Tuesday, 13 August 2013

Merayakan Fitrah

Ramadhan telah berlalu. Sangat pantas. Ia hilang di dalam kesibukan kerja yang datang bersilang-silang. Tidak sempat satu kerja dihabiskan, satu kerja lagi datang dengan ungkapan "Urgent... Segera... Penting..." begitulah. Malah, hambatan kerja sangat-sangat menghilangkan mood raya. Tidak pasti bilakah boleh bercuti. Tidak pasti. Baju raya anak-anakpun tidak terbeli. Cutipun masih ke pejabat lagi. 

Pun begitu, Ramadhan yang berlalu banyak mendatangkan hikmah dan rahmah. Mudah-mudahan, ia membawa telah kita kembali ke fitrah, sesuci bayi yang tidak berdosa. Benarkah kita sudah kembali ke fitrah? Hanya kita dan Allah yang tahu.


Thursday, 20 June 2013

Wednesday, 19 June 2013

Doa

Beberapa hari lepas Gem 1 bertanya apakah yang saya doakan untuk anak-anak. Sudah tentu banyak. Kadangkala disebut satu persatu. Kerapkali pula berdoa semoga Allah mengabulkan keinginan mereka. Apa-apa yang mereka hajati. Saya tidak tahu. Dulupun, ibu bapa saya tidak tahu apa yang saya inginkan satu persatu. Saya percaya mereka mendoakan semoga Allah mengabulkan apa yang diinginkan anak-anak mereka.

Tapi kata Gem 1, dalam ceramah ustaz di surau, ustaz menggalakkan kita berdoa semoga anak-anak dan keturunan kita menjadi orang yang bertaqwa. Insan yang bertaqwa takut pada Allah. Takut pada Allah bererti patuh pada perintah dan laranganNya. Tidak bermakna jika anak-anak hebat tapi tidak takut melakukan dosa. Dilihat atau tidak dilihat. Taqwa menjadi sempadan antara yang membawa dosa dan pahala. Di sisi Allah, insan yang berjaya ialah yang bertaqwa.

Ragam hidup manusia pelik. Manusia kerap kali takut dan malu pada manusia. Tetapi, tidak pula takut dan malu pada Allah, Tuhan yang Mencipta. Mudah-mudahan anak-anakku tidak menjadi pelik begitu.


Saturday, 15 June 2013

Masa

Cepat sungguh masa berlalu. Pejam celik, pejam celik... semester sudah hampir berlalu. Rasa seperti baru saja bermula. Hambatan kerja semakin bertambah. Hilang sudah keamanan masa lalu. Tapi, ada cara pengurusan stress terbaru! Kalau dulu, hari cutipun melihat-lihat e-mail. Sekarang, melihat-lihat e-mail di waktu cuti tidak dilaksanakan. Biarlah waktu kerja sahaja, kedatangan e-mail disemak. Hari cuti, hari beristirehat. Betul ke? Tidak juga. Ada pula jemputan kenduri!


Monday, 20 May 2013

Jendela Itu

Aku rindu pada jendela itu
Tidak pernah aku bayangkan
Melaluinya, aku menyalami Rukun Yamani tanpa sekatan waktu
Pada sebelum tidurku atau
Ketika dinihari atau
Sebaik terjaga
Aku rindu untuk berteleku di jendela itu......





Sunday, 19 May 2013

Pilihan

Kita sering berdepan dengan pilihan. Pilihanraya yang lepas adalah pilihan pada peringkat kebangsaan. Semua rakyat jelata yang layak mengundi telah memilih. Sebahagian besar memilih untuk berubah. Dengan harapan beberapa kos dapat diturunkan dengan menggunakan mekanisma tertentu. Sebahagian yang lain memilih untuk kekal dengan apa yang ada. 

Apa-apapun, sudah tentu kita cuma menanti. Dengar-dengar cukai hendak dinaikkan. Dengar-dengar ada ura-ura minyak akan dinaikkan. Nampaknya ketidaktentuan masa hadapan adalah berdasarkan naik belaka. Apa yang akan turun? Tidak tahu.

Semalam, saya melintasi di depan sebuah bank. Seorang perempuan separuh umur sedang menunggu sebakul kek untuk dijual. Wajahnya sugul. Dan kesugulan wajahnya masih terbayang sehingga saat ini. Dia ialah antara seribu wajah yang berhempas pulas mencari seringgit dua untuk meneruskan kehidupan. Setiap harga barang yang naik adalah satu siksaan untuk golongan ini. Musibah kenaikan harga barang adalah satu bala di sisi perspektif Islam.

Ya Allah, Engkau jauhilah kami dari bala -bala itu.



Monday, 29 April 2013

Demam Pilihanraya

Sekarang waktu kemuncak. Demam pilahanraya. Bendera pelbagai warna berkibar-kibaran. Meriah. Agaknya kerana itu isu pilihanraya juga masuk ke rumah. Sibuk Gem 7 bertanya, kita sokong bendera mana. Pada beliau, bendera-bendera itu seperti bendera pasukan bola. Mesti pilih satu sebagai tanda sokongan. Apabila disebut tentang pilihan raya, maka banyak lagi soalan yang bertimpa-timpa. Sukar juga untuk memahamkan anak-anak yang berbeza usia - 8 tahun, 13 tahun dan 14 tahun ... tentang apa itu pilihanraya.

Lalu, dikatakan kepada mereka, bahawa pilihanraya ialah masa untuk memilih barisan pemimpin negara. Mereka datang secara pasukan. Setiap bendera melambangkan pasukan yang berbeza. Ada pasukan yang bergabung. Ada yang bersendirian. Masing-masing mengimpikan tampuk pemerintahan negara. Memilih pemimpin bukan seperti memilih pasukan bola. Pasukan bola yang menang tidak memberi kesan apa-apa kesan kepada kita. Hadiah mereka bukan kita punya!

Memilih pemimpin sangat-sangat memberi kesan kepada kita. Kenapa? Tanya mereka. Lalu dikatakan kepada mereka, bahawa barisan pemimpin yang kita pilih akan membuat dasar. Seperti dasar pendidikan mata pelajaran sains dan matematik. Dahulu bahasa pengantarnya bahasa Melayu, bertukar menjadi Inggeris. Ia bertukar semula ke bahasa Melayu pula. Anak-anak keliru dan tidak setuju. Tapi terpaksa juga menerima. Diberi lagi contoh yang hampir dengan mereka agar mereka lebih mengerti... contohnya seperti pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR, naik harga minyak kereta atau harga tol. Semua dasar boleh digubal oleh barisan pemimpin yang memerintah negara. Atau mereka boleh saja mengeluarkan arahan seperti "Setiap hari Rabu adalah cuti sekolah!" Segalanya berkemungkinan. Apa yang mereka putuskan, ada kena mengena dengan kehidupan seharian kita.

Anak-anak bertanya lagi... Kalau begitu siapa yang kita perlu pilih? Orang itukah? Atau orang ini? Itulah yang ditanya apabila melihat tampalan poster yang berselerak.

Lalu dikatakan kepada mereka, hidup kita dan Islam tidak terpisah. Ia cara hidup yang dianut dan diturut. Islam tidak hanya menggariskan dasar tentang cara berpakaian - tidak singkat, sendat, jarang atau terbuka aurat. Islam tidak hanya menggariskan panduan makan dan minum - seperti haram memakan babi dan meminum arak. Tetapi Islam juga mengajar kita memilih pemimpin. Pilihlah pemimpin yang paling hampir meniru ciri-ciri yang ada pada Nabi. Pemimpin mesti bertaqwa - takut pada Allah. Kerana dengan hanya takut pada Allah, pemimpin akan memikul amanah dan adil. Yang paling penting, kita perlu memilih pemimpin yang akan membawa kita kepada jalan Allah. 

Memilih pemimpin seperti memilih kawan. Pemimpin yang bertaqwa seperti minyak wangi. Jika tidak terpalitpun, bau harumnya dapat dihidu.

Pada hari pilihanraya, sesiapa yang layak mengundi akan mengundi dengan memangkah pemimpin yang dipilihnya. Ingatlah anak-anakku... bahawa setiap apa yang kita lakukan ada perkiraan dosa dan pahala di sisi Allah. Biarpun, hanya menulis sekecil-kecil simbol pangkah!

Kematian rakan sekerja yang sangat hampir dalam waktu yang singkat seperti memberi ingat. Hidup di dunia hanya sebentar. Hidup di alam akhirat adalah kekal abadi. Bahagia atau sengsara hidup kita di sana berpandukan pada kutipan pahala dan dosa di alam ini. Takutlah Allah di dalam semua urusan duniamu. Semoga setiap amal, ada harga disisiNya!

Selamat Mengundi! Oppssss bukan ditujukan untuk anak-anak... ditujukan untuk semua rakan maya....