Wednesday 29 June 2011

Anak Lelaki

Selepas kematian Lion Head (arnab kecil yang telah dilarikan oleh seekor kucing ganas), kami berbincang untuk membeli seekor lagi Lion Head sebagai pengganti. Lalu, saya tanyakan kepada anak-anak, siapa yang ingin 'sponsor' untuk pembelian kali ini. Gem 5 terus menjawab dengan pantas,"I'll do, I'll give all my money - RM20.00". Anak lelakiku hanya memiliki RM20.00! Itulah simpanan yang dimilikinya. Katanya,"I don't like keeping money.. It's too hard!". Selama ini jika beliau mempunyai wang, beliau sentiasa akan cuba membayar dengan menggunakan semua wang yang ada. Tahulah kami kini, apa yang mendorongnya berbuat begitu... sukar untuk kira-mengira tentang wang.

Dan sketsa tentang wang itu masih bermain-main difikiran. Sudah tentu kami gembira memiliki ahli keluarga yang tidak berkira. Tapi apa akan jadi padanya di masa hadapan. Aduhai... anak lelaki mempunyai tanggungjawab bukan untuk anak-isterinya sahaja di masa hadapan. Anak lelaki WAJIB juga menjaga kebajikan ibu bapanya sehingga dia mati atau ibu bapanya mati. Maka, kemahiran mengurus wang adalah satu keperluan utama untuk menanggung tugas hakiki itu.

Cerita-cerita di celah-celah kehidupan berlambak di depan kita. Betapa segelintir anak-anak lelaki yang lupa tugas mereka. Entah atas alasan apa. Bertanya khabarpun segan, apatah lagi mengurus kebajikannya. Tidak sudi bertanya, apakah ibu yang tua apa keperluannya untuk hari ini, esok atau lusa? Apakah cukup makannya, apakah cukup minumnya, apakah terlangsai bil-bilnya, apakah selesa hidupnya di hari-hari tua?

Tadi Gem 7 datang manja di ribaan. Lalu, dia dirangkul dan dicium mesra. Tiba-tiba hati menjadi sayu mengenangkan perasaan ibu-ibu tua di celah-celah kehidupan. Barangkali mereka dulu mendakap mesra anak-anak lelaki mereka dengan kasih yang melimpah ruah. Kini, kasih itu tidak berbalas. Aduhai anak-anak, lupakah mereka pada roda hidup yang berputar. Sesungguhnya, balasan Tuhan amat dekat.

No comments: