Hari minggu yang lepas kami sekeluarga berkesempatan berkunjung ke hospital bersalin UMRA, Shah Alam, untuk melawat 'cucu saudara' - Adra Husna. Jelas terbayang kegembiraan di wajah pasangan Filah dan Ed menyambut kelahiran anak pertama... wajah-wajah kudus ibu dan ayah menerima amanah Tuhan.
Adra Husna
Sambil-sambil bercerita, tiba-tiba fikiran saya jauh melayang mengenang saat-saat setiap kelahiran anak-anak sendiri. Rasa 'kasih dan cinta darjah teratas' buat sesama insan. Hati saya pun terdetik "Patut lah Allah menyarankan hambanya berdoa supaya Dia mengasihi ibu dan bapa kita sebagaimana mereka mengasihi ketika kita masih kecil... kerana pada ketika itulah itulah lahirnya rasa kasih tahap paling tinggi buat seorang insan"... Maha Suci Allah, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui.
Firman Allah s. w. t. dalam surah Al-Israk ayat 23-24: Maksudnya : “Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selainNya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara kedua-duanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaanmu maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “Ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku kasihilah mereka keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku semasa kecil dahulu”.
Bermula dengan tapak kaki sebesar dua jari dan lemah, anak dibelai menuju kedewasaan. Namun, acap benar kedewasaan membutakan hati-hati kita. Mungkin Saya, mungkin anda. Kudus kasih ibu dan ayah tidak ditatang dengan sewajarnya.
Tika badan rasa gagah, ibu dan ayah disergah.
Tika diberi sedikit kuasa, ibu dan ayah dilupa.
Tika dianugerah anak/isteri/suami, ibu dan ayah tersisih ke tepi.
Kudus kasih ibu dan ayah bertahan selamanya, kudus kasih anak entah di mana.
WAHAI YANG BERGELAR ANAK...
BIAR LANGIT TINGGI YANG SEDANG KAU JULANG
SYURGAMU MASIH DI TELAPAK KAKI IBU .....................................
1 comment:
Nas, syukur kerana Allah memberi ilham untuk coretan entri ini...moga memberi keinsafan kepada semua yang membaca...yang masih mempunyai ibu dan ayah...hargailah mereka kerana kasih mereka tiada bandingannya di dunia ini...
Post a Comment