Sunday, 8 July 2012

Terima kasih Bomba

Pada hari Sabtu, 7/7/2012 menjadi satu sejarah di dalam hidup kerana pertama kali menalipon polis dan bomba. Sejak dari pagi terbau asap. Tetapi tidak ambil kisah sangat kerana kerap terbau yang serupa. Tetapi ketika pulang dari mengambil Gem 6 dari kelas tambahan di sekolahnya, ternampak api sedang marak menuruni bukit dan menghampiri rumah jiran. Dan rumah jiran itu hanya selang dua buah rumah dari rumah kami! Lalu saya meluru menghampiri rumah jiran tersebut. Nampaknya mereka ada di dalam rumah tetapi tidak sedar api sedang marak. 

Keadaan menjadi kelam kelibut apabila api semakin menjadi-jadi marak. Saya berlari pulang ke rumah, mengambil barang-barang penting dan mengalih kereta ke tempat yang jauh. Gem 3 mendail nombor 999 - berkali-kali. Jika ada yang hampir mati, maka sudah tentu mati dahulu. Saya berlari ke atas ke bawah untuk memastikan sijil-sijil dibawa bersama. Apabila Gem 3 sudah mendapatkan respon dari polis, barulah diberi pada saya untuk melaporkan. Kami semua sudah keluar dari rumah. Tanpa disedari, kami terpacak di tengah-tengah panas sementara menanti kedatangan bomba. Suasana sedikit ribut apabila terpaksa menenangkan Gem 7 yang sangat ketakutan. "Call daddy.. call daddy..", katanya berulang kali. Gem 1 tiada di rumah kerana berada di luar kawasan beberapa hari.

Anak saudara yang tinggal berdekatan dipanggil. Melihatkan bomba tidak datang-datang, dia meluru menuju ke balai bomba - katanya.

Akhirnya, pasukan bomba datang. Selepas bertungkus-lumus hampir dua jam, mereka berjaya memadamkan api. Api marak dengan cepat kerana cuaca kering dan berangin. Kata pihak bomba, mereka menemui kesan pembakaran yang tidak diselia.

Aduhai... untuk sesiapa yang rajin berkebun dan bakar-membakar, tolonglah selia. Janganlah kerana taksub dengan hobi sendiri, sehingga tidak takut menzalimi jiran tetangga.

Thursday, 5 July 2012

Mood yang Hilang

Sudah hampir dua minggu datang ke pejabat tanpa peralatan penting - komputer. Komputer yang digunakan untuk bekerja tidak sama dengan komputer yang digunakan untuk menulis apabila ada ilham yang bertaburan.  Komputer bagi seseorang yang bekerja seperti ini umpama sebatang cangkul untuk petani tradisional. Tanpanya, hilang mood bekerja. Tidak faham kenapa penjadualan pengambilan dan penghantaran tidak boleh diurus dengan baik. Tidak faham kenapa waktu-waktu kritikal seperti ini dilepas pandang dengan hanya "Maaf di atas segala kesulitan". Janji tinggal janji untuk satu hari lagiiiiiiiii!!!!!!


Tuesday, 26 June 2012

Fesyen

Kata Ustaz  (Ustaz yang sama dengan entri Sekalipun Kerana Nasi Lemak), "Kita jangan jadi hamba fesyen. Kenapa hidup kita disusahkan kerana mengejar fesyen?". Ketika mendengar pernyataan itu, saya mengangguk-ngangguk tanda setuju. Kerana beberapa tahun lepas barulah saya menyedari saya penat mengejar fesyen. Satu perlumbaan yang tidak akan menang. Jika menangpun, ia hanya sekadar seketika. Esok fesyen lain datang.

Entah bagaimana, tahun lepas saya memulakan satu nekad baru. Saya ingin mereka fesyen sendiri dengan pilihan fabrik sendiri. Saya tidak peduli lagi fesyen apakah ketika ini. Yang penting apa yang saya pakai memenuhi kriteria pakaian seorang Muslimah. Bukankah saya juga menulis "Life is about abiding by the Muslim's Clothing Code"? Salah satu siri pesanan yang ada di dalam buku "A Priceless Princess". Sudah tentu pesan itu sangat ditujukan untuk tiga anak perempuan saya yang sedang meningkat remaja. Saya inginkan anak-anak saya mereka fesyen pakaian mereka sendiri yang mematuhi hukum Tuhan:
  • Menutup aurat BUKAN MEMBALUT.
  • Menutup aurat BUKAN BERERTI menutup rambut tetapi memakai t'shirt berlengan pendek dan sendat.
  • Menutup aurat bukan dengan baju yang jarang.
Sudah tentu  impian itu tidak tercapai lagi 100%! Apatah lagi satu ketika dulu Gem 6 pernah bertanya kenapa ada remaja perempuan Muslim yang berambut perang dan tidak memakai tudung. Muslimkah mereka? Aduhai.... pernyataan Gem 6 menjadikan saya kadang kala berkata senangnya membesarkan mereka di Nottingham dulu kerana jurang pemisahnya amat jelas. Senangnya mulut mereka berkata "I cannot do this because I'm a Muslim".  Rindunya saya pada sebutan itu yang sering meniti di mulut mereka. Hari ini mereka amat jarang berkata begitu. Mereka lebih berkata "Saya Melayu"......

Sunday, 24 June 2012

Yang ke 7

Pada 24/6/2012, genaplah umur Gem 7 tujuh tahun. Cepat sungguh rasanya masa berlalu. Tujuh tahun bererti jangkamasa yang sama beliau di "White house" dan "Green house". Salah satu yang sukar ialah untuk menjadikan Gem 7 kekal dengan dwi bahasanya.

Tahun lepas, Gem 7 peminat hard core Justin Bieber. Sehingga beliau asyik berkata bila besar nanti beliau akan beli rumah bersebelahan dengan Justin Bieber. Tahun ini, Justin Bieber sudah hilang. Kali ini Gem 7 sangat, sangat, sangat meminati Ustaz Don. Setiap malam, kami tidak perlu melihat jam, tepat pukul 9 malam, beliau akan mengumpulkan seluruh keluarga menonton 30 Minit Bersama Ustaz Don. Kata Gem 7, "I want to be like Ustaz Don. Call me Ustaz Akif". Sudah tentu kami gembira dengan perkembangan terbaru ini. Mudah-mudahan ia kekal sehingga dewasa.

 Gem 7 dengan tema "Boboi boy"
Tersenyum girang dengan kad ucapan

Monday, 18 June 2012

Sekalipun Kerana Nasi Lemak

Dua hari lepas saya berkesempatan mendengar ceramah Israk & Mikraj di surau Ar-Rayyan, Seksyen 7 oleh seorang ustaz. Di dalam ceramahnya, ustaz tersebut ada menyebut tentang konsep doa. Islam mengajar kita tentang pelbagai jenis doa. hampir semua perlakuan rutin mempunyai doa-doa tersendiri - doa makan, minum, tidur, tengok cermin, pakai baju, keluar rumah, naik kenderaan... dan macam-macam. Kenapa? Kata ustaz, kerana secara semulajadi, manusia merancang tentang kehidupannya di dunia, Allah jua merancang kehidupan untuk hamba-hambaNya. Dan perancangan Allah ialah sebaik-baik perancangan.

Maka, Islam mengajar kita supaya untuk setiap perilaku, kita sentiasa mengharap campur tangan Allah dalam urusan kita agar semua urusan menjadi terbaik. Tanya ustaz, pernahkah kita sentiasa di dalam keadaan berdoa sehingga ke tahap untuk membeli nasi lemak di seberang jalan? Sebelum melangkah ke gerai nasi lemak,  kitapun berdoa "Ya Allah, mudahkanlah urusan pembelian nasi lemak ini". Kata ustaz, mungkin ada orang akan berkata,"Ustaz, semenjak saya berdoa ketika hendak membeli nasi lemak seperti biasa, saya langsung tidak dapat membelinya lagi. Selalu saya pergi asyik habis!". Kata ustaz, janganlah kita meletakkan sangkaan yang buruk kepada Allah selepas kita berdoa. Kerana, mungkin nasi lemak itu habis bertujuan untuk menyelamatkan kita - mungkin nasi lemak itu dimasak oleh orang yang tidak bersembahyang atau mungkin nasi lemak itu ada bakteria merbahaya kerana tidak bersih. Maka, apabila kita memohon campur tangan Allah di dalam kehidupan kita, Allah akan memberi yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Bukankah Allah sebaik-baik perancang!

Hari ini saya sangat berharap agar tidak leka dalam memohon Allah campur tangan di dalam semua urusan kehidupan ini. Oh Allah, janganlah masukkan kami di dalam golongan yang alpa. Amin.

Wednesday, 13 June 2012

Ilham

Pada 12/6/2012 yang lepas saya di arahkan untuk menghadiri satu ceramah "Nobel Lecture" oleh pemegang anugerah Nobel  (Medicine Laureate - 1998), iaitu Professor Ferid Murad. Mengikut biodatanya, bapanya seorang Muslim, ibunya pula seorang Kristian, dan dia? Entah. Tidak tahu. Tajuk ceramahnya bertema "Journey of a Laureate". Jangkaan saya ia sudah tentu dipenuhi dengan cerita-cerita inspirasi. Maka, saya sangat berkobar-kobar menanti inspirasi itu. Seawal 7.30 pagi sudah terpacak di Dewan Utama itu, sedangkan aturcara pendaftaran bermula 8.45 pagi.

Majlis akhirnya bermula ketika jam menunjukkan hampir pukul 11 pagi. Prof Ferid memulakan cerita dengan saat dia menerima panggilan dari Pejabat Anugerah Nobel ketika pukul 4.00 pagi yang ketika itu isterinya sedang tidur kerana isterinya menjangkakan berita itu akan disampaikan pada minggu hadapannya. Kemudian dia bercerita tentang usul asal Anugerah Nobel. Dan seterusnya inspirasi yang ditunggu tidak tiba-tiba kerana ia diganti dengan gambarajah molekul-molekul yang mana saya tidak ambil peduli lagi selepas peperiksaan Kimia ketika SPM dulu. Aduh... masa terasa sangat lama. Kadang-kadang saya rasa seperti sudah berada di alam mimpi. Inspirasi? Masih tiada. 

Cuma, dihujung sessi ketika beberapa hadirin bertanya beberapa soalan, sedikit inspirasi terselit. Saya tidak keliru dengan soalan yang ditanya kepada beliau, tapi saya keliru dengan jawapan yang diberi. Entah di mana silapnya. Barangkali gema mikrofon atau gema pembesar suara atau cara percakapan, jawapannya menjadi sangat sipi-sipi.

Apa yang saya dapat garap akhirnya? Cuma ini sahaja - iaitu ianya bermula dengan ilham. Ilham itu kelihatan ganjil (beliau mengambil masa 20 tahun untuk membawa ideanya ke satu tahap ianya diterima masyarakat). Ganjil itu perlu agar ilham kita menyerlah. Selebihnya adalah usaha dengan bersungguh-sungguh diiringi dengan rasa suka untuk melakukannya. Bukan dipaksa. Kemudian, faktor sampingannya ialah "berada di tempat yang sesuai dan bertemu dengan orang yang sesuai pada ketika yang sesuai ("at the right place, the right person, the right time").

Ilham oh ilham! Ia tidak boleh dibeli. Hanya Allah sahaja yang dapat memberi pada sesiapa yang disukaiNya. Mudah-mudahan Ya Allah, kami termasuk di kalangan hambaMu yang terpilih itu.

Tuesday, 12 June 2012

Pembelian Buku - A Priceless Princess

 Pembelian buku boleh dibuat melalui:
  1. Laman Amazon.com
  2. Laman Amazon.co.uk
  3. http://nasirohomar.webs.com/
  4. www.greenbirdbooks.com/