Sunday 22 July 2012

Mak Limah, Mak Som dan Mak Cik Ani

Mak Limah dan Mak Som adalah pengasuh anak-anak kami. Hanya DUA, tidak tiga, tidak empat atau lebih.
 
Mak Limah menjadi pengasuh Gem 3. Mak Limah, balu anak enam yang kematian suami ketika usia masih muda - sekitar 35 tahun. Diperkenalkan melalui jiran, Kak Jah yang sangat berjasa. Biarpun cuma setahun, hubungan dengan Mak Limah sekeluarga tetap berterusan. sesekali, kami muncul  di laman Mak Limah.
 
Mak Som dan keluarga mengambil tempat Mak Limah ketika kami berpindah ke Arau. Gem 4, Gem 5 dan Gem 6 membesar di tangan Mak Som sekeluarga. Malah, Mak Som menganggap anak-anak kami seperti anak-anak mereka juga. Mereka ditatang dengan penuh kasih sayang. Gem 4 dan Gem 6 yang manja selalu duduk diribaan. Ketika Mak Som berkira-kira untuk ke Mekah, kami terasa amat gusar. Siapalah yang bakal menjaga anak-anak kami ketika ketiadaan Mak Som dalam waktu yang agak panjang. Takdir Tuhan tidak diduga. Rupa-rupanya, kami dulu yang meninggalkan Mak Som dan keluarga bersama-sama dengan kenangan dan kasih sayang.
 
Mak Cik Ani hadir ketika rakan sekerja berangkat ke luar negara. Beliau bekerja sebagai pembantu rumah harian. Kami mempelawa Mak Cik Ani untuk bekerja dengan kami pula. Mak Cik Ani juga balu beranak enam. Mak Cik Ani sangat cekap bekerja. Beliau perlu datang ke rumah kami tiga kali seminggu ketika kami semua tiada di rumah. Dalam masa tidak sampai tiga jam, beliau telah melangsaikan semua kerja-kerjanya termasuk kerja-kerja yang sengaja ditambahnya. Beliau akan mop rumah, lipat baju yang menggunung, gosok baju kerja serta baju sekolah, cuci tingkap, kemas bilik-bilik, dan macam-macam lagi. Pernah diminta supaya Mak Cik Ani jangan melakukan kesemuanya. Tapi Mak Cik Ani berkeras juga - agaknya Mak Cik Ani bekerja dengan rasa kasih sayang. Suasana yang paling akan dingat untuk selamanya ialah apabila setiap kali melangkah masuk ke rumah selepas dikemas oleh Mak Cik Ani - seperti melangkah ke bilik hotel!

Ketika kami berangkat untuk berhijrah, Mak Cik Ani dalam pelukan yang erat membisikkan - Mak Cik Ani akan tunggu semua balik dan ingin meneruskan tugasnya bersama kami. Dan kami tidak lagi kembali ke situ.

Semalam.. di hening Ramadhan.. tiba-tiba teringatkan mereka bertiga. Mudah-mudahan Allah permudahkan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat sebagaimana mereka telah memudahkan kehidupan kami suatu masa dulu.
 


No comments: