Wednesday, 12 November 2014

Caca Merba

Dunia sudah menjadi caca merba. Tidak perlu melihat jauh, ia ada di sekitar kita. Dapat dilihat dengan mata dan kepala. Hari-hari yang berlalu kini menyesakkan fikiran dan perlukan sangat pada dakapan iman. Takutlah pada Allah. Kerana DIA lah Tuhan kita untuk dulu, kini dan selamanya.

Maka, jika takut pada NYA. Jika gentar pada KemarahanNYA. Ikutlah hukum Allah.

Benarlah, di akhir zaman, manusia akan keliru. Tidak tahu yang mana benar, dan yang mana palsu.

Sudah lama tidak mengikuti berita radio, tv dan surat khabar. Kerana tidak tahu yang mana benar, dan yang mana palsu.

Ya Allah ... bantulah kami untuk tidak keliru dan berada di atas landasan agamaMu sehingga ke nafas yang terakhir.

Wednesday, 15 October 2014

Berlalunya PT3

Barangkali, hari ini Gem 5 sangat gembira kerana peperiksaan PT3 untuk pelajar tingkatan 3 telah berakhir. Betapa sistem pendidikan dan peperiksaan negara kita telah berubah. Dari peperiksaan SRP yang dilalui, merentasi peperiksaan PMR untuk Gem 3 dan Gem 4, kini PT3 untuk Gem 5 pula. Apakah sistem peperiksaan semakin maju merentas zaman, ataukah ia makin mundur ditelan zaman.

Bagi seorang ibu... peperiksaan PT3 tahun ini yang kali pertama diadakan ialah merupakan SATU MALA PETAKA di dalam sistem pendidikan. Ia seperti satu rancangan mega yang dibuat secara suka-suka. Tetapi, akibatnya merupakan satu lara bagi guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang menjadi mangsa. Tidak terkata apa yang perlu dilontar. Ia seperti berada di dalam sistem pendidikan dunia keempat. Tidak tahu, apakah anggota yang digunakan untuk memikir dan merancang satu sistem pendidikan yang perlu dilalui oleh anak-anak ini. Dengan otak? Lutut? Tangan? Atau mulut? Kasarkah bahasa? Ia cuma menggambarkan satu kemarahan seorang ibu yang terpendam lama.

Bayangkan... ketika di tingkatan satu dan dua, anak-anak dihebohkan tidak perlu gusar tentang semua sukatannya. Ia tidak akan ditanya ketika di dalam PT3. Hujung bulan Julai tahun ini, ibu bapa dipanggil taklimat ... katanya SEMUA PELAJARAN dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 3 akan masuk periksa!!! Terlopong para ibu bapa. Masing-masing membayangkan keadaan anak sendiri. Akan upayakah mereka bertungkus lumus menelaah mata pelajaran yang lepas? Di dalam masa yang sangat singkat! Bulan Oktober peperiksaan diadakan... Allahuakbar. Sungguh, jika yang merancang dan mengilham sesuatu sistem tidak memikirkan yang semua perkara akan dilihat Allah, dan tanpa rasa berdosa menzalimi, inilah hasilnya...

For me.... PT3 is a total disaster! 

Kesian anak-anak dan guru-guru yang menjalani hidup sukar bagi merealisasikan satu impian yang lintang-pukang dan tersasar.

Monday, 13 October 2014

Seperti Tidak Cukup Masa

Tadi saya berfikir-fikir sejenak betapa kita seperti tidak cukup masa untuk menghampiri Al-Quran dan menanamnya dalam hati. Kenapa? Kerana saya seperti anak-anak yang sangat leka seharian bermain-main di padang sehingga tidak sedar hari sudah hampir malam dan perlu pulang ke rumah. Betapa, ketika usia muda remaja, seluruh tenaga terhabis demi mengejar sekarung cita-cita. Maka, cita-cita sangat penting. Tidak boleh tidak perlu dikejar. Bersengkang mata. Memburu. Akhirnya, masa muda remaja hilang. Sebahagian karung cita-cita tercapai. Tetapi bekalan untuk alam yang kekal abadi sangat sedikit.

Mujurlah, perjalanan belum tamat. Walaupun menghampiri tua, tapi masih punya upaya. Syukur, badan masih sihat. Hajat hati ingin berlari sambil mengutip deretan pahala yang telah lama tercicir.

Ya Allah.. Panjangkanlah usia kami dan sihatkanlah kami untuk ke arah itu.

Monday, 29 September 2014

Di Atas Garis Masa

Di atas garis masa, kita berjalan-jalan menuju ke alam yang abadi. Garis masa itu menemukan kita dengan 5 persimpangan, antara:
  1. sihat dan sakit
  2. senang dan susah
  3. kaya dan miskin
  4. senggang dan sibuk
  5. hidup dan mati
Percayalah, kita akan lebih mendekati Allah ketika kita dalam  kesakitan, kesusahan dan kemiskinan. Itu sudah lumrah alam. Merayu meminta pertolongan. Apakah kita juga akan mendekati Allah ketika kita sihat dan bersenang-lenang? Ingatlah Allah ketika kita sihat dan senang. Sesungguhnya Allah akan mengingati kita ketika kita dihimpit susah dan gundah.

Di atas garis masa yang kita lalui... setiap detik masa amat berharga.

Sunday, 28 September 2014

A Priceless Princess: Masih Memburu Pembaca

Bulan September 2014 menandakan sudah dua tahun lebih buku A Priceless Princess terapung di Amazon. Sudah tentu Amazon merupakan lautan buku. Pada tahun pertama, buku kerdil ini hanya mampu untuk menduduki di anak tangga 5 JUTA cartanya. Entah berapa puluh juta koleksi buku di Amazon? Tidak tahu. Pada tahun ini, A Priceless Princess kerap menduduki di anak tangga yang ke 2 JUTA. Mudah-mudahan ia semakin diterima. Nampaknya ia lebih popular di US berdasarkan rekod belian yang disertakan oleh penerbit.

Tidak sabar menunggu kemunculan buku kedua... kontraknya sudah ditandatangani. Mudah-mudahan kali ini akan menembusi pasaran yang lebih besar.

Tuesday, 26 August 2014

Demi Masa

Benarlah... Demi Masa seperti yang tercatit di dalam Surah al-Ikhlas, masa benar-benar berlari meninggalkan kita. Ia tidak seperti benda lain yang hilang boleh berganti. Sedar tak sedar Syawal sudahpun berlalu semalam. Sudah tentu Ramadhan telah juga berlalu. Tidak sempat merasa penat berpuasa, ia sudahpun habis. Mudah-mudahan kita masih dikurniakan Allah untuk menikmati Ramadhan sekali lagi. Percayalah.. sekelip mata lagi, jika umur panjang... ia datang lagi dan pantas pergi.

Demi masa yang telah berlalu, sekarang dan akan datang... apakah nilai kita di sisi Allah?


Friday, 20 June 2014

Surah Al-Mulk: Peguambela di Alam Barzah

Setakat ini, seumur hidup belum pernah perlu mendapatkan khidmat seorang peguambela. Syukurlah... Alhamdullillah. Kerana, jika kita perlukan khidmat peguambela, ertinya kita telah melakukan sesuatu kesalahan yang besar. Harap-harap, kita tidak akan melakukan kesalahan besar sehingga ke akhir hayat. Mendapatkan khidmat peguambela melecehkan serta perlu berbayar.

Pun begitu, jika kita tidak melakukan salah besar di sisi undang-undang manusia, kita sentiasa hidup dalam dosa. Setiap saat ada saja hukum Allah yang kita langgar. Hukum kecil atau besar akan membawa kepada timbunan dosa yang akan didakwa oleh Allah pada Hari Kiamat. Tidak sempat ke Padang Masyharpun, kita akan terlebih dahulu didakwa di dalam kubur. Di saat itu apa lagi yang tinggal dan boleh diharap? Semua anggota badan kita sendiri akan menjadi peguam dakwa di atas semua kesalahan kita. Mata, telinga, mulut, otak, kaki, tangan, badan.... semuanya akan menuduh-nuduh kita! Setiap tuduhan ada hukuman. Bertimbun-timbun. Malaikat, ular, kala jengkeng ... sudah sedia untuk menyakitkan kita sampai bila-bila. Siapa yang akan membela kita? Siapa yang akan membela kita? Siapa yang akan membela kita????

Di saat itu, akan ada satu surah di dalam Al-Quran iaitu Surah Al-Mulk yang mampu menjadi peguambela kita di alam akhirat. Tanyalah ustaz! Peguambela yang tidak perlu diupah. Hanya perlu dibaca! Subhanallah!

Jom! Ramai-ramai kita membaca Al-Mulk setiap malam.... melabur masa untuk melamar Peguambela di Alam Barzah untuk berdepan dengan setiap titik dosa yang akan dipertuduhkan.