Monday 30 July 2012

Menjejaki Ramadhan

Ramadhan datang dan pergi, berkali-kali. Seingat saya, kali pertama berpuasa Ramadhan ialah ketika berusia 5 tahun. Itupun cuma sehari dua. Pada usia enam tahun, puasa sebanyak enam hari. Tahun-tahun berikutnya puasa hampir sebulan kecuali pada hari-hari yang sangat diuji. Apakah hari itu? Hari mak buat kuih bahulu. Aromanya sangat meruntun perasaan dan keimanan.

Walaupun secara kasar berpuasa di dalam bulan Ramadhan, namun hari-hari yang dilalui ketika itu terasa tersangat lambat. Ramadhan dilalui dengan rasa susah payah dan lama. Kerap benar abang dan kakak terpaksa memboncengkan saya di atas basikal tua dan dibawa mereka meronda-ronda untuk mengisi masa. Rondaan diakhiri dengan membeli ketul-ketul ais yang digergaji dan disimpan di bawah timbunan habuk papan. Sangat klasik!

Barangkali, pada waktu dulu, objektif Ramadhan adalah sekadar satu tiket untuk menempah raya. Dan raya, sambutannya amat luar biasa. Di ketika inilah, sibuk bercerita yang serba baru, terutama kasut dan baju. Tidak lupa pula, berapa jenis kuih-muih yang telah disiapkan - kuih bahulu, kuih bakar, kuih loyang (ros), samperit... bermacam-macam. Ada yang cantik dan ada yang tidak menjadi - maklumlah buat kuih setahun sekali. Paling tragis ialah ketika hari mengacau dodol. Sungguh sibuk dan meletihkan. Maka begitulah Ramadhan demi Ramdhanku berlalu.

Apabila dewasa dan berada di Gambang, Kuantan untuk kursus American Associate Degree, masa Ramadhan dihabiskan dengan ke kelas dan sebelah petangnya ke pasar Ramadhan dengan berjalan kaki melebihi satu batu untuk sehala. Penat dan melelahkan - ceritanya tentang sibuk urusan dunia dan makan.

Ketika anak-anak masih kecil pula, Ramadhan berkisar tentang mengejar buffet di kedai atau di hotel. Maka Ramadhan berlalu dalam kesibukan bercerita tentang enak dan kenyang.

Ramadhan akhir-akhir ini tidak lagi seperti dulu. Barangkali, objektifnya telah berubah kepada mengaut sebanyak pahala yang dilipatganda. Maka, waktu terasa sangat-sangat cepat berlalu kerana ada beberapa objektif harian kadangkala tidak tergapai tangan.

Benarkah Ramadhan semakin pantas berlalu? Apakah bumi berpusing lebih laju? Ataukah hatiku baru mengerti makna Ramadhan di sisi Tuhan? 

Tapi bagi Gem 7 yang pertama kali mencukupkan puasanya, masa masih lambat berlalu, seperti aku dulu-dulu. Setiap hari akan bertanya,"How many more days we have to fast?" Dan akan diikuti dengan muka yang muncung menghitung hari....


No comments: