Tuesday 29 May 2018

Malaysia Baharu - Pernah Di Dalam Mimpi-Mimpi

Lama tidak menulis. Mood untuk menulis agak hilang atas beberapa perkara. Barangkali bosan dengan penantian buku kedua yang akan diterbit tetapi tidak muncul-muncul. Atau ketika hampir pilihan raya... bosan dengan kerenah dari pelbagai susuk parti. Seperti sudah tidak tahu pada siapakah yang harus diberi amanah. Maka, banyak faktor sekeliling menternak kemalasan untuk menulis.

Pun begitu, ketika endah tak endah esok adalah hari pilihanraya, sempat juga memasang youtube sambil memeriksa kertas-kertas tugasan yang wajib ditanda. Kadang-kadang, menjenguk ceramah-ceramah 'live' di Facebook. Sebelum tidur, sempat juga mengambil wuduk dan solat hajat sambil berdoa sunguh-sungguh... Ya Allah.. kurniakanlah kepada kami pemimpin yang dapat mengendali negara ini dengan betul. Hapuskanlah kezaliman yang ada sekiranya ia zalim dan leka. Tidak pernah rasanya saya berdoa dengan sungguh-sungguh untuk negara seperti begitu. Tidak pernah. Barangkali kerana sangat gundah dengan situasi semasa.

Keesokannya, saya bersemangat untuk menjadi antara yang terawal untuk mengundi. Sudah berkali-kali mengundi. Tidak pernah saya melihat ramainya orang keluar mengundi. Berjela-jela barisan sehingga perlu menunggu sekitar 3 setengah jam. Proses sangat perlahan. Seperti tidak menggunakan logik langsung untuk mempercepatkan urusan. Tabah. Akhirnya, jari terpalit tanda sudah mengundi.

Bila keputusan mula dipertontonkan, saya tidak ambil kisah langsung. Terbayang, keputusan pilihanraya yang lepas.. antara di yang dipapar di TV tidak sama dengan yang dipapar di laman-laman digital. Saya cuba pekakkan telinga, tidak mahu membayangkan. Tapi ia tidak bertahan lama apabila menerima whasapp bertalu-talu dari pelbagai kumpulan yang ada. Masing-masing sangat teruja dengan keputusan semasa. Maka, proses tunggu dan tunggu dan tunggu untuk tahu keputusan akhir yang tidak muncul. Jam di dinding sudah melepasi angka 3 pagi. Ketika yakin Malaysia Baharu akan wujud, barulah matapun mula mengantuk. Pun begitu, tidak pernah.. ya tidak pernah rasanya takut untuk masuk tidur. Kerana takut apa keputusan yang didapati akan hilang seperti mimpi pada keesokan harinya!

Akhirnya, Malaysia Baharu telah muncul. Ia cuma dengan secalit pangkah. Telah berkali-kali pangkah sebelum ini .. dan berkali-kali kalah. Kemenangan itu selalu ada di dalam mimpi-mimpi bertahun-tahun lamanya. Dengan Rahmat Allah ia jadi nyata. Semoga negara ini dapat diselamatkan dari bencana tangan-tangan haloba yang mengaut hasil untuk kantung sendiri. Ketika rakyat mengira-ngira duit syiling yang ada, mereka ada ratusan juta di pelusuk rumah. Pun begitu, ada rakyat yang masih buta..... terkeliru di sebalik kerenah pura-pura suci.

Alhamdullilah. Terima kasih ya Allah kerana memakbulkan wujudnya Malaysia Baharu yang selalu ada di dalam mimpi-mimpi....

1 comment:

bbet99 said...

"Dapatkan SUPER BONUS NEW MEMBER 150% dalam permainan dan mainkan permainan kesukaanmu hanya dalam 1 user id. Ikuti juga promo menarik lainnya yang kami sediakan hanya di bbet99.fun . 100% TERPERCAYA.
BOLA ONLINE
Agen Bola
Taruhan Bola"