Wednesday, 27 April 2011

Bosan

Beberapa hari ini amat bosan
Kerana mengenangkan gelagat manusia
Apabila merasa tinggi
Maka lupa bahawa mereka pernah melata...
Bosan.. bosan...
Andai termasuk di dalam golongan yang dizalimi..
Maka aku pohon padaMu Tuhan yang memiliki segala Kekayaan..
Sukarnya apabila
Bermain bola yang pengadilnya caca merba
Sukarnya apabila
Bermain bola yang pintu golnya entah di mana
Sukarnya apabila
Bermain bola, tapi gol tidak dikira
Yang dikira apabila bulu tangkis melepasi jaringnya
Andainya termasuk di dalam golongan yang dizalimi..
Aku mohon Allah meleraikan segalanya
Untuk hari ini dan hari hari yang akan datang
Bosan
Bosan dengan kerenah manusia
Yang cakap tidak serupa bikinnya!

Friday, 11 March 2011

Baca

Entri kali ini tentang perkataan baca. Perkataan ini begitu mulia kerana datangnya dari Tuhan. Pun begitu, sejak kecil, saya hanya menghafal satu fakta - Iqra' ertinya bacalah, ianya adalah perkataan pertama yang diwahyukan pada nabi akhir zaman, Muhammad SAW. Fakta itu penting pada ketika itu, buat bersedia jika ditanya guru. Tidak lebih dari itu. Dalam fikiran cuma berkata-kata, pentingnya membaca ya. Darinya datang ilmu. Dan itulah ilmu yang ada tentang baca.

Takdir Tuhan menemukan saya dengan Prof Colin. Sesuatu yang tidak pernah dirancang. Ketika saat-saat akhir saya memaklumkan menerusi e-mel tarikh pendaftaran pada Dr Colin (penyelia pertama saya), beliau membalas e-mel tersebut dengan berkata,"Saya akan menunggu anda dan akan memperkenalkan anda dengan seseorang yang berpengaruh di dalam bidangnya". Lalu, pada hari yang ditetapkan, kamipun bertemu. Dr Colin berkata,"Anda ada dua pilihan, sama ada meneruskan penyelidikan dengan tajuk yang anda cadangkan, dalam bidang yang sudah ramai penyelidiknya ATAU anda memilih untuk bekerja dengan Prof Colin dan meneroka bidang baru. Prof Colin adalah Bekas Presiden Persatuan Literasi United Kingdom" - satu persatuan yang berprestij di sana. Tanpa berfikir panjang, sayapun menjawab, "Saya ingin meneroka bidang baru dan bersedia menjadi pelajar anda". Maka, bermulalah satu perjalanan baru. Meneroka bidang yang saya sangkakan tiada kena mengena dengan bidang sains dan komputer. Pada hari itu, Prof Colin membekalkan saya dengan selonggok bahan bacaan. Dia bekalkan juga buku-buku hasil penulisannya tentang teori baca. Aduhai... sukarnya membaca hasil penulisan dari bidang sastera ini. Gaya bahasanya berada di paras tinggi. Terkial-kial untuk menghabiskan helai demi helai. Dan yang dibaca itupun tidak tahu hujung dan pangkalnya!

Hari demi hari, ruang ilmu nampak terbuka. Ya Allah.. rupa-rupanya membaca ini satu proses yang kompleks. Ia melibatkan gerak mata, kuasa kognitif otak, latar belakang, ilmu yag tersemat, kemahiran membaca, budaya dan ada lagi beberapa perkara. Sehingga kini teori tentang baca masih dicari, dibaiki dan dikembang buat mengintai misteri proses dan hasil membaca. Tahukah anda setiap tahun persidangan paling besar tentang baca ini diadakan di Amerika, kata Prof Colin, ianya selalu dihadiri oleh peserta melebihi 22 ribu orang! Pernah Prof Colin membentangkan hasil kerja kami di sana, dan beliau diberikan dewan yang muat untuk 3 ribu orang. Siapakah peserta teramai di sana? Yang pasti bukan golongan orang Muslim. 

Kini, dalam dunia digital, proses membaca dan memahami menjadi lebih kompleks. Ia bukan memerlukan kemahiran membaca sahaja, malah kemahiran menggunakan komputer dan mencari maklumat secara online. Dalam dunia hari ini, bahan bacaan ilmiah lebih mudah diperolehi secara digital. Ramai antara kita yang hanya membaca buku tradisional apabila membaca buku cerita! Lalu, apakah mekanisma untuk mengukur tahap pemahaman seseorang ketika membaca secara online? Ujian kefahaman secara multi pilihan A,B,C,D yang dibuat sesudah membaca keratan bahan di atas kertas sudah tidak relevan lagi dalam dunia digital. Ia amalan tradisional yang sudah diamalkan lebih 100 tahun. Tapi, bagaimana untuk berubah? Bolehkah keupayaan teknologi komputer diguna pakai untuk menghasilkan mekanisma pengukuran kefahaman yang lebih relevan di zaman serba digital ini? Itulah tajuk penyelidikan PhD saya, ia melibatkan 3 domain penyelidikan: teknologi Web, kejuteraan perisian serta bidang pembacaan. Lalu, saya melalui fasa penyelidikan yang caca merba. Untuk merintis jalanpun sukar, apatah lagi untuk menulis thesisnya.

Ketika saya diberitahu bahawa saya perlu menulis semula keseluruhan thesis termasuk tajuk-tajuknya pada hari viva, hati luluh dan hancur berderai. Keinginan untuk menempah tiket pulang terus padam. Ketika air mata jatuh berjurai di depan Prof Colin, matanya juga berkaca. Dengan nada suara yang bergetar, dia berkali-kali meminta maaf pada saya kerana mengheret saya meneroka alam penyelidikan tentang baca bersama-samanya. Lalu, dengan suara yag tersekat-sekat saya berkata, saya tidak pernah menyesal kerana terjerumus di dalam penyelidikan di bidang ini. Kerana, kata saya, sebagai seorang muslim, saya wajib percaya bahawa baca ialah ayat pertama yang diturunkan Tuhan. Oleh itu, sepatutnya sayalah yang perlu meneroka ilmu ini dan menjadi seperti Prof. Terima kasih, kata saya kepadanya, kerana memberi peluang meneroka misteri perintah Tuhan itu.

Sungguh, ketika ini saya menyaksikan bahawa perintah Allah untuk kita membaca itu mustahak. Ia bukan setakat satu proses untuk menimba ilmu-ilmu yang bertaburan, kini membaca adalah senjata. Kita kini sedang menyaksikan keruntuhan pemerintah-pemerintah di dunia Arab jatuh satu per satu, kerana rakyatnya membaca dan menyebarkan maklumat secara digital melalui blog, facebook, twitter dan pelbagai media sosial digital yang ada. Hari ini hunusan keris tiada makna untuk melawan musuh kerana musuhnya sudah menjadi maya. Hari ini jika anda mahir membaca dan menyebarkan maklumat ke seramai mungkin penerimanya, anda ada kuasa - andalah pahlawan digital.

Pun begitu, kita sebagai seorang muslim sentiasa wajib ingat, baca dan sebar boleh juga membawa dosa jika berita yag disebar itu ada unsur pembohongan atau fitnah. Maka, untuk selamat di dunia dan akhirat, ingatlah firman Allah, "BACALAH.. DENGAN NAMA TUHANMU".

Sunday, 6 March 2011

Villa Ena

Sudah lama tidak mendengar perkataan villa. Dulu-dulu amat suka membaca buku cerita, maka terjumpa banyak sekali perkataan villa. Tidak sangka pula, akhirnya dapat jugak menginap di villa - Villa Ena. Jika di zaman dahulu, hajat untuk melawat sesuatu tempat hanya boleh dicapai dengan dua cara: ada duit, terbanglah ke tempat yang hendak dituju, atau jika tidak berduit, tunggulah ia hadir di dalam mimpi! Tapi, dengan dunia digital, bila-bila sahaja boleh 'menziarah ke tempat-tempat yang ingin dilawati' - gunalah Google Earth.

Beberapa hari lepas, terasa amat rindu untuk kembali ke satu tempat, lalu kami beramai-ramai terbang ke Villa Ena dengan Google Earth. Hanya perlu masukkan alamat, sekelip mata sampailah ke sana. Teruja juga dibuatnya, kerana yakin gambar-gambar yang diambil untuk Villa Ena ialah ketika kami masih berada di sana. Si Merahpun masih 'parking' di tempat yang sama!

Villa Ena ialah rumah kembar dua, empat tingkat (basement, tingkat 1, tingkat 2 dan loteng), tiga bilik tidur dengan bilik utama yang besar. Ada dua ruang tamu dan dapur yang luas - tempat bersantai dengan rakan-rakan. Entah datang dari mana kekuatan, setiap hujung minggu Villa Ena menerima ramai tetamu. Satu sesi bertukar-tukar pandangan dan kadang kala tempat merungkai kerunsingan apabila fikiran buntu. Kadang-kadang tetamu pulang sebaik selesai sembahyang Subuh!
Rindunya pada kehidupan di Villa Ena. Lambang rahmat Tuhan yang tidak ternilai. Alhamdullilah. Ingin rasanya diulang semula.

Gambar-gambar yang diambil ketika terbang secara digital ke sana:
 Villa Ena dari atas
 Si Merah berhampiran Villa Ena
 Villa Ena dari depan

Villa Ena dari sisi


Thursday, 3 March 2011

Ingin di Abadikan...

Dua hari lepas aku menghadiri satu sesi. Dijadualkan pada pukul 9.00 pagi. Dan aku mengharap-harap benar agar giliranku diakhirkan. Entah atas apa alasan.. mungkin untuk melihat dahulu bagaimana corak ujian atau mungkin berharap mudah-mudahan atas alasan kekangan masa, maka masa untukku dipendekkan. Giliran aku memang di akhir-akhir sesi. Rupa-rupanya, giliran di akhir itu amat menyiksakan kerana perlu menanti dan menanti dengan degupan jantung yang laju... tidak sesuai sekali untuk golongan yang berensot usia ini!

Bila tiba giliranku, saat ini, aku tidak mahu mengingat lagi apa yang ditanya dan apa yang kujawab. Kerana jawapan yang kuberi terasa serba tak kena. Biarlah, hasilnya Tuhan yang menentukan. Tapi, ada satu babak yang ingin ku catitkan di dalam coretan ini, untuk ku abadikan dan ku semat di dalam ingatan.. buat pengubat di kala lara. Babak terakhir: ketika aku bangun untuk keluar, tiba-tiba seorang panel berkata,"Saya tidak pernah bersemuka dengan anda sebelum ini". Balas aku,"Kita pernah berjumpa.. ketika di dalam sesi temuduga untuk ke luar negara dulu!". Balas beliau,"Oh.. saya tidak ingat.. jika begitu saya berpendapat kami telah membuat pilihan yang betul menghantar anda ke sana!".  Akupun berlalu dan mendapatkan rakan-rakan yang sudi menunggu.  Aku tidak mahu tahu kenapa panel berkata begitu dan atas alasan apa... aku ingin mencatatkan sahaja bahawa panel itu mengesahkan penyelidikan PhDku itu bukan sesuatu yang sia-sia. Jika tidak, apakah berbaloi menghabiskan biasiswa yang menghampiri setengah juta.

Kenapa aku terasa amat gembira? Kerana itulah bagiku kata-kata semangat untuk aku meneruskan apa-apa penyelidikan yang aku suka. Sebelum ini ada kalanya hati begitu terluka apabila mendengar komen-komen seperti begini: " You buat tajuk senang sebab tu senang berjaya, I buat tajuk susah.. itu yang susah ni!". aduhai.. terkebil-kebil mataku memandang yang berkata. Tidakkah mereka tahu penyeliaku mengambil masa 6 tahun untuk mendapatkan penyelidik pertama yang mahu meneroka ilham dan teorinya... dan akulah yang menerima cabaran itu. Kata penyelia kepada ku,"Apa-apa yang anda hasilkan ialah satu penemuan.. carilah jalan untuk ke situ". Dan akupun puas meraba-raba di dalam gelap gelita. Perjalananku tidak mudah, banyak onak dan duri.. tapi itu semua tidak ku endah, kerana penyelia-penyeliaku mengajar aku bagaimana untuk bekerja dan pada masa yang sama bergembira dengan dunia penyelidikan. Kerana itu aku melalui susah dalam senyum!

Kadangkala pula, aku ditanya dengan nada sedikit sindir," Your research tentang apa ye.. nampak ke sana dan ke sini.. tidak jelas bidangnya!" Dan aku malas untuk membalas.. kerana jika itu nada soalnya, seperti merasakan apa-apa hasil kerja orang lain rendah nilai dari kerjanya. Dan dua hari lepas aku ceritakan kepada panel-panel apa yang ingin aku ceritakan... tentang nilai-nilai yang ada di dalam penyelidikan seolah-olah di kepalaku aku menjawab sindiran sinis yang aku terima dulu! Maka, aku puas. Bukan kerana aku berjaya di dalam sesi itu, tapi aku berjaya mencurahkan apa yang tersimpul di kepala.

Hari ini, aku yakin aku berada di landasan penyelidikan yang lurus. Biarlah ada bisikan-bisikan atau sindiran-sindiran.. apa aku perlu peduli. Apa yang aku pasti.. benarlah kata Prof. Normah di dalam satu sesi.. bahawa memiliki ijazah tertinggi tidak dihujani dengan intan permata, darjat dan wang ringgit. Ia cuma membawa kita ke satu puncak yang tinggi untuk melihat sesaujana mata memandang lautan luas ilmu milik Allah, iaitu Tuhanku dan Tuhanmu. Maka dengan itu, perlulah kita merasa kerdil di bumi tuhan kerana sesungguhnya ilmu yang ada di dada terlalu kerdil, sekerdil setitis air di lautan! UNTUKMU PENYELIDIKANMU, UNTUKKU PENYELIDIKANKU!

Saturday, 12 February 2011

Tentang Riba

Lama tidak menulis. Idea selalu terperap dan selalunya hilang begitu sahaja. Hari ini, selepas letih berbengkel dan berseminar .. baru ada sedikit kesempatan untuk menulis semula.

Malam Jumaat yang lepas, berkesempatan menonton Siri Hal Ehwal Islam di TV1. Panelnya kali ini Dr Ahmad Bashir dan Dr Asyraf Wajdi. Walaupun, tajuk Riba ialah tajuk biasa, namun, ada beberapa perkara yang menarik untuk dikongsi bersama.

Apakah itu riba? Riba ialah lebihan nilai yang diterima oleh si pemberi pinjam daripada nilai yang dipinjam oleh si peminjam. Contoh, si pemberi pinjam memberi wang RM1000, tetapi si peminjam diminta membayar lebih daripada RM1000. Lebihan itulah riba.

Apakah riba itu berdosa? Ya. Riba itu berdosa. Dr Asyraf mengingatkan dosa terlibat dengan riba ialah seperti berzina dengan ibu sendiri! Besarnya dosa itu. Jijiknya. Tapi, orang muslim masih melakukan riba, kadang kala secara sedar, bukan terpaksa. Kenapa? Kata beliau, kerana kita tidak mengajar anak-anak kita menjijikkan riba sebagaimana kita berjaya mengajar anak-anak kita tentang haramnya anjing dan babi! Tersentak saya dibuatnya. Anak-anak masih tidak diajar dengan pendekatan yang begitu. Barangkali, fakta riba adalah dosa perlu diulang-ulang sekerap kita bercerita tentang anjing dan babi. Alhamdullillah.. masih belum terlambat untuk memulakan pendekatan yang begitu.

Mengikut fakta yang disampaikan oleh Dr Ahmad Bashir, hanya 20 peratus daripada peminjam wang di negara ini yang menggunakan sistem perbankan Islam. Tambah beliau, daripada 20 peratus itu, lebih 50 peratus yang menggunakan perbankan Islam adalah bukan Muslim. Kenapa? Pertama, kerana antara kita masih tidak yakin tentang keberkatan hidup tanpa riba. Kedua, kerana kita tidak diasuh dan mengasuh untuk menjijikkan riba dengan bersungguh-sungguh.

Pasti kita semua berhutang. Yang kaya pun berhutang, yang miskin akan lebih lagi berhutang. Apakah ketika berhutang kita ingat Allah? Hutang bukan urusan kehidupan sahaja. Ia ada perkiraan dosa pahala. Di hujungnya ada kesudahan syurga atau neraka.

Oh Allah, mohon jauhkan kami dari riba. Oh Allah, kami mohon kekuatan untuk menolak riba. Amin.

Sunday, 6 February 2011

GEGAR 1,000 BLOG OLEH BEN ASHAARI

Blog Ben Ashaari
SAYA SOKONG DUNIA BLOG dan SAYA SUKA KERANA SAYA MINAT MENULIS DAN MEMBACA BLOG ! ANDA BAGAIMANA ??


p/s - Mari meriahkan dunia blog... walaupun dengan satu entri sebulan!!!

Saturday, 1 January 2011

Mencari Keajaiban

Masih ku ingat, sewaktu kecil-kecil dahulu, aku amat menggemari cerita-cerita dongeng. Paling suka, cerita Aladdin. Kenapa? Kerana Aladdin mempunyai lampu ajaib, yang perlu digosok-gosok, maka beliau boleh meminta apa saja, lalu permintaan itu menjadi nyata (kononnya!). Ada ketikanya aku seakan berdoa pada Tuhan, Ya Allah.. kurniakanlah aku sebuah lampu seperti Aladdin ... Mudah-mudahan keinginanku yang banyak itu menjadi kenyataan!

Atau aku juga pernah menginginkan aku di sapa oleh seorang bidadari dan bertanyakan kepadaku 3 permintaan yang akan ditunaikan serta merta. Lalu, aku mencari-cari 3 hajat tertinggi ku ketika itu sebagai persediaan jika aku bertemu bidadari tersebut. Apa 3 permintaan ku ketika itu? Selalunya berkisar tentang permainan atau makanan atau pakaian. Otak anak kecil, begitulah hajatnya. Masa berlalu dan aku terus menerus kecewa kerana sesungguhnya keajaiban untuk memiliki lampu seperti Aladdin atau berjumpa dengan bidadari cuma satu dongeng yang tidak mungkin terjadi! Keajaiban seperti itu cuma muncul di dalam buku-buku.

Kini, setelah usia meningkat ke beberapa dekad, akupun hampir lupa tentang dua perkara ajaib yang ingin aku miliki. Cuma, sebulan dua lepas, aku sempat mengikuti siri Tanyalah Ustaz. Ketika itu ustaz yang dijemput bercerita tentang keajaiban air zam-zam, seolah air dari syurga. Kata ustaz, satu sifat unik air zam-zam ialah dengan kuasa Allah, ia seakan mendengar permintaan si peminumnya. Maka, banyakkanlah berdoa ketika meminumnya. Antara saripati doa yang digalakkan ialah "Ya Allah, tambahkanlah untukku ilmu yang berguna, luaskanlah rezekiku dan sembuhkanlah semua penyakitku". Dan ketika itu, aku barulah seakan tersedar... dan berkata "Ya Allah... dulu aku puas berdoa-doa untuk memiliki keajaiban seperti Aladdin.. rupanya Engkau telah kurniakan untuk setiap seorang muslim sejak tangis pertama mereka sehingga nafas terakhir dengan dua perkara ajaib: doa dan air zam-zam! Sungguh! Aku termasuk di dalam golongan yang alpa dan tidak berfikir. Aku tidak perlu menggosok-gosok lampu. Aku tidak perlu menanti-nanti seorang bidadari. Aku boleh meminta pada Tuhanku apa sahaja, setiap waktu di mana-mana sahaja!

Lalu, ketika di ambang tahun baru ini ... aku meneropong ke hari-hari hadapan. Terserlah betapa banyaknya mimpi-mimpi dan keinginan yang ingin dimiliki, baik untukku, untuk suamiku, untuk ibuku, untuk anak-anakku, untuk kaum kerabat, untuk jiran tetangga, untuk sahabat handai (realiti atau maya), untuk pelajar-pelajar, untuk organisasi, untuk kampung, untuk negeri, untuk negara, untuk agamaku... senarainya panjang berjela!

Untuk hajat yang sejuta,
Jika dengan kudrat dan usaha sahaja.. maka sungguh sukar untuk kami menggapai sebutir bintang,
Maka.. Ya Allah.. pada KudratMu yang Maha kuasa, kami akan terus minta-minta..
Moga-moga bintang-bintang dan bulan jatuh ke riba...
Di tangan kami telah Engkau kurnia, dua benda ajaib: doa dan air dari syurga
Bersamanya kami akan pohon padaMu, keajaiban demi keajaiban.
Ya Allah.. pada hari-hari yang mendatang, iringilah kami dengan keajaiban. Amin.

p/s: Nurazzah8 sedang diduga dengan anak kesayangannya ditimpa kemalangan. Ya Allah.. kurniakan kepada beliau seisi keluarga satu keajaiban, mudah-mudahan anaknya sihat seperti sedia kala.