Tuesday 4 October 2011

Terima Kasih Cikgu

Sekarang musim peperiksaan, satu demi satu datang dan pergi. Di kesempatan ini, kami sekeluarga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua guru-guru yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menyumbang tenaga untuk mendidik anak-anak kami di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 dan Sekolah Menengah Seksyen 7.

Anak-anak kami datang kepada mereka dengan serba kekurangan. Contohnya, Gem 5 ketika pertama kali menjejak kaki di sekolah itu bermula dengan Kelas 4E, mata pelajaran Bahasa Malaysia nya gagal. Akhirnya, beliau dapat melompat ke kelas 6A tapi dengan pencapaian Bahasa Malaysianya yang corot. Di rumah, tiada daya upaya untuk membantu. Jika ditanya pada saya, apakah karakter anak bujang saya yang satu itu, maka saya akan menjawabnya begini: "Jika ditolak waktu makan-minum, sembahyang dan mandi, pada beliau hanya ada 2 keadaan - sama ada tidur atau terperuk di depan komputer / ipad / galaksi tab. Jika disuruh ulang kaji = tidur lena dalam sekelip mata! Tidak pernah membuat 'homework' dirumah sehingga menimbulkan rasa sangsi apakah sekolah itu tiada kerja rumah".  Tiba-tiba, sebulan sebelum UPSR, pihak sekolah telah menjemput kami untuk sesi perjumpaan ibu bapa dan guru. Alangkah terkejutnya kami beliau dipanggil ke pentas dengan mendapat kedudukan 1/249 - ranking pertama. Pertama kali pula mendapat A dalam kedua-dua Bahasa Malaysianya. Di akhir sesi, kami mencari-cari guru-gurunya. Yang terjumpa, cuma guru Bahasa Malaysianya. Lalu, saya memeluk dan mencium guru Bahasanya sambil berkata "Terima kasih Cikgu" dalam sebak.

Terima kasih cikgu-cikgu kerana berjaya merubah anak-anak kami, mental dan spiritual. Jasa kalian akan  dikenang sepanjang jalan-jalan kehidupan, hanya Allahlah tempat kami memohon untuk membalas jasa-jasa itu.





No comments: