Sunday, 8 September 2013

Misteri

Laluan kehidupan ini penuh misteri. Kadang kala kita sangat berkeinginan untuk mendapatkan A. Berusaha dengan bersungguh-sungguh, berharap dan menanti impian menjadi nyata. Malangnya, ia tidak menjadi realiti. Tiba-tiba, Allah mendatangkan B. Satu kesudahan yang lebih baik daripada A yang kita harapkan. Satu kesudahan yang tidak terjangka. Benarlah, manusia hanya merancang. Namun, perancangan Allah mengatasi segalanya.

Monday, 2 September 2013

Selamat Berjaya

Hari ini Gem 3 dan Gem 4 mula menduduki peperiksaan. Gem 3 menjalani peperiksaan akhir tahun 1. Gem 4 pula menjalani peperiksaan percubaan SPM di MRSM. Seawal pukul 5 pagi Gem 4 menghantar SMS untuk seluruh ahli keluarga yang memiliki talipon (hu..hu... kecuali Gem 6 dan Gem 7)... katanya "Today is my SPM trial exam. Please pray for me  and my friends".

Sudah tentu kami berdoa untuk semua. Itu sahaja yang tinggal ketika yang lain sudah tiada. Selamat berjaya.. Selamat berjaya... semoga Allah membantu kita semua. Sungguh... Dialah yang Maha Mengetahui apa-apa yang kita nyatakan ataupun sembunyikan di dalam hati....

Friday, 23 August 2013

Di Depan Mata

Dulu cerita-cerita tentang negara Mesir dan Firaun hanya dibaca menerusi Al-Quran dan didengar menerusi ceramah-ceramah....  Bagaimana kekejaman dan kejahatan diceritakan bermula dari zaman Nabi Musa (as) - Firaun telah menyuruh dibunuh semua bayi lelaki. Bagaimana pula Nabi Musa (as) merentasi lautan kerana melarikan diri dari hambatan Firaun.  

Hari ini, ia dapat ditonton dengan jelas saki-baki kejahatan itu. Ditonton berkali-kali dengan pelbagai jenis media maya.

Untungnya manusia di akhir zaman... dapat menonton fakta-fakta di dalam Al-Quran pada bila-bila masa. Tidakkah kita ambil peduli.....

Tuesday, 13 August 2013

Merayakan Fitrah

Ramadhan telah berlalu. Sangat pantas. Ia hilang di dalam kesibukan kerja yang datang bersilang-silang. Tidak sempat satu kerja dihabiskan, satu kerja lagi datang dengan ungkapan "Urgent... Segera... Penting..." begitulah. Malah, hambatan kerja sangat-sangat menghilangkan mood raya. Tidak pasti bilakah boleh bercuti. Tidak pasti. Baju raya anak-anakpun tidak terbeli. Cutipun masih ke pejabat lagi. 

Pun begitu, Ramadhan yang berlalu banyak mendatangkan hikmah dan rahmah. Mudah-mudahan, ia membawa telah kita kembali ke fitrah, sesuci bayi yang tidak berdosa. Benarkah kita sudah kembali ke fitrah? Hanya kita dan Allah yang tahu.


Thursday, 20 June 2013

Wednesday, 19 June 2013

Doa

Beberapa hari lepas Gem 1 bertanya apakah yang saya doakan untuk anak-anak. Sudah tentu banyak. Kadangkala disebut satu persatu. Kerapkali pula berdoa semoga Allah mengabulkan keinginan mereka. Apa-apa yang mereka hajati. Saya tidak tahu. Dulupun, ibu bapa saya tidak tahu apa yang saya inginkan satu persatu. Saya percaya mereka mendoakan semoga Allah mengabulkan apa yang diinginkan anak-anak mereka.

Tapi kata Gem 1, dalam ceramah ustaz di surau, ustaz menggalakkan kita berdoa semoga anak-anak dan keturunan kita menjadi orang yang bertaqwa. Insan yang bertaqwa takut pada Allah. Takut pada Allah bererti patuh pada perintah dan laranganNya. Tidak bermakna jika anak-anak hebat tapi tidak takut melakukan dosa. Dilihat atau tidak dilihat. Taqwa menjadi sempadan antara yang membawa dosa dan pahala. Di sisi Allah, insan yang berjaya ialah yang bertaqwa.

Ragam hidup manusia pelik. Manusia kerap kali takut dan malu pada manusia. Tetapi, tidak pula takut dan malu pada Allah, Tuhan yang Mencipta. Mudah-mudahan anak-anakku tidak menjadi pelik begitu.


Saturday, 15 June 2013

Masa

Cepat sungguh masa berlalu. Pejam celik, pejam celik... semester sudah hampir berlalu. Rasa seperti baru saja bermula. Hambatan kerja semakin bertambah. Hilang sudah keamanan masa lalu. Tapi, ada cara pengurusan stress terbaru! Kalau dulu, hari cutipun melihat-lihat e-mail. Sekarang, melihat-lihat e-mail di waktu cuti tidak dilaksanakan. Biarlah waktu kerja sahaja, kedatangan e-mail disemak. Hari cuti, hari beristirehat. Betul ke? Tidak juga. Ada pula jemputan kenduri!