Friday 11 November 2016

Keanjalan Masa

Seminggu dua lepas saya telah terlihat di Facebook seorang bekas pelajar telah upload gambarnya di pesta konvokesyen yang baru selesai. Sudah berapa lama saya tidak berinteraksi dengan pelajar berkenaan kerana subjek yang saya mengajar sudah lama diambil beliau. Lalu, saya memberi komen tahniah di atas kejayaan beliau menamatkan pengajian sarjananya dengan jaya.

Beliau membalas komen tersebut dengan kata-kata beliau masih ingat pesan saya tentang keanjalan masa. Rupa-rupanya .. saya pernah berkata-kata di dalam kelas bahawa sekiranya kita terasa masa amat pantas berlalu, banyak tugasan yang tidak sempat terhabis tapi digandakan lagi dengan tugasan lain yang bertimbun... ada baiknya kita berhenti sejenak dan membaca al-Quran atau berzikir. Percayalah... kita akan dapati (dengan izin Allah).. kita diberi masa yang panjang kerana banyak tugasan yang menghempap kita tadi telah dapat disempurnakan dalam masa yang pendek. Dan kita masih punya banyak masa lagi untuk bersenang-lenang! Sungguh... masa itu biarpun semua mendapat 24 jam sehari, keberkatannya berbeza antara kita. Ada yang rasa masanya sangat panjang. Ada yang merasa masanya sangat pendek. Rapatkanlah ke sisi Tuhan.. semoga kita mendapat nikmat merasa perspektif masa yang berbeza.

Kita tidak tahu kata-kata kita yang manakah yang akan menyentuh sesuatu hati... sukanya rasa sekurang-kurang ada juga kata-kata yang masih diingat biarpun telah berpisah lama! Alhamdullillah.



2 comments:

Penjejak Mimpi said...

Assalamualaikum wbh Kak Nas.

Singgah menjengah khabar.
Memang selalu rasa 24jam tu tak cukup..
Dateline semakin menghampiri sedangkan kerja setiap masa semakin bertambah. Tugasan sedia ada belum disiapkan lagi bertambah kerja baru.

Satu ilmu baru saya dapat pagi ni. Alhamdulillah.
Thanks Kak Nas.

Azmil said...

Solat itu rehat. Kadang ada diantara kita yang solat dengan tergesa-gesa kerana ada kerja yang belum selesai. Kenapa perlu risau akan perkara tersebut sedangkan yang memberi keizinan perkara itu selesai atau tidak Allah s.w.t jua. ?

Ada satu petikan dari buku 'Mudahnya Menjemput Rezeki'.
Kata penulis: "Kita sering kali dengar ungkapan ini, "Kita kena usaha, rezeki Allah bagi" dan "Rezeki Allah bagi, kita kena usaha".

Ada perbezaan pada kedua-dua ungkapan tersebut. Pertama, "Kita kena usaha, rezeki Allah bagi". Ungkapan ini bermaksud, kita sebagaj hamba, kena berusaha untuk melakukan sesuatu perkara, samada untuk mencari wang dan sekecil-kecil perkara. Kemudian bergantung pada Allah s.w.t untuk memberi rezeki tersebut kepada kita selepas usaha yang dilakukan.

Berbeza dengan ungkapan yang kedua, "Rezeki Allah bagi, kita kena usaha". Ungkapan ini tampak sama seperti yang pertama tadi. Apa yang berbeza? Perbezaannya ialah, ungkapan kedua ini membawa maksud, kebergantungan kita pada Allah s.w.t dalam melakukan sesuatu hal adalah keutamaan yang paling tinggi. Kita berharap padanya untuk memberi rezeki, kmdian disusuli dengan usaha perbuatan kita. Contoh mudah, kita melakukan sesuatu pekerjaan, kemudian masuk waktu solat. Kita berhenti, dan solat dahulu. Kemudian kita bekerja semula. Bagi yang bekerja dengan majikan, kita tak boleh ikut suka hati berhenti dan solat. Ini soal lain. Namum bagi yang berkemampuan, eloklah sebegitu.

Tq Dr.