Wednesday, 21 September 2011

Rombongan Cik Kiah ke Corfu Island, Greece

 Di depan hotel 5 bintang ... kononnya hotel paling bagus di sini!
 Ini bukti kerja
 Macam lukisan... cantik
 Di kota lama
 Bersantai di kota lama
 Pemandangan kedai-kedai di pusat bandar
 Sesekali terserempak geng sendiri.. buat kaji selidik apa yang telah dibeli
 Berkeliaran di pusat bandar  Corfu Island.. Panas terik! Sesekali ditegur oleh mak cik - mak cik Corfu yang pelik melihat manusia pakai tudung di tengah panas terik - "Hey! Life is short.. wear what ever you want to wear.. why do you have to cover??". Lalu, kami menjawab... "Life in the Hereafter is longer. We want to be happy there!"
 Sabun minyak zaitun
 Kedai pinggan mangkuk
 Selepas shopping souvenirs
 Hotel terlalu hampir dengan airport
Pemandangan dari pinggiran hotel kami menginap

Corfu Island.. cantik. Tapi, jika ditanya, mahukah ke sana lagi? Jawabnya, cukuplah hanya sekali!

Tuesday, 20 September 2011

Sistem Oh sistem

Sekarang musim mengisi borang secara online untuk pelajar-pelajar darjah 6 dan tingkatan 3 memohon masuk ke sekolah berasrama penuh. Pendaftran dibuka sehinnga bulan Oktober. Biarpun begitu, pihak sekolah meletakkan tarikh tutup hampir sebulan lebih awal. Entah.. saya kurang faham dengan sistem berkomputer  yang  yang dikatakan automatik ini. Kita perlu mengisi dan mencetak sebanyak 3 salinan, kemudian salah satunya dihantar secara manual ke sekolah yang dikehendaki! 

Beberapa kali mencuba untuk masuk ke website berkenaan, ia gagal. Mesejnya serupa sahaja. Memikirkan masa yang tinggal cuma beberapa hari, sudah tentu ia menimbulkan rasa resah gelisah. Apatah lagi jika gagal mengisi, bermaksud gagallah hajat untuk ke asrama penuh. Lalu, sayapun menalipon pejabat berkenaan. Ia disambut mesra dengan kata-kata,"Bukan puan saja yang bermasalah, ramai yang membuat aduan seperti ini. Puan perlu mencuba lagi berkali-kali terutama pada waktu larut malam atau ketika awal pagi". Aduh! Rasa terbakar sungguh dengan jawapan ini. Mungkin ia tidak menjadi masalah untuk saya mencuba lagi berkali-kali di waktu larut malam atau dinihari. Kerana di rumah ada komputer dan Internet berkelajuan tinggi. Tapi, di sudut hati, saya menjadi marah kerana keadaan ini juga perlu dilalui oleh para ibu bapa lain yang kurang berkemudahan. Apakah mereka perlu bertenggek di cyber cafe pada larut malam atau dinihari? Itupun belum tentu sistem akan beroperasi? Atau akan berulangkah peristiwa pelajar paling cemerlang tidak mendapat apa-apa tawaran kerana tidak mengisi borang secara online ini? Aduhai ... sistem oh sistem. Kitakah yang membuat sistem untuk memudahkan kerja kita atau kitakah yang menjadi hamba sistem yang tidak sempurna ini??????!

Monday, 12 September 2011

Good Luck to Gem 3 and Gem 5

We wish both of you the very best of luck for UPSR (Gem 5) and SPM-TRIAL (Gem 3). May Allah bless both of you with hikmah - not only you can answer correctly but can impress the examiners to give the most possible marks.

From us,

Sunday, 4 September 2011

Raya: Maaf Zahir dan Batin

Sekejap rasanya Ramadhan berlalu, kini sudah Syawal ke enam. Raya kali ini lebih sempurna kerana dapat bercuti panjang - 9 hari, tanpa memikirkan urusan kerja. Dapatlah beberapa hari berbuka puasa dengan kaum keluarga dan Tok.

Puasa dan Raya kali ini juga, kami juga berpeluang berbuka dan beraya di Hospital. Pak Long jatuh sakit dibulan puasa sehingga ke Syawal masih di sana. Satu kesempatan untuk bertafakur sebentar mengenang nikmat Tuhan yang sering dilupakan - iaitu sihat.  Maka, dengan melihat kepayahan si sakit, dapatlah membisikkan pada hati, sungguh, sungguh... nikmat sihat ialah nikmat sebenar. Nikmat untuk sungguh-sungguh beribadat dan mendekatkan diri pada Tuhan. Kerana, ketika sakit, ibadat sudah tidak sempurna. Ketika itu, kita mungkin akan bertanya, apakah ada lagi hari-hari seterusnya untuk kita mendekati Tuhan dengan lebih sempurna?

Sempena Syawal ini, kami sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir dan Batin untuk seluruh keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan sesiapa saja yang pernah mengenali kami. Mohon dimaafkan segala ketelanjuran kata dan sangka.





Bersama Mak dan Kakak

Kemeriahan Aidil Fitri sungguh terasa. Hari-hari dalam setahun yang dapat menghimpunkan seluruh ahli keluarga untuk kenal-mengenali dan menjalan aktiviti bersama. Sesekali, perasaan sayu datang menghambat .. kerana memikirkan dalam setahun, hanya sekali dapat bersama seperti ini. Maka ketika itu, aku terkenang kehidupan mak yang akan kembali sunyi sehingga bertemu Aidil Fitri sekali lagi, itupun jika umur mak masih panjang...

Thursday, 18 August 2011

Penyelia

Dulu-dulu tidak pernah terfikir untuk menjadi penyelia PhD. Setakat menjadi penyelia projekpun sudah terasa sukarnya. Namun, masa telah berubah dan merubah persekitaran yang ada.

Hari Ahad lepas, hampir pukul 1 tengahari, tiba-tiba talipon berbunyi dengan nyaring. Rupa-rupanya, panggilan dari Azlina. Katanya,"Kak, saya dah rasmi jadi student Phd akak". Lapan tahun lepas, ketika saya begitu sibuk menyiapkan itu dan ini untuk berhijrah menyambung pelajaran, Azlina selalu datang ke bilik untuk bertanya khabar. Sesekali, beliau akan berkata, "Kak, belajar sampai dapat PhD. Bila akak berjaya, saya akan jadi student akak". Kini, kata-katanya sudah tersurat menjadi takdir. Rakan sekerja yang juga menjadi rakan karib sudah bergelar pelajar sendiri. Pasti saya teruja dengan ketentuan Tuhan ini. Dengan pendaftarannya, saya sudah menutup kouta pelajar yang ingin diselia. Cukuplah dengan enam pelajar PhD yang ada - satu akan  ke semester 4, 1 ke semester 3, 2 ke semester 2 dan 2 ke semester 1.  Saya ingin menumpukan pada kumpulan pelajar yang ada ini.

Cara menyelia pelajar PhD sudah pasti tidak sama, bukan sahaja antara penyelia yang ada, bahkan antara tempat, universiti dan negara. Lain padang, lain belalang - agaknya itulah ungkapan yang sesuai. Secara kasarnya, seseorang penyelia akan mengikut jejak langkah dan gaya penyelianya juga.

Saya dulu diselia oleh Prof Colin dan Dr. Colin. Mereka datang dari berlainan latar belakang dan fakulti. Yang satu berkecimpung dalam bidang literasi dan merupakan penyelidik yang aktif. Memiliki grant penyelidikan yang berjuta-juta. Yang satu pula lebih muda. Tapi pernah menyertai pasukan yang membina software yang telah dijual ke berpuluh-puluh universiti - iaitu software untuk 'marking' tugasan pelajar sains komputer. Beliau juga mempunyai grant yang tersendiri. Ringkasnya, semasa saya menjalankan penyelidikan bersama mereka, soal duit tidak menjadi masalah untuk diminta. Saya diberi kebebasan untuk ke mana sahaja dengan perbelanjaan mereka.

