadaan terperangkap itu yang kelihatan tidak ada jalan keluar, mulut terkumat-kamit, membaca apa yang terlintas, memohon Allah memudahkan perjalanan kami. Tiba-tiba, sebuah motosikal berhenti di tepian jalan. Seorang hamba Allah itu, turun dan terus mencabut pagar pembahagi jalan dengan pantas. Di manakah cabutan pagar itu bermula? Dia memilih untuk mencabut pagar yang sangat hampir dengan kami. MasyaAllah... dengan cabutan itu, siapa sangka kami menjadi orang kedua yang dapat menukar haluan di antara hampir ratusan kenderaan yang terperangkap! Allah... sungguh.. pertolongan Allah sangat hampir. Kita hanya perlu menyeru. Tidak perlu emas, wang dan permata untuk melakukan seperti itu.

Pada hari Ahad yang lepas pula... kami pergi lagi untuk memberi sokongan moral untuk Gem 5. Dalam perbualannya, Gem 5 menceritakan tentang perihal peperiksaan Matematik Tambahan. Saya kira, selama ini, inilah antara mata pelajaran yang Gem 5 tidak dapat menguasai sepenuhnya. Katanya, ada satu soalan yang beliau TIDAK PERNAH menjawab selama ini kerana tidak mahir, tetapi soalan seperti itu muncul semula di dalam peperiksaan SPM sebenar. Lalu, kata Gem 5, itulah KALI PERTAMA beliau mendapat ilham di dalam dewan peperiksaan dan menjawab soalan seumpama itu dengan yakin. Allahuakbar.. sekali lagi saya kira doa tersirat dimakbulkan Tuhan. Saya sering berdoa semoga Allah bantulah Gem 5. Berilah anak ini ilham ketika dia memerlukan. Dan Allah Membantu.

Sungguh.. Allah sangat hampir. Mohonlah... kerana Allah Maha Mendengar semua permohonan hambaNya.. tidak kira kecil atau pun besar.

Friday, 11 November 2016

Keanjalan Masa

Seminggu dua lepas saya telah terlihat di Facebook seorang bekas pelajar telah upload gambarnya di pesta konvokesyen yang baru selesai. Sudah berapa lama saya tidak berinteraksi dengan pelajar berkenaan kerana subjek yang saya mengajar sudah lama diambil beliau. Lalu, saya memberi komen tahniah di atas kejayaan beliau menamatkan pengajian sarjananya dengan jaya.

Beliau membalas komen tersebut dengan kata-kata beliau masih ingat pesan saya tentang keanjalan masa. Rupa-rupanya .. saya pernah berkata-kata di dalam kelas bahawa sekiranya kita terasa masa amat pantas berlalu, banyak tugasan yang tidak sempat terhabis tapi digandakan lagi dengan tugasan lain yang bertimbun... ada baiknya kita berhenti sejenak dan membaca al-Quran atau berzikir. Percayalah... kita akan dapati (dengan izin Allah).. kita diberi masa yang panjang kerana banyak tugasan yang menghempap kita tadi telah dapat disempurnakan dalam masa yang pendek. Dan kita masih punya banyak masa lagi untuk bersenang-lenang! Sungguh... masa itu biarpun semua mendapat 24 jam sehari, keberkatannya berbeza antara kita. Ada yang rasa masanya sangat panjang. Ada yang merasa masanya sangat pendek. Rapatkanlah ke sisi Tuhan.. semoga kita mendapat nikmat merasa perspektif masa yang berbeza.

Kita tidak tahu kata-kata kita yang manakah yang akan menyentuh sesuatu hati... sukanya rasa sekurang-kurang ada juga kata-kata yang masih diingat biarpun telah berpisah lama! Alhamdullillah.



Thursday, 6 October 2016

Hubungan Dapur

Hari ini saya ingin menulis tentang Hubungan Dapur.  Ia bukan hubungan sulit, gelap atau apa-apa istilah yang ada kaitan dengannya. Ia mungkin istilah baru untuk menggambarkan satu senario hubungan yang berkait dengan kekeluargaan.

Apakah itu hubungan dapur? Hubungan dapur ialah satu situasi kita berada di dapur untuk menyiapkan juadah bersama-sama. Ia tidak hanya setakat memasak, tetapi lebih awal dari itu, iaitu bersama memikirkan tentang menu dan perbelanjaan. Sikap tolak ansur ketika merancang ini akan memupuk sikap perkongsian, yang murah atau yang mahal akan sama-sama menyumbangnya. 

Selepas barangan dibeli, maka aktiviti memproses dilakukan bersama, Ketika ini, banyak aktiviti penceritaan boleh berlaku. Ia diselit senda gurau, Jika ada masalah dan kegusaran, perbincangan santai mungkin menemukan penyelesaian. Secara tidak langsung, keakraban hubungan dijalin dan disuburkan. Jangan ada hendaknya di kala ini ahli-ahli yang hidupnya mengadu domba sepanjang masa. Ahli seperti ini akan merosakkan majlis dan merosakkan agenda.

Hubungan dapur ini tidak akan terjadi jika ahli yang datang hanya sebagai ahli singgahan. ahli singgahan hanya akan datang dan pulang dalam jangka masa yang singkat. Ahli seperti ini hanya akan mengadap apa yang terhidang. Mereka tidak terlibat dan merasa kemesraan hubungan dapur. 

Hubungan dapur ini sangat signifikan untuk menjalinkan hubungan dengan semua ahli keluarga termasuk ibu-bapa, anak-menantu, ipar-duai dan cucu-cicit. Tanpa hubungan dapur, nilai hubungan kekeluargaan merosot dan hambar. Percayalah.. cuba teliti. Siapa yang lebih di hati anda? Yang ada hubungan dapur atau yang tiada?

Thursday, 22 September 2016

Zaman Fitnah Bermaharajalela

Semalam sibuk menerima cerita dari pelbagai group Whatapps yang ada tentang kehilangan pelajar yang disaksikan. Entah siapa yang menyaksikan. Tidak tahu. Tetapi berita itu menjadi viral. Barangkali, perkataan viral sudah diterima menjadi sebahagian dari warga perkataan Bahasa Melayu. Mesej masuk berdesup desap dalam pelbagai kumpulan Whatapps yang ada. Si penghantar akan mengaku mengenali si Polan si Polan. Macam-macam kaitan seperti "saya jiran blok sebelah" atau "Adik ipar saya punya mertua punya jiran"... dan bermacam-macam pertalian. Bagi kita yang menerima .. sentiasa ada sedikit prasangka.. "cerita lama atau cerita baru"... "sahihkah berita ini?"... kerana itu selalunya ia tidak  dihantar lagi. Bayangkan kekalutan viral semalam... ada yang menghantar sudah dijumpai... ada yang menyangkalkan itu berita tipu. Kalut dan tidak menentu.

Bahana viral jangan diambil enteng. Yang sihat dikatakan sakit. Yang sakit tetapi masih hidup dikatakan mati. Yang baik dikatakan jahat. Yang alim dikatakan mungkar. Dalam zaman serba canggih ini, si mangsa fitnah tidak ada daya upaya menangkisnya yang datang bertubi-tubi dari pelbagai penjuru. Disebar dengan pantas oleh manusia yang kebanyakannya tidak pernah mengenali kita seumur hidup. Sungguh.. kita sudah terbenam  perlahan-lahan tanpa disedari ke dalam zaman ketika fitnah sudah menjadi lumrah. 

Semalam... ketika berehat sebentar dari membaca draf thesis... teringat untuk mencari Tafseer Al Kahfi dari Ustaz Nouman Ali. Kata Ustaz... Surah Al-Kahfi adalah surah yang 'awesome'. Kenapa? Kerana ia adalah surah yang disebut afdal dibaca pada hari Jumaat. Salah satu fadhilatnya ialah ia dapat menghindari dari fitnah terbesar yang bakal kita hadapi iaitu Fitnah Dajjal. Tidak ada lagi yang lebih hebat dari fitnah itu - yang di hujungnya hanya ada dua jalan .. kalah.. ke neraka dengan izin Allah dan jika menang pula.. kita ke syurga jika kemenangan itu dirahmati Allah. Kata Ustaz.. jika surah ini dapat menyelamatkan dari fitnah terbesar dengan izin Allah, maka sudah tentu ia lebih dari mampu menjadi pendinding fitnah kecil-kecilan di akhir zaman ini.

Sempena di hari Jumaat yang mulia ini... Jom kita melazimi surah Al-Kahfi ini. Inilah benteng yang diajar Nabi untuk umatnya yang sudah terpijak di zaman ketika fitnah sudah bermaharajalela. Semoga seluruh umat Islam yang hidup atau mati terselamat dari bala ini. Sesungguhnya fitnah di zaman ini tidak mengenal status kita sama ada masih hidup atau telah mati.


Wednesday, 27 July 2016

Rahmat Ramadhan

Lama tidak ada entri.  Aktiviti seharian di bulan Ramadhan sangat pantas. Ia tidak bersisa untuk bersantai-santai membelek blog. Kini, ketika jemputan masih meriah untuk merayakan Syawal, tahap malas menulis pula tinggi. Tetapi, sesekali membelek bilangan pembaca yang hadir... blog ini tidak sunyi. Ia dilawati rupanya. Maka, entri perlu diteruskan.

Saya kira, kenangan Ramadhan kali ini ialah ketika saya diajak untuk berbuka bersekali meraikan anak-anak yatim di satu lokasi. Ia ajakan yang tidak boleh ditolak selepas beberapa kali menolak ajakan lain. Keberatan untuk hadir itu barangkali kerana saya diberi tugasan untuk menjalankan satu sesi bercerita kepada anak-anak itu sebelum masuk waktu berbuka puasa. Ketika diberitahu lingkungan usia anak-anak itu, saya sudah buntu. Apa yang perlu dicerita? Bagaimana? Tidak pernah saya melaksanakan tugasan seumpama itu di khalayak ramai untuk anak-anak kecil.

Bila tiba hari yang dijanji, kami pergi. Bila tiba masa untuk bercerita, saya masih tidak ada punca. Ketika menyelak-nyelak buku sirah nabi, tetiba saya terhenti pada cerita Nabi Yunus a.s. Dari situ, saya memulakan sesi bercerita. Rata-rata anak-anak itu sudah tahu ceritanya. Saya cuma menjadi pemudah cerita saja. Pada ketika itu saya bertanya kepada anak-anak itu, "Apa yang kita akan rasa jika kita berada di dalam perut ikan seperti itu?". Maka mereka menjawab bertalu-talu... sempit.. gelap.. kotor.. Lalu saya menyampuk.. Keadaan di dalam perut ikan itu adalah keadaan sukar yang paling susah. Tidak ada jalan keluar. Jika masih ada di dalam perut ikan.. kita akan diproses menjadi najis.. jika kita dapat menembusi perut ikan.. kita akan tenggelam di dasar lautan yang dalam. Tetiba.. ada yang seakan mengetuk kotak fikiran saya ketika itu. Ia seperti menyedarkan .. Bahawa sekiranya kita bertalu-talu diuji dalam hidup.. suasana di dalam perut ikan itulah menjadi satu analogi untuk menggambarkan satu kesukaran teramat yang mungkin kita telah / sedang / akan lalui. Dan pada waktu itu .. apakah lagi yang kita perlu lakukan? Merintih? Bersedih? Kecewa? Merana? Tidak lain dan tidak bukan ... Allah Yang Maha Penyayang telah mengajarkan... berzikirlah.... berzikirlah. Ia zikir yang ringkas.. Mudah-mudahan ia menjadi penyebab Allah mengabulkan segala hajat kita!


Sungguh... saya merasakan sesi santai itu bukan untuk saya mengajar anak-anak kecil itu. Saya kira seperti Allah telah mentakdirkan saya berada di tempat itu untuk saya belajar bahawa ketika ada kesulitan yang tidak dapat diurai... ada hajat yang tidak tercapai... berzikirlah. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang akan Membuka semua jalan-jalan.



Monday, 6 June 2016

Ia Datang

Ia datang lagi. Selamat datang Ramadhan. Satu kedatangan yang sangat-sangat berharga untuk menyucikan segala dosa yang ada. Benarlah kata ustaz... Ramadhan satu rahmat dari Allah yang datang menyapa setiap hambaNya, tidak kira darjah kebesaran dan kekayaan. Tidak kira di mana kita berada. Ia datang walau tanpa jemputan.

Betapa cepatnya masa telah berlalu. Terkenang pengalaman lama Ramadhan yang berpuluh tahun berlalu. Ketika itu Ramadhan hilang dibayangi dengan Syawal. Kerana Syawal ada raya. Raya ada benda-benda yang tidak ada pada hari biasa.. baju raya.. duit raya.. kuih raya.. lagu raya... Maka Ramadhan ketika itu dilihat dalam perspektif yang berbeza. Ia sukar, penat dan lama. 

Ketika usia menginjak tua, Ramadhan sudah dilihat dari perspektif yang berbeza. Di dalamnya ada beribu rahmat yang perlu disingkap. Sekiranya kita masih punya nyawa pada Ramadhan kali ini... ucapkanlah Alhamdullillah dengan tidak terhingga. Kerana anugerah ini Allah tidak memberi pada semua makhlukNya. Berapa ramai antara kita yang baru kehilangan nyawa sebelum Ramadhan sempat menyapa.

Selamat Menyambut Ramadhan. Moga kali kita mengisinya dengan pengisian luar biasa.

Tuesday, 24 May 2016

Melepaskan Terbang

Dua hari lepas ketika dinihari kami bergegas ke lapangan terbang KLIA untuk menghantar Gem 3 ke Tokyo. Cepat benar rasanya masa berlalu. Terasa seperti baru menghantar beliau memulakan pengajian ke Universiti Teknologi Petronas. Ketika ini beliau sudahpun menamatkan semester akhirnya di situ InsyAllah. Maka, sekaligus sudah memasuki dunia pekerjaan.

Rupanya, dalam diam-diam beliau telah memohon pekerjaan di sana-sini.  Untuk permulaan, ada 3 pilihan di tangan. Satu syarikat X telah menawarkan pekerjaan dengan tarikh mula bekerja yang telah ditetapkan. Syarikat Y pula menawarkan pekerjaan selepas beliau membentangkan Projek Akhirnya. Tapi akhirnya beliau memilih untuk mencuba nasib di syarikat Z. Biarpun perlu menghadapi temuduga lagi untuk fasa ke 5, itulah jalan yang dipilih. Barangkali, kerana terliur dengan tawaran sebulan untuk berada di Tokyo dengan pembiayaan yang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat itu.


Ketika melambainya di bawah ... kelihatan beliau berjalan keseorangan menuju ke pintu masuk pelepasan. Perjalanan di hadapan pasti ada cabaran. Tapi kami melepaskan anak ini terbang. Mudah-mudahan dengan hijrah ini, anak ini lebih merapatkan hubungan dengan Tuhannya. Itulah sebenarnya sebesar-besar kunci kekuatan dan kejayaan.

Thursday, 19 May 2016

Kreativiti Datang Dari... Keunikan Kita

Semua manusia dikurniakan dengan bakat dan keupayaan yang berbeza. Oleh itu, kita disarankan mencungkil bakat terpendam yang ada pada kita dan membuat sesuatu berasaskan bakat tersebut. 

Jangan cuba mencari jalan untuk meniru atau menjadi orang lain. Untuk menyelamatkan daripada usaha kita ditiru dengan sewenang-wenangnya ialah kita perlu menggunakan keunikan itu dengan sepenuhnya. 

Orang kreatif selalu bersedia untuk menjadi diri mereka sendiri tanpa ragu. Mereka adalah di kalangan yang berjaya berdasarkan susur galur pengalaman yang mereka alami sendiri.

Apakah bakat kreatif yang aku punyai???

Wednesday, 18 May 2016

Kreativiti itu.... Ubah Cara Berfikir

Katanya kreativiti itu hanya akan ditemui jika kita tidak membuat sesuatu mengikut prosedur biasa. Kerja-kerja yang dilakukan secara sama dan rutin akan membunuh kreativiti.

Katanya.. cuba mencari jalan alternatif yang luar biasa untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Jika kita selalu buat begitu, kali ini kita buat begini... Oleh itu kita akan mengeluarkan diri kita dari zon selamat. Bila kita tidak berada di zon selamat.. otak kita kan lebih berputar untuk menyelesaikan masalah. Putaran otak seperti ini yang dijangkakan memberi suntikan kreativiti yang istimewa.

"Be a Beginner.. Forever.. Don't Do Things the Usual Way; Do them in Unsual Way".

Tuesday, 17 May 2016

Kreativiti Adalah ....

Kreativiti adalah...  bukannya berkisar tentang sesuatu yang dihasilkan seperti lukisan.. novel.. rekabentuk rumah... Bukan itu! Tetapi kreativiti itu adalah diri kita sendiri yang mencambahkan idea-idea unik untuk membentuk masa depan yang lebih baik. Kreativiti adalah penemuan peluang-peluang emas yang hilang atau masih tidak ditemui. Ia bukan sekadar menghasilkan artifak atau objek .. tetapi megubah sempadan taraf hidup. Itulah kreatif.

Nampaknya... selama ini istilah kreativiti disalahtafsirkan oleh diri sendiri... hu.. hu ..hu... kerana itu kita hanya penat berusaha mengahasilkan sesuatu tetapi tidak merubah apa-apa .. umpama penat berlari setempat!

Wednesday, 11 May 2016

Ilmu Kreativiti Datang Bergolek

Puas ditenung-tenung di mana hendak dicari unsur kreativiti dalam diri. Ia seperti tidak pernah berkembang. Tidak dibaja. Lalu, hilang ditelan masa. Atau.. apakah kreativiti itu adalah semulajadi? Apakah ia datang bersama jasad yang dilahirkan? Tidak boleh langsung dipupuk? Ia soalan yang datang di fikiran dan melekat di situ tanpa jawapan.

Dua minggu lepas saya menemani Gem 4 yang mahu menghabiskan voucer bukunya. Gem 4, Gem 6 dan Gem 7 sibuk mencari-cari buku-buku di kedai Popular itu. Saya tidak ada tujuan. Ada buku yang dipegang untuk dibeli, diletakkan semula ke tempatnya.

Bila pulang, saya tertarik dengan salah satu buku yang dibeli oleh Gem 4. Jika melihat pada kulitnya, saya tidak akan membelinya. Tajuknya bercelaru.. tidak tahu yang mana satu.


Namun, bila diselak lembaran buku ini satu persatu ... Alahai... rupa-rupanya inilah bahan bacaan yang saya hajati. Ia datang bergolek di depan mata dengan izin Allah tanpa saya perlu atau pun tahu untuk mencarinya - "The Art of Creative Thinking" oleh Rod Judkins. Bahasanya mudah, penceritaannya menarik. Entri akan datang saya akan kupas semula intipati menarik yang ada di dalamnya. 

Tuesday, 10 May 2016

Bingkisan Istimewa

Pada minggu ini saya mendapat bingkisan istimewa dari Gem 7. Katanya sempena Hari Ibu. Kata saya.. (setelah mendengar ceramah Ustaz Azhar Idrus) ... hari-hari ialah Hari Ibu. Kerana Hari Ibu yang diwar-warkan itu untuk meraikan dewi rupa-rupanya. Ia berlawanan dengan tatacara iman seorang Muslim. Maka, sambutan seperti itu perlu dijauhkan. Tidak mengapa ucapan itu dilontarkan tanpa bersempena dengan mana-mana hari dan tarikhnya.

Namun, bingkisan Gem 7 itu akan diabadikan di sini atas dua sebab. Sebab pertama, ianya ada unsur kreativiti unik. Dari mana dia mendapat idea tidaklah diketahui. Sebab kedua, kerana keunikan itu, ia menyentuh hati seorang ibu.

Kata-katanya:
                     Thank you, for everything, in my life, forever

                      DAN

Ada garisan tangannya sendiri yang ditekap serta nota ringkas yang mengiringinya:

                      This is my hand                     
                       And it will be holding to your heart forever

"So sweet!!!"


Sunday, 8 May 2016

Mencari Unsur Kreatif

Suatu masa dulu saya fikir (dan kita sangat dilatih) untuk menjadi saintis. Maka, seluruh keupayaan otak hanya berkisar tentang Matematik dan Sains. Dari Tingkatan Empat sehinggalah ke usia tua.. segalanya berkisar tentang fakta dan formula. Cuma akhir-akhir sini, ketika mendengar ceramah di sana sini, melihat sekitar tentang ini dan itu... menganalisa yang jauh dan yang dekat.. rupa-rupanya untuk berjaya dalam erti kata yang sebenar.. ialah wajib memiliki satu unsur dalam diri iaitu kreativiti!

Dengan unsur kreativiti ini kita boleh menjadi luar biasa. Berupaya membawa unsur kelainan yang dapat membezakan antara kita dan mereka. Malah.. sekarang.. pada waktu ini... ketika mencari pekerja.. banyak syarikat besar meletakkan syarat terlindung untuk mengambil pekerja.. iaitu mempunyai unsur kreativiti.

Katanya.. negara kita akan menuju ke pendidikan berasaskan kreativiti. Agaknya .. setelah berpuluh tahun merdeka tetapi terlena.. ia dikejutkan juga bahawa untuk berjaya dan menguasai dunia.. unsur kreativiti itu wajib ada.

Lalu, ketika ini saya bersyukur yang tidak terhingga kerana diberi Allah untuk membawa kesemua anak-anak untuk mengikuti pembelajaran berasaskan kreativiti pada usia mereka belum dewasa. Hari ini.. saya menyaksikan unsur kreativiti itu ada pada mereka dan makin timbul. Unsur itulah yang akhirnya saya akur saya wajib mencari ketika ini... ketika usia sudah tua.... 

Tuesday, 3 May 2016

Hanya Biasa-Biasa

Tahun ini ialah tahun ke lapan blog ini diwujudkan. Saya kira tujuan utama blog ini ialah untuk menyimpan gambar-gambar kenangan ketika kami sekeluarga melaluinya. Ia dapat dicapai selagi ada rangkaian Internet. Maka semua anak-anak dapat menyelusuri sejarah dan kenangan yang ditinggalkan.

Agak payah untuk memulakan penulisan blog ini. Kerana ia bukan kebiasaan. Menulis bagi saya suatu masa dulu sangat susah. Saya sudah membina blog dan menghapusnya berkali-kali. Payah sungguh untuk mencantum ayat dan cerita. Saya kira faktor utama saya meneruskan blog ini ialah ketika disapa oleh seseorang dari Jepun. Beliau berkata konsep bercerita yang saya lakukan ketika itu bagus untuk kenang-kenangan di masa hadapan. Saya meneruskan coretan bukan kerana pujiannya, tetapi kerana saya baru terasa bahawa coretan yang tidak seberapa ini boleh dibaca di mana-mana. Maka, ia sangat sesuai untuk menjadi rujukan anak-anak di masa hadapan tidak kira di mana mereka berada.

Rupa-rupanya, coretan ini sampai jua ke mata-mata pembaca maya yang entah di mana mereka berada. Jika dulu ia hanya dibaca oleh beberapa orang, sekarang ia melonjak ke angka melebihi 50 orang untuk sehari. Siapakah pembaca ini? Sudah tentu saya tidak mengenali ke semuanya. Namun, kehadiran anda memberi semangat untuk terus menulis.. mudah-mudahan jika ada kebaikan di sini, ada juga sedikit pahala yang dapat dikaut untuk ke alam sana yang kekal abadi.

Blog ini hanya tulisan biasa-biasa. Terima kasih kerana sudi membaca .....

Friday, 22 April 2016

MRSM Kuala Krai: Satu Simbol Keajaiban Doa

Pada 13hb Februari yang lepas, saya dengan sayu menulis entri ini http://sevendrops.blogspot.my/2016/02/ketika-sedang-diuji.html. Ketika itu saya rasakan saya berada di gaung yang dalam dalam menyelesaikan beberapa perkara. Seperti menemui jalan mati tanpa arah untuk langkah ke hadapan. Salah satunya ialah usaha untuk menempatkan Gem 6 ke asrama sebaik beliau menginjak ke tingkatan 4. 

Sudah menjadi tradisi kami menghantar anak-anak ke asrama penuh ketika di Tingkatan Empat. Biarlah ada seribu orang yang berkata apa ada pada asrama penuh yang perlu diburu. Kami sebagai ibu dan bapa akan tetap menghantar anak-anak ke sana. Kerana bagi kami ia tidak serupa. Di rumah, situasi seperti fenomena burung hantu. Tidur di siang dan berjaga di malam hari. Sudah tentu mereka berjaga untuk tujuan sekolah.. tetapi itulah sahaja pengisiannya. Namun, kewujudan PT3 yang berserabut dan hanya 6 daripada sekolah asrama penuh yang dibuka untuk dipohon (berbanding dengan 69 sekolah tahun sebelumnya), ia menyekat terus peluang Gem 6.

Kami telah mencuba dengan sedaya upaya. Namakan saja jalannya. Jalan lurus... jalan bengkok, pintu depan.. pintu belakang, ada kabel.. tanpa kabel... jawapannya tetap serupa. Ia menuju ke satu jawapan iaitu GAGAL. Kami sudah kehilangan arah untuk mencuba. Pun begitu, Gem 6 seakan tidak mengerti. Banyak barang baru yang dibelikan pada tahun-tahun lepas, tidak diguna. Bila ditanya, dia akan menjawab dengan selamba,"I want to use them later.. at hostel". Tidakkah dia mengerti bahawa peluangnya sudah ditutup mati?

Selalu saya melihat dia masih berterusan solat hajat. Kadang kala saya bertanya, apa hajat yang diminta. Katanya, hajatnya untuk ke asrama. Atau Gem 6 ingin hari-hari sampai ke sekolah lebih cepat. Bila ditanya kenapa, katanya di sekolah ada bacaan surah Yasin. Dia ingin menumpang doa untuk dikabulkan hajatnya ke asrama. Lalu.. di dalam hati ini pasti ada sayu. Tidakkah dia mengerti bahawa peluang itu sudah lama berlalu? Bukan gagal untuk ambilan pertama... ambilan kedua.. ketiga juga gagal baginya untuk ke asrama. Dalam diam-diam.. saya berdoa.. Ya Allah.. kabulkanlah permintaan Gem 6. Ia ada kena mengena dengan imannya. Bayangkan.. dia menaruh sepenuh keyakinan doanya didengari Tuhan. Doanya pada waktu-waktu mustajab.. Saya sangat bimbang akan timbul di sudut hatinya.. lintasan keraguan 'apa ada pada doa dan waktu mustajabnya', kerana di akhirnya hajat besarnya tidak terkabul dan dia kecewa. Ia akan memberi kesan pada keyakinannya pada doa pada masa masa hadapan. Entah bila.. saya pernah berkata.. jika Gem 6 dapat ke asrama pada ketika yang memang seperti tiada harapan, saya akan tulis di blog satu entri .. tentang kisah ini sebagai satu simbol keajaiban doa. Untuk kenang-kenangan di masa hadapan.

Siapa sangka... tepat 2 bulan selepas saya dengan sayu mencoret cerita bahawa jalan Gem 6 ke asrama sudah buntu, Gem 6 dapat mendaftar di MRSM Kuala Krai, Kelantan.

Siapa sangka.. bila Allah memberi, pemberiannya sangat pantas. Pada waktu Maghrib hari Ahad dapat sms berjaya dari MARA, hari Isnin beli barang, hari Selasa bertolak ke Kelantan dan hari Rabu terus mendaftar.

Allahuakhbar... ia cuma cerita-cerita biasa. Tapi bagi kami yang merasa... ia tetap dianggap satu simbol keajaiban doa.

Kita tidak tahu, bila Allah akan memberi. Tapi tetaplah berdoa dan berharap dengan mendekatinya lebih dari sebelumnya. Kerana yang pasti.. Allah sedang menguji kita dalam pelbagai bentuk ujian untuk mengukur tahap redha dan iman.

Monday, 4 April 2016

"Proud With MARA" = Hasil Karya Gem 4

Gem 4 masuk peraduan menulis Essay antara institut pengajian tinggi di bawah MARA. Tidak sangka beliau memenangi Tempat Pertama. Sudah beberapa hari saya meminta untuk membacanya. Hari ini baru terima email darinya.

Saya abadikan di sini hasil tulisannya:



Monday, 28 March 2016

Kali Kedua: Mencari Kekuatan

Selepas melalui sesi kali pertama dulu, ada beberapa kelemahan telah dikenalpasti. Contohnya, sesi ceramah itu sangat mirip dengan rutin syarahan setiap hari. Ia hanya mendatar tanpa intonasi. Ia hanya berkisar dalam fakta di dalam slaid, tidak pandai berceloteh lebih dari itu. Tapi.. saya bisikkan pada diri sendiri.. itu kali pertama, bercerita sesuatu dari sisi agama, dalam bahasa Inggeris, yang tidak pernah saya terfikir untuk lakukan pada masa lampau. Maka, sesi yang hanya dihadiri dengan bilangan kurang dari 20 hadirin itu hanya sebagai pemula.

Pada awal bulan ini, saya disapa oleh rakan sekerja dengan pertanyaan.. "mahukah saya memberi ceramah yang sama untuk sesi Santapan Rohani pada pelajar baru.. sekitar 500 orang?". Tanpa berfikir, terus saya katakan 'ya' sebagai jawapannya. Fikir saya ini peluang yang sesuai. Peluang kedua untuk menerokai alam baru dengan ilmu yang sangat sedikit. Saya cuma seorang saintis komputer biasa.. yang punya keinginan besar untuk berkongsi dengan sesiapa yang sudi mendengar.. bahawa untungnya kita hidup di akhir zaman ini. Di zaman teknologi digital ini, telah menjadikan perkara yang pelik dan luar biasa pada zaman dahulu, dapat dilihat semula dengan perspektif berbeza sambil menyaksikan Kehebatan Allah yang tampak di mana-mana. Apabila dunia digital yang sekular ingin dibincangkan dengan kaitan keugamaan, maka ia sangat mencabar. Kerana yang ingin berbicara itu kurang segalanya... bukan seorang ustazah atau al-hafizah. Bukan seorang pendebat atau pemidato hebat. Ya... ia kerja sukar.

Pun begitu, peluang kedua itu diambil. Slot yang diberi ialah slot terakhir di hari terakhir. Ia satu cabaran untuk bercerita di saat perut berkeroncong dan selepas dua sesi ceramah lain di slot yang terdahulu. Alhamdullillah... melihat sekitar gambar-gambar yang dikirim... ia berjaya. Dari sesi ini saya sudah bersedia untuk sesi-sesi seterusnya... jika ada yang sudi untuk menjemput. Jauh di sudut hati saya ingin sekali ke satu tempat itu untuk bercakap-cakap tentang ini. Tidak tahu bilakah ia akan dikabulkan. Entah setahun, dua tahun, tiga tahun atau bertahun-tahun. Ia doa tersirat... Mudah-mudahan ia jadi nyata.







Thursday, 17 March 2016

Rindu Seekor Kucing

Pada hari Ahad yang lepas, dalam perjalanan pulang dari kampung, kami singgah sebentar menziarahi anak saudara ipar yang baru kehilangan ayah seminggu yang lalu. Pemergian arwah ayahnya agak pantas. Bermula dengan seperti satu lecur kecil di kaki sehingga melarat ke pembedahan pertama dan kedua. Dalam masa seminggu. Khabarnya, melihatkan sakitnya, tidak disangka oleh ahli keluarga bahawa mereka akan kehilangannya. Penyakit yang kelihatan biasa-biasa, rupanya luar biasa.

Ketika kami menjejak kaki ke rumahnya, terdengar bunyi kucing mengiau. Bunyinya sedikit pelik.. sekali dengar pula seperti meraung sayu. Kata anak buah, sudah beberapa hari kucing itu tidak lalu makan. Asyik meraung ke hulu ke hilir. Semasa kami bersembang-sembang, si kucing ini datang bermanja-manja. Sesekali ia berbunyi juga. Sayu. Kata anak buah, selalunya setiap lepas Subuh, kucing ini akan menunggu arwah ayahnya pulang dari masjid. Arwah ayahnya akan menyediakan makanan dengan resepi istimewa. Ketika diceritakan begitu... sebak juga melihat ibu kucing yang meraung itu. Tidak pernah seumur hidup hampir mengalir air mata untuk seekor kucing yang kehilangan seorang manusia yang rapat dengannya!

Alahai.. rindu seekor kucing.. siapalah yang tahu. Semoga dengan kesedihan kucing itu bertukar menjadi rahmat yang melimpah untuk si arwah. Bukti kasih sayang sesama makhluk di hadapan Allah. Bukankah cerita sejarah pernah didengar bahawa ada seorang wanita dihadiahkan syurga kerana menjamu minuman untuk seekor anjing yang kehausan? Sungguh.. Allah SWT sahajalah yang Maha Tahu.

Tuesday, 1 March 2016

Empayar Kita

Perkataan empayar seperti sangat jauh dari kita. Seperti jauhnya langit dari bumi. Dulu-dulu terpaksa belajar mata pelajaran sejarah... maka ketika itu perlu mempelajari empayar-empayar yang terdahulu seperti empayar kesultanan Melaka. Sudah tentu, bagi saya, empayar itu umpama cerita-cerita sejarah yang tidak wujud pada hari ini.

Malangnya, kewujudan empayar sentiasa silih berganti sehingga ke hari ini. Lihatlah bagaimana Mark Zuckerberg membina empayarnya melalui 'Facebook'. Bill Gates dengan 'Window' nya, Steve dengan 'Apple' nya. Empayar mereka menakluki sepelusuk dunia. Kadang-kadang, keinginan untuk menjadi seperti mereka ada... cuma keupayaan saja yang tiada.

Pun begitu, sebagai seorang Muslim, kita tidak dapat lari dari membina empayar sendiri. Di alam abadi nanti, hanya kita dan empayar kita yang berdiri untuk diadili. Penghujungnya hanya ada dua pilihan, antara syurga yang hidupnya bersenang-lenang atau neraka yang hidupnya sentiasa terseksa.

Siapakah yang berada di dalam empayar kita untuk di alam sana? Seluruh keturunan di atas kita dan di bawah kita. Rekod anak, cucu, cicit, mak, ayah, datuk, nenek moyang dan yang seumpamanya saling berkait dalam perkiraan dosa dan pahala.

Sungguh... sekiranya kita membayangkan empayar yang abadi itu.. sudah tentu kita sangat berkira tentang agama, asal dan keturunan, perilaku dan tata susila. Segala-galanya tentang ahli keluarga yang kita ada. Sempurnakah solat kita dan mereka? Sempurnakah puasa kita dan mereka? Hati wajib tertanya-tanya di manakah tahap keimanan dan keislaman kita dan mereka. Sesungguhnya.. kita dan mereka adalah di dalam empayar yang sama di alam sana yang kekal abadi. 

Sunday, 28 February 2016

Interaksi Secara Maya

Dulu-dulu, hampir keseluruhan interaksi sesama kita dilakukan secara bersemuka. Bersembang, berlawak jenaka, menasihat, membebel, marah, mengajar ... hampir keseluruhannya secara berdepan. 

Masa sudah merubahkan sebahagian besar norma kehidupan kita. Ketika kita saling berdepan, kita kerap benar melakukan perkara tadi bersama dengan rakan maya yang entah di mana. Masing-masing mengusung pelbagai gajet peribadi dengan aktiviti tersendiri ketika kita berhadapan dengan individu lain di depan mata.

Rupanya, ia bukan setakat aktiviti komunikasi sosial sahaja secara maya. Rupa-rupanya termasuk aktiviti harian yang rasmi. Contohnya, minggu lepas, saya bertemu kali pertama dengan pelajar sarjana yang baru mendaftar. Itulah mungkin perjumpaan pertama dan terakhir. Selepas itu, komunikasi semuanya berjalan secara maya. Saya cuma mengenali mereka melalui rentetan email. Barangkali, rupa bentuk tidak lagi penting, yang penting nama pada email yang dirujuk.

Sungguh.. masa merubah segalanya.. banyak perkara yang nyata, hanya menjadi maya. 

Saturday, 13 February 2016

Ketika Sedang Diuji

Ketika jalan di hadapan kabur, dan tiada jalan pilihan, maka dunia seperti ada sekatan. Bila sesekali terasa begitu.. teringat kisah lampau yang sentiasa menjadi inspirasi untuk diri sendiri.

Suatu masa dulu, ketika berhempas pulas mencari idea untuk menyelesaikan masalah penyelidikan, saya telah temui jalan yang sangat buntu. Seperti tidak ada sebarang penyelesaian langsung. Ketika program komputer yang ditulis memerlukan masa 10 tahun untuk mampu memberi jawapan, penyelia pula sangat mendesak untuk menambah bilangan data sehingga ke angka juta. Pada saat itu, saya hanya mampu menyelesaikan masalah yang melibatkan ratusan sahaja! Jauh sekali bilangannya di antara keupayaan sendiri dengan kehendak penyelia yang seakan tidak mengerti. Ketika itu, saya terasa dunia sudah kelam. Jalan di hadapan berbalam-balam. Tidak langsung nampak jalan. Keluh kesah tidak terhingga sambil mengadu nasib kepada yang Esa. "Tolonglah hambaMu ini... yang buntu ilham. Tolonglah hambaMu ini yang dunianya sekarang sangat kelam"... begitulah yang dirayu. Bertalu-talu. Terutama ketika terjaga di tengah malam. 

Ketika melalui hari-hari yang sangat duka. Ketika hampir putus asa. Allah memberi jalan keluar dan memudahkan segalanya.

Ketika ini saya kira saya sedang berdepan dengan kepekatan malam dan jalan yang berbalam-balam. Jika dulu hidup sedih dan berkeluh kesah... hari ini saya tenang sekali. Kerana saya pasti Allah sedang menguji. Dan Dia sedang Memerhati. PadaMu ya Allah segalanya kami menyerah. Terangkanlah jalan di hadapan yang kelam.... Semoga ada cahaya di sebalik jalan yang berbalam-balam.

Tuesday, 2 February 2016

Idola yang Telah Tiada

Sesekali teringat idola yang telah tiada. Tidak pernah bertemu. Cuma saban minggu dulu-dulu sering membaca tulisannya di dada akhbar. Ruang di akhbar itu tidak banyak untuknya. Namun, dari tulisan pojok itu saya memerhati keindahan sesuatu yang sangat rutin. Dari tulisannya, banyak mengajar nikmat solat dan mengajak melakukan solat malam. Dari penceritaannya, indahnya komunikasi individu simple ini dengan Tuhannya di sepertiga malam. Penceritaannya tentang komunikasi itu menjadi inspirasi yang tidak ternilai. Kini, idolaku telah tiada. Sumber inspirasi yang hilang, tidak nampak ada pengganti.

Selalu tertanya-tanya apakah yang akan dilontarkan jika dia masih ada. Tentang isu itu dan tentang isu ini. Jawapannya sangat lantang dan berani. Islam yang ditunjuknya sangat indah bersama implementasi. Kini, suara lantang itu hilang bersama idolaku yang telah tiada.

Tuesday, 26 January 2016

Liaw 35 @ Saloma Bistro

Adakah perkataan 'liaw" dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka? Tidak tahu. Yang pasti, itulah perkataan yang digunakan oleh budak-budak MRSM Kulim satu ketika dulu. Istilah yang menggambarkan keluar secara 'haram' dari maktab. Lama saya telah melupakan kehidupan di MRSM Kulim dulu. Tidak banyak perkara untuk dikenang selain dari belajar, makan dan tidur. Sangat tidak aktif ketika itu. Atau tidak pandai menjalani aktiviti sosial.

Setelah beberapa kali tidak ambil peduli kenangan lama, akhirnya saya terpanggil untuk pertemuan semula dengan rakan seangkatan batch 81-85 atau dikenali dengan nama Kulima. Akhirnya kami bertemu di Saloma Bistro yang pemiliknya rupa-rupanya merupakan rakan sekelas. Alahai... bertemu semula selepas mengikat persahabatan tersirat menjangkau jangka 35 tahun! Ramai benar yang saya tidak kenali lagi. Masing-masing ada yang kembang ke depan, kiri atau kanan. Atau ada yang sudah luruh rambut atau rambut sudah keputihan. Saya kira ramai di antara mereka  yang sudah menginjak tahap jutawan. Memiliki perniagaan yang maju atau menerajui organisasi yang hebat. Pun begitu, definisi kejayaan sudah tentu berbeza. Kerana kita masing-masing dihujani dengan ujian yang berbeza oleh yang Maha Pencipta. Lalu, nilai kejayaan kita berbeza dalam konteks yang berbeza.

Pada malam itu paling lucu.. semuanya bersikap keanak-anakan. Benarlah kata seseorang yang didengari sayup-sayup... "Malam ini kita telah melupakan angka usia kita". Ya.. riuh rendah dengan usikan dan ketawa. Si Nakal zaman itu bangun memohon ampun dan maaf. Malah kedengaran pertanyaan dari yang menjadi mangsa "kenapa hang kata aku...". Jawab Si Nakal... "Mana aku tahu... sudah 35 tahun berlalu!" Aduhai... kesakitan dan kepayahan masa lampau bertukar menjadi manis di saat usia sudah menginjak tua.

Tidak habis di situ, semua rakan-rakan perempuan diajak bermalam di rumah salah seorang dari peserta. Aduh! Hebatnya kondo mewah dia. Terpacak di tengah-tengah kota raya, berlatarbelakangkan bangunan KLCC yang sangat cantik melatari panorama malam. Kata Gem 1, nilainya melebihi 6 Juta... Bertuahlah badan si pemiliknya. Siapa tahu.. tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia terselindung di sebalik takdir. Sepanjang malam itu, kami menongkat mata  untuk tidak lena. Berceloteh sehingga menjelang dinihari. Agaknya masing-masing hanya tidur sekitar sejam sahaja. Kami menyambung semula celoteh sehingga pukul 10 pagi dan pulang bersama cenderahati yang menarik.

Anehnya kehidupan masa lalu. Persahabatan yang diikat tetap semarak dan tidak rapuh ditelan zaman. Semoga persahabatan ini berterusan di bawah lindungan Ilahi. Pun begitu... di sebalik riuh rendah.. saya merenung wajah-wajah di depan mata mata satu per satu. Siapa sangka.. siapa sangka nasib kita ketika ini jika berbanding dengan masa silam yang suram? Sesungguhnya Allah Pemilik semua yang ada... Hanya DIA yang mampu Memberi kepada sesiapa yang disukaiNya. Jadilah hamba yang Disuka... 

Tuesday, 19 January 2016

Sudah Setahun Berlalu

Rupa-rupanya sudah setahun Mak berada di alam lain. Tidak sangka pula semalam bermimpi bersama-sama Mak  dalam mimpi yang panjang.

Al-Fatihah untuk Mak tersayang.. damailah Mak di sana.

Sunday, 17 January 2016

Syukur.. Kita Masih Punya Nyawa

Dua minggu lepas dimulai dengan berita kematian. Awal-awal pagi Isnin, berita kematian pertama diterima, suami rakan sekerja meninggal dalam usia yang muda. Melihat raut wajah rakan sekerja yang masih muda dengan anak-anak yang masih kecil, sangat memilukan. Tidak puas si anak bermanja dengan si ayah. Tidak puas si ayah memanjakan anak, bila tiba ketikanya, semuanya berpisah jua. Sedia atau tidak, rela atau tidak. Ia tetap dan pasti berlaku.

Selepas menziarahi kematian pertama, terima pula berita adik ipar Mak Som sedang sakit tenat. Mak Som sekeluarga sangat dekat di hati. Mak Som merupakan pengasuh setia keempat-empat anak kami. Maka sesiapa yang ada kena-mengena dengan Mak Som, kami anggap jua seperti saudara mara sendiri. Ketika berkira-kira untuk menziarah pada petang hari Selasa, petang itu juga diterima berita kematiannya. Ketika menziarah ke rumahnya, jenazah baru tiba dari hospital.  Lalu, Gem 1 memberi isyarat untuk tunggu sehingga jenazah dibawa ke masjid untuk disembahyangkan, selepas Isyak. Ketika itu baru sekitar pukul 4.30 petang. Saya masuk ke rumah, tanpa mengenali sesiapa yang lain. Mengambil tempat di sudut rumah yang hujung. Saya kira anak-anaknya sudah besar belaka. Tetiba, saya melihat kelibat seorang budak lelaki kecil di sisi jenazah. Tingginya, keletahnya, saiz tubuhnya seperti Gem 7. Sesekali air matanya mengalir laju. Sesekali tangannya mengusap-usap kaki arwah ibunya. Dari perbualan sekelililing... anak bungsu arwah ini sangat manja dengan ibunya. Tidurpun masih dipeluk ibu. 

Tanpa disedari, air mata saya mengalir sangat laju. Teresak-esak di sudut rumah itu. Kali ini saya seperti mencipta senario baru. Seolah-olah sayalah yang mati ketika itu. Aduh... apakah saya sudah melakukan semua kewajipan?. apakah saya sempat mengucap kalimah shahadah? Apakah yang saya rasa ketika itu.. adakah saya sedang meminta-minta ihsan Allah supaya diberi nafas barang seketika untuk menyebut SubhanAllah.. kerana ketika itu saya sudah nampak balasannya yang tidak terkira banyak? Atau adakah saya ketika itu memohon ihsan untuk dihidupkan semula.. untuk menghargai apa sahaja yang ada di depan mata? Apakah saya juga sedang meminta-minta untuk hidup barang seketika, mencium sepuas-puas hati anak yang sedang mengusap kaki ketika itu?

Lalu, saya melihat pula telatah anak yang baru yatim itu. Apakah yang dirasanya? Barangkali beliau akan sanggup dileteri sepanjang hidup asalkan ibunya hidup kembali. Atau mungkin sanggup mengerjakan apa sahaja suruhan ibu selamanya.. jika ibu dapat hidup semula.

Dari jauh saya memerhati di sebalik deraian air mata. Sesekali, saya terlihat anak sulungnya memandang ke arah saya dengan kehairanan. Siapa saya? Bukan kerabat atau sedara mara. Bukan sahabat atau rakan sekerja. Tetapi air mata yang gugur sama sepertinya ... anak sulung arwah si mati. Dia tidak mungkin akan tahu yang ketika itu saya meletak diri saya sebagai jenazah ibunya. Yang sedang diulik oleh anak-anak-anak sendiri.

Ekor mata saya sentiasa menuruti kelibat anak bungsu arwah si mati. Melihat dia bertafakur di sisi si mati. Melihat dia diajak untuk melihat ibunya dimandikan. Melihat dia diajak menyembahyang jenazah ibunya. Melihat dia ke van jenazah mengiringi ibunya untuk kali terakhir. Esakan saya semakin tinggi.. sehingga kelibatnya hilang di dalam kepekatan malam.

Ketika masing-masing beredar... saya seperti terjaga dari mimpi dan rasa amat bersyukur kerana saat ini saya masih punya nyawa. Satu pemberian Allah yang sangat berharga dan semakin menuju ke saat akhir. Ayuh... kerana kita masih punya nyawa... kita masih punya kesempatan untuk mengumpul dana hidup di alam sana.

"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (79)", Al-Isra', Ayat 79.

Semoga kediaman akhir kita semua di Syurga paras tinggi. Aamiinn.