Sunday 27 October 2013

Ujian Hidup

Ujian hidup tidak mampu diduga. Ia datang sebagai takdir untuk Allah menduga. Seperti Mak diduga dengan peha yang patah pada usia tua. Badan lemah, Pendengaran sangat kurang dan penglihatan yang amat kabur. Serba salah untuk anak-anak membuat keputusan, Tidak dibedah, Mak tidak boleh bergerak langsung. Jika dibedah, faktor usia melambatkan kesembuhan. Mak masih tidak sembuh sepenuhnya, malah demam pula dengan suhu yang agak tinggi. Rabu lepas sempat juga pulang menemui Mak dan menjaganya hampir 24 jam. Seharian melayan kerenahnya atau merenung tubuhnya yang lemah.. rasa sangat sayu. Seawal usia 13 tahun saya sudah hidup berdikari di asrama. Mencari masa depan sendirian. Kemudian, perpisahan menjadi semakin jauh dan jauh. Awalnya, merentas negeri.. akhirnya merentas benua. Namun, Mak saya bawa ke mana-mana di dalam hati. Perjalanan hidup sangat membataskan sentuhan fizikal.

Pun begitu, seharian di hospital membawa diri melihat ujian hidup orang lain dari pelbagai dimensi. Contohnya, seorang mak cik tua masih tersenyum menyapa saya. Apabila ditanya... beliau baru melawat adiknya yang kebetulan sama wad dengan Mak. Katanya, beliau akan pergi ke wad yang lain untuk melawat adiknya yang lain pula. Lepas melawat adik itu, beliau akan pergi ke wad lain pula untuk menjaga suaminya yang sakit. Pada ketika yang sama, anak lelakinya yang kurang upaya terlantar di rumah akibat strok! AllahuAkbar... beratnya tanggungan mak cik tua itu yang tidak sempat ditanya siapakah namanya.

Atau kisah seorang kakak yang menunjukkan batu-batu hitam yang dikeluarkan dari hatinya. Itu baru batu... ada lagi penyakit merbahaya yang perlu ditanganinya lagi... wajahnya tenang.. menerima ujian hidupnya dengan redha..

Atau... tiba-tiba menerima khabar suami seorang sahabat karib kemalangan. Dek kerana mengelak seorang kanak-kanak down syndrom melintasi jalan, kereta Pajeronya perlahan-lahan terjunam ke sungai yang berarus deras. Kisahnya menjadi tajuk di akhbar utama. Betapa beliau hampir-hampir lemas dan tidak berupaya membantu juruteknik yang bersamanya daripada hanyut bersama arus deras. Ibu bapa juruteknik itu pula berada di Mekah.. hanya beberapa hari lagi akan kembali!

Atau seorang jiran kehilangan kereta Hilux nya... seperti biskut Chipmore. Sebelum ke surau kereta ada, bila pulang sudah tiada!

Sungguh... ujian hidup tidak terduga... Ya Allah kuatkanlah iman kami untuk mencari redhaMu.


3 comments:

Penjejak Mimpi said...

Muga kita semua tabah terima ujianNya...

ME said...

semoga mak Ira cepat sembuh. ujian kita berada tidak sedaerah dgn ibu yg sakit.. di sini menanti di sana menunggu.. duduk di sini kita teringat di sana duduk di sana teringat tjwab di sini. semoga mak Ira cepat sembuh.. byk2 bersabar & berdoa

Anonymous said...

Terima kasih kawan-kawan....