Monday, 11 June 2012

Titipan dari Jauh

Tadi baru pulang dari kelas malam, kelas 6.30 petang - 10.00 malam. Itu kelas terakhir sebelum ujian dan peperiksaan. Banyak soalan yang ditanya, helai buku yang diselak, markah yang disemak dan keadaannya sudah tentu sibuk.  Ketika jam menunjukkan melebihi pukul 10.30 malam baru kaki melangkah masuk longlai ke rumah.

Sebaik tangan menyuap makanan ke mulut, Gem 6 tiba-tiba sibuk meluru, "Mummy..mummy.. I saw one kid is holding your book! Somebody tagged the photos at your facebook". "Mana? Mana?", tanya saya - tiba-tiba perasaan menjadi sangat sayu yang berbaur gembira. Siapakah gerangannya yang memegang itu, kata saya di dalam hati. Sayapun belum berpeluang memegangnya lagi! Malah, sudah 11 hari saya menanti-nanti ia 'hidup' di amazon.com. Berkali-kali penerbitnya menghantar e-mail agar saya tidak gusar, segalanya berjalan lancar. 

Inilah dua gambar yang dititip dari rakan sekerja yang sedang merantau nun jauh di Glasgow, UK - Nurazian Mior Dahalan. Katanya, "Dah sampai buku yang ditunggu..".

Dan ini pula satu lagi mesejnya,"Erina bagi rate 2 thumbs up". Terima kasih Azian! Ia sangat bermakna bagi orang biasa seperti saya yang bermimpi untuk menyentuh bintang di langit. Jika tidak keberatan, tolong beri komen pada "review" di amazon.co.uk itu. Kata penerbit, ia akan menambahkan kredibiliti buku tersebut.






Wednesday, 6 June 2012

Azra Momin

Azra Momin? Siapa? Tanya saya di dalam hati apabila kali pertama melihat namanya tertera di kulit luar buku "A Priceless Princess". Lalu, saya terus google namanya. Rupa-rupanya, beliau ialah seorang illustrator yang sedang menetap di Kanada. Ketika mencari-cari, saya terjumpa blog nya "No Ordinary Day". Di dalam blog itu ada satu entri bagaimana beliau melakar muka hadapan itu dan memilih warnanya. Lalu, saya mengambil lakaran-lakaran itu untuk diabadikan di sini sebagai kenang-kenangan sempena penerbitan buku sulung yang sangat dekat di hati. Sungguhlah, dunia tanpa sempadan. Ia benar-benar memberikan pengalaman sebenar bekerja dalam suasana semua yang terlibat adalah maya.
 
 

 
 

 
 


Arggggggghhhh!

Lewat petang semalam, tangan meraba-raba kotak surat. Ada satu surat diterima dari hiearki kuasa yang tinggi. Apabila dibuka... lalu saya menjerit arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh! Surat itu memberi satu jawatan baru , X.

Dulu saya memegang jawatan A + B. Jawatan A yang berelaun, dibubar dan dirombak atas alasan dapat menjimatkan wang pengurusan.

Hari ini, saya mendapat jawatan X. Melihatkan ciri-ciri kerja, ia benar-benar jawatan A yang dimanipulasikan nama. Sudah tentu kali ini tugasan itu hanya percuma! Banyak benarlah penjimatan wang untuk negara tercinta.





Tuesday, 22 May 2012

23 Tahun Lalu

23 tahun lalu saya menghadiri temuduga peringkat kedua untuk menjawat jawatan sekarang. Seingat saya, ianya satu sesi temuduga bersama 5-6 orang panel. Dalam sesi sekitar 30 minit itu, banyak soalan yang ditanya. Satu soalan yang masih kekal dalam kotak ingatan ialah soalan cepumas daripada Dekan fakulti ketika ini. Apa soalannya? Katanya, cuba anda terangkan apakah kaitan bidang sains komputer dengan ketuhanan atau Islam. Tersentak sungguh saya ketika itu. Tidak pernah terlintas soalan seperti itu akan ditanya. Badan terasa berpeluh-peluh biarpun penghawa dingin sangat menyejukkan. Apa yang saya akan perkata? Saya tiada hujah. Habislah saya kali ini, keluh saya di dalam hati.

Saat itu seperti mengulang semula sejarah silam ketika saya memilih untuk ke New York, menyambung pelajaran di dalam bidang sains komputer. Kebetulan, rakan sekampung yang paling karib akan bertolak pada waktu yang sama ke Morocco untuk menyambung pengajian Bahasa Arab. Beza bidang antara dua sahabat karib ini bagai langit dengan bumi. Ketika itu, pilihan saya seperti mendapat bisikan sinis dari orang keliling. Pilihan saya nampak sangat tentang keduniaan dan sekular. Apatah lagi, bumi Amerika bukanlah menjadi idola. Namun, ketika bisikan-bisikan itu datang, saya tetap diam walaupun hati meyimpan pelbagai rasa, kerana saya tiada hujah untuk membalas. Apa ada kena mengena sains komputer dan agama?

Berbalik ke sesi temuduga tadi, ketika tercungap-cungap mencari kata, akhirnya, saya teringat satu kisah ketika di semester kedua pengajian. Yang mana, saya perlu menyudahkan tugasan bahasa Pascal, iaitu bahasa untuk memberi arahan kepada sistem komputer. Ketika semua rakan sekuliah berjaya menyudahkan tugasan tersebut, tugasan saya masih tersangkut. Minta pertolongan kepada kawan, kawan-kawanpun tidak mampu menolong. Minta bantuan pensyarah, pensyarah-pensyarahpun tidak mampu menolong. Ini sangat menimbulkan kehairanan. Sehingga, pensyarah terpaksa pula menghubungi bantuan pakar dari Singapore (pembekal sistem komputer tersebut). Dua hari kemudian, pakar memberi maklum balas, tugasan saya 'tiada satu titik dihujung satu ayat'! Lalu,saya katakan kepada Dekan di dalam sesi temuduga tersebut, bahawa peristiwa itu membuat saya berfikir, barangkali ada doa-doa saya yang tidak dimakbulkan dari hari ke bulan, bulan ke tahun, mungkin kerana ada titik-titik dosa yang menghalang. Saya lihat, Dekan mengangguk-ngangguk. Entahlah, saya tidak pasti betul atau tidak dengan soalan yang ditanya. Yang pasti, saya sudah berjaya menjawat jawatan yang dipohon tersebut.

Biarpun soalan Dekan itu nampak kecil, ia bagai pesanan yang terngiang-ngiang di telinga. Dalam dunia kerja saya yang kelihatan sekular ini, saya perlu mencari hubungannya dengan ketuhanan. Ia tidak mudah, kerana ia sangat halus. Dan, pencarian unsur-unsur ketuhanan itupun bermula sejak itu.

Kini, selepas 23 tahun berlalu, apabila buku 'A Priceless Princess' berada di pasaran, saya ingin membelinya sendiri. Buku yang satu itu, saya akan hadiahkan pada Dekan tersebut sebagai tanda penghargaan kerana mengingatkan saya yang alpa dan tidak peka. Unsur-unsur yang saya temui sepanjang jalan kerjaya ini, saya bukukan dalam bentuk pernyataan pesanan untuk seorang anak perempuan di alaf dunia digital. Sungguh, bahawa biar apapun bidang yang diceburi, lihatlah dengan mata hati, kita akan menyaksikan kehebatan Allah, iaitu Tuhanku dan Tuhanmu.

Tuesday, 15 May 2012

"A Priceless Princess" - Akan di Pasaran 30 Mei 2012

Muslim daughters face unique developmental challenges that need to be understood by parents effectively to help their girls get the best out of Islamic teaching. A Priceless Princess provides parents with Islamic content delivered in an easy-to-read style. Some subjects are difficult to approach but Nasiroh’s sensible, light-hearted advice will strike a chord with many mothers. A gorgeous little paperback which will appeal to mothers and daughters alike! Publication to be released 30th May 2012
(Greenbirdbooks Publisher)

 Sedikit prakata penulis di dalam buku tersebut:
This book is written by me, a Muslim mother for my daughter whom I called A Priceless Princess. Why? Because in Islam a daughter is a priceless gift from Allah (God). A daughter is considered as part of our everlasting treasure, not only for the life in this world but also for the life of the Hereafter. Whatever she did in the past, present and will do in the future contributes as rewards or sins to her parents. Knowing the responsibility of having a daughter, I’m constantly worried about what challenges she will face. Will she be a successful Muslimah? Will she be achieve a good balance not only in this world but in the world Hereafter? .......
 
 

Selamat Hari Guru

Tiap tahun ketika menyambut Hari Guru, maka ketika itu terkenang-kenang guru-guru lama yang paling diingati. Mereka memberi impak yang sangat besar dalam melakar masa depan yang kelam ketika itu. Mana tidak kelam, otak kecil ketika itu hanya memikirkan soal main dan bersuka-suka. Jika guru tidak bertanya-tanya "Bila besar nanti awak nak jadi apa?", barangkali, saya tidak tersentak dan langsung tidak mempunyai cita-cita. Biarlah ada yang memandang remeh isu cita-cita. Hakikatnya, ia sangat penting dalam memberi dorongan untuk menapak dan mencari arah untuk hidup di masa hadapan. Paling penting, cita-cita akan bertukar menjadi doa yang tersirat. Ketika pantas masa berlalu, sedar tak sedar, Allah sudahpun makbulkan.

Dari sudut hati yang paling dalam, untuk semua guru-guruku yang entah di mana mereka berada, salam sejahtera untukmu semua. Semoga Allah meletakkan kalian di darjat kehidupan yang tinggi di dunia dan di akhirat.

Tuesday, 8 May 2012

Peluang yang Satu

Enam bulan hampir berlalu. Sudah tentu hati tertanya-tanya apakah yang telah berlaku pada buku 'The Priceless Princess' yang telah dihantar untuk penerbitan dulu.

Hari ini saya menerima tiga e-mail dari penerbit. Pertama, sedikit nota dari penerbit tentang progres penerbitan. Ia dalam proses terakhir penyuntingan, berkemungkinan besar akan berada di pasaran seperti yang dijadualkan di dalam bulan ini yang masih bersisa. Kedua, muka hadapan - lukisan grafik dari pelukis grafik professional. Ketiga, isi kandungan buku yang telah disunting dan dicantikkan. MasyaAllah! Tidak tergambar suatu masa dulu bahawa saya akan berhasil menulis buku untuk tatapan masyarakat muslim secara global: dicetak di USA, diterbitkan di UK!

Alhamdullillah. Terima kasih Allah kerana memberi peluang yang satu ini. Peluang kedua tidak pasti apakah akan datang lagi. Permintaan penulis seceruk rantau bertalu-talu sehingga penerbit berkata mereka bekerja sudah ditahap maksimum kapasiti.