Kali pertama berjumpa mereka, saya cuma diberi 2 pilihan - pilih antara dua projek:
  • Projek pertama - lebih mirip kepada proposal penyelidikan saya. Tapi kata mereka, ia satu penyelidikan yang sudah stabil. Untungnya, saya akan mudah mendapatkan pelbagai rujukan. Ruginya, saya akan bekerja keras untuk bersaing dengan penyelidikan yang sedang berjalan.
  • Projek kedua - saya akan meneroka satu bidang baru. Setakat waktu itu, tiada lagi yang seumpamanya. Kata mereka, untungnya, apa-apa yang saya hasilkan ialah penemuan baru. Ruginya, saya akan mengalami kesukaran mencari bahan bacaan.
Entah datang dari mana kekuatan dan keberanian, saya memilih pilihan yang kedua - yang penuh berisiko.

Sepanjang menjadi pelajar mereka, mereka TIDAK PERNAH bertanya:
  1. Apa tajuk PhD saya nanti.
  2. Apa objektif penyelidikan.
  3. Apa signifikannya.
  4. Apa reserch framework.
  5. Apa methodology yang diguna pakai.
Sepanjang menjadi pelajar mereka, mereka berkata, BACA.BACA.BACA.

Setiap kali berjumpa, kami akan duduk berbincang sambil minum kopi yang dibancuh oleh Prof Colin. Agenda pertama, saya perlu bercerita apa yang saya temui sepanjang proses membaca. Agenda kedua, mereka akan memberi komen untuk hala tuju seterusnya. Jika perlu, saya akan dirujuk kepada pakar-pakar lain dari USA atau negara Eropah. Semua perhubungan dengan pakar-pakar tersebut hanya melalui balas-membalas e-mel yang berkesan. Agenda seterusnya, menetapkan tarikh pertemuan seterusnya. Setiap kali pertemuan, ia berjalan dengan harmoni. Minda rasa terbuka dan semangatpun berkobar. Mudah-mudahan, di pertemuan seterusnya, saya ada sesuatu yang baru lagi untuk dibincangkan. Sungguh, pengalaman menyelidik bersama mereka sungguh menyeronokkan. Penyelidikannya terbuka dan luas. Tiada sekatan minda dengan protokol atau terma-terma.

Sudah tentu saya tidak suka keadaan penyelidikan yang disekat dengan perkataan. Yang ini terlebih, yang ini tidak boleh. Syukurlah, saya ditemukan dengan rakan sekerja yang mempunyai corak bekerja yang sama. Maka, untuk pelajar-pelajar yang kami selia, inilah kaedah yang digunapakai. Nampaknya, setakat ini pelajar-pelajar yang ada rasa selesa dengan cara yang ada. Alhamdullillah.

Di bulan yang kudus ini,
Kami mohon doa ya Allah,
Kurniakanlah kejayaan bagi semua pelajar-pelajar kami.
Terimalah jihad kami bersama.
Mudahkanlah yang sukar.
Cepatkanlah yang lambat.
Tinggikanlah yang rendah.
Ya Rahman, Ya Rahim,
Penuhkan jiwa kami dengan hikmah.
Ya Rahman, Ya Rahim,
KepadaMu kami berserah.

Saturday, 30 July 2011

Salji di I-City

Beberapa tahun dulu, saya ada menulis entri "Dari Nottingham ke Lake District - Memburu Salji yang Hilang" kerana beberapa kali mengharungi musim sejuk tanpa salji. Suka benar dengan salji - suka tentang sejuknya, tentang putihnya, tentang suasananya ..... ahhhh... salji tetap akan menjadi satu perkara sentimental - kerana ia pernah menjadi satu simbol doa sekeluarga.

Semalam, kami menghampiri I-City lagi. Lama tidak berkunjung ke situ kecuali jika ada tetamu. Jika tidak mahu tenggelam dalam lautan manusia, usah menghampiri I-City selepas pukul 6 petang. Ketika kami singgah di situ untuk mengintai Snow Walk, rupanya ada promosi - pukul 10 pagi - 6 petang, dewasa cuma RM15 dan kanak-kanak, RM10. Kami datang semula sekitar pukul 3.30 petang. Terus mengambil tiket untuk masuk. Selepas membeli tiket, perlu ambil jaket. Alahai... bosan juga dengan layanan di situ. Disambut dengan muka yang muncung. Menjeling tajam bila minta ditukarkan jaket yang tidak berfungsi... seolah-olah mereka saja yang tuan dan kita cuma peminta-minta. Kalau disebut, mungkin kata rasis... tapi jika diberi pilihan, saya lebih suka dilayan oleh pekedai berbangsa Cina.. mesti layanannya mesra! Layanan... itu yang 'kurengggggggggg......', selebihnya kami menikmati suasana sejuk yang diimpikan. Untungnya, jika terlalu sejuk, boleh pulak bersantai di luar untuk merasa panas semula. Anak-anak nampaknya sungguh gembira. Gem 7 tidak habis-habis berkata -"It feels like England!". Entahlah.. tidak pasti dia masih ingat atau tidak, kenangan itu ketika dia berusia 3 1/2 tahun!




Friday, 29 July 2011

Kecil tapi Besar

Hari ini merupakan hari kedua saya memandu sendiri pergi dan pulang dari tempat kerja. Ia bukan perkara biasa kerana saya tidak pernah memandu walaupun sudah hampir 3 tahun bermastautin di bandaraya ini. Jika ditilik pada lesen memandu, ia sudah berusia 22 tahun, lesen yang berasal dari New Yok State, USA. Pernah memandu di Binghamton, Boston (lebuh raya 6 lorong) dan Florida. Juga, pernah memandu sekadar berkisar di bumi Arau – rumah Mak Som, UiTM, Sekolah Tunku Budriah dan Tadika Huda. Kemudian, sejak tahun 2003, istilah memandu sudah luput. Memandu bukan tentang urusan tahu atau tidak, tapi tentang takut dan gentar. Apatah kini perlu memandu di kawasan yang dipenuhi 40000 pelajar, tidak termasuk pekerja dan pelawat. Kawasan sekitar tampak sempit dan mendebarkan.


Namun, teruja dengan cuti yang panjang, ruang yang lengang, maka bercita-cita semula untuk memandu semula. Sepatutnya Gem 1 yang akan mengasah kemahiran di stadium Seksyen 13. Malangnya, dari sehari ke sehari, ia ditunda. Lalu, Gem 1 mendaftarkan (he.. he... secara paksa) di Metro Driving, seksyen 7. Maka, 3 hari lepas, saya diajar oleh Encik Nizam, guru memandu berasal dari Kelantan.

Tanya Encik Nizam,”Kakak tidak tahu memandu langsungkah?”. Kata saya sambil ketawa,”Bukan soal tahu, tapi soal takut! Encik tolong ajarkan saya doa berani”. Lalu, Encik Nizam memulakan ceramahnya yang saya rasakan sangat menarik untuk dikongsi. Kata beliau,”Renunglah doa naik kenderaan kak. Memang kita sebagai manusia lemah dan tiada kuasa. Sebab itu setiap kali kita menaiki kenderaan, kita digalakkan berdoa naik kenderaan. Ia menunjukkan kita lemah tetapi dengan rahmat Allah, Allah memberi kita kekuasaan untuk mengendalikan kenderaan”. Sambungnya lagi dalam nada jenaka,”Memandu kereta automatik ni senang kak. Sekurang-kurangnya ia mengikut saja arahan kita. Memandu kuda lagi susah, sebab kuda akan ikut seleranya sendiri! Saya yakin dengan izin Allah, esok kakak akan memandu semula ke tempat kerja”.

Ketika memandu sendiri (dipaksa oleh Encik Nizam) untuk pulang dari stadium seksyen 13, saya masih berfikir-fikir, benarlah.. sungguh benar... keupayaan memandu adalah rahmat Allah. Nikmat Allah yang sering dilupakan kerana ia menjadi rutin. Syukur padamu Tuhan, kerana dengan kekerdilan ini, ia menyedarkan hambamu ini satu nikmatmu yang mungkin didustakan. Isu memandu nampak kecil dalam dunia moden, tapi ia isu besar jika dilihat antara  hubungan seorang hamba dengan Tuhannya. Dan Allah memberi peluang untuk saya benar-benar merasai rahmat Tuhan yang satu ini.