Friday, 14 July 2017

PhD - Perjalanan yang Menagihkan Rasa Amanah

Suatu masa dulu saya tidak pernah membayangkan bahawa suatu masa nanti di masa hadapan saya akan memiliki sijil PhD dan meyelia pelajar PhD. Saya kira, sijil tertinggi itu tidak mampu dimiliki. Kadang kala ketika kita merasa tidak mampu, takdir Allah telah membuka peluang yang tidak mungkin itu.

Sudah tentu perjalanan memburunya penuh liku. Barangkali kerana saya perlu melepaskan banyak perkara untuk berhijrah ke negara asing, menjadikan saya sangat berkira-kira. Orang kampung semua dah tahu. Rakan sekerja sudah meraikan jamuan selamat jalan. Suami sudah berhenti kerja. Kereta sudah dijual. Rumah sudah disewa. Maka, ia satu perjalanan yang sangat berharga dan tidak boleh pulang dengan berputih mata. 

Hampir 5 tahun saya berjuang di negara asing. Negara maju yang rakyatnya  arif dengan teknologi baru dan membudayakan penyelidikan seawal di tadika. Maka, saya akur perjalanan PhD saya bukanlah mudah. Apatah lagi kedua-dua penyelia saya tidak akan menerima sebarang isu remeh-temeh. Bagi mereka, seseorang calon PhD sudah dewasa untuk menyelesaikan sebarang masalah teknologi dan peribadi. Dan saya tidak pernah mengadu domba apa-apa masalah kepada mereka. 

Pada masa yang sama, saya sentiasa akur bahawa ketika saya menjalani perjalanan PhD ini, saya ditaja sepenuhnya. Bukan setakat yuran pengajian, elaun hidup di perantauan, malah gaji saya juga berjalan tanpa saya perlu hadir ke tempat kerja. Biayaan ini tidak murah. Kerana itu saya terasa beban itu sebagai satu amanah yang saya perlu sentiasa ingat dan galas. Amanah itulah yang menghambatkan saya melakukan beberapa perkara yang saya kira wajib:
  1. Hadir ke lab seperti mana saya wajib hadir ke tempat kerja (sekurang-kurangnya 8 jam sehari).
  2. Bertemu dengan penyelia setiap minggu dan melaporkan kemajuan mingguan. Jika tidak mampu melaporkan apa-apa, saya akan gundah-gulana dan berusaha juga mengadakannya dengan kreativiti yang ada, kerana penyelia-penyelia saya tidak akan terima sebarang perjumpaan dengan tangan kosong untuk kerja-kerja seminggu yang lalu!
  3. Bekerja berselang-seli dalam sehari.. membaca, menulis tesis, menulis artikel dan menulis kod.
  4. Memenuhi arahan penyelia untuk menghantar laporan secara  berkala.
Inilah resepi saban hari. Selama hampir 5 tahun. Akhirnya dengan resepi ini, Allah mentakdirkan saya untuk berjaya. Ia rahmat dariNya. Kita hanya perlu berusaha. Kejayaan milik Allah, hanya Dia yang Menentukan.

Saat ini, ketika sudah 8 tahun saya pula menjadi penyelia, saya boleh mengira-ngira antara calon PhD manakah yang akan berjaya. Jika dari mula tidak mampu untuk bekerja 'PhD' sepenuh masa dan memikul amanah seperti makan gaji, maka perjalanan PhD itu mungkin akan jadi cuma mimpi. Mana mungkin ia datang bergolek ke pelukan, jika usahanya hanya sekadar suka-suka. Jumpa penyelia bila dirasakan senang. Seminggu ... sebulan... satu semester.... tiada progres. Akhirnya, semester akan terus berlalu ke titik penamat bersama amanah yang tidak tertanggung. Salah siapa? Jika soalan itu ditanya pada kedua-dua penyelia saya, saya sudah tahu jawapan jitu dari mereka... "Salah kamu kerana kami hanya penunjuk jalan.. kamu wajib mencari jalan itu.. Ingat! PhD itu anda punya.. bukan kami atau mereka..".  Biar hampir sedekad saya telah meninggalkan penyelia-penyelia itu, kata-kata tadi tetap tersemat di hati. Amaran tersirat yang menghambat saya memikul amanah yang sengaja dicari itu.





No comments: