Thursday, 10 November 2011

Persona Muslim: Mee Rebus Telur Basuh

Persona Muslim:
Mamat berusia 23 tahun. Mamat suka makan dan tidak memilih apa saja makanan yang dihidang, asalkan boleh mengenyangkan perut.

Idham juga berusia 23 tahun. Rakan sekolah dan sekampung Mamat. Mereka sama-sama bekerja di  Kuala Lumpur, di pejabat swasta yang berbeza. Tidak seperti Mamat, Idham amat berhati-hati tentang makanan yang dimakan. Beliau mahu memastikan makanan yang masuk ke perutnya benar-benar bersih dan suci.

Senario:
Dalam perjalanan pulang ke kampung untuk beraya Aidil Adha,  Mamat dan Idham, yang berkongsi kereta,  merasa agak lapar dan mencari-cari kedai di jalanan untuk mengisi perut. Kebetulan, di sepanjang jalan kiri dan kanan ketika itu ada deretan gerai yang menjual Mee Rebus. Dalam banyak-banyak pilihan, Idham memilih untuk berhenti makan di gerai Pak Malik Sungai Dua yang ada tertulis  "Mee Rebus Telur Basuh".

Tanya Mamat,"Gerai ni mee nya sedapkah"?
Kata Idham, "Entahlah, tapi nampaknya orang ramai berpusu-pusu ke gerai ni. Tapi yang penting, telur yang digunakan berbasuh!".
Kata Mamat,"Basuh ke tak basuh, sama saja Kuman pun kalau kena api, mati!"

Ketika sedang menjamah mee, Mamat dengan nada suara kecewa pun berkata, "Aku rasa sama saja sedapnya. Aku ingat ada rasa istimewa sebab menggunakan telur berbasuh! Kalau macam ni tak basuhpun tak apa. Bila masak, kuman yang melekat di kulit telur bersama sedikit najisnya, akan mati juga."

Barangkali, persona muslim seperti Mamat, ada di kalangan kita. Yang merasakan menggunakan telur berbasuh di dalam sebarang masakan, ialah perkara remeh. Alasannya, kerana kuman yang terlekat di kulit telur bersama calar-calar tahi ayam, akan mati selepas terkena bahang api masakan. Lagipun, sudah pasti juga, memasak mee rebus dengan telur berbasuh tidak akan menukarkan rasa mee rebus tersebut ke rasa kek coklat 5 tingkat! 

Membasuh telur untuk seorang muslim adalah sangat dituntut bagi seorang muslim. Kenapa? Kerana untuk mengelakkan najis tercampur ke dalam makanan. Kenapa? Kerana makanan yang bercampur najis hukumnya haram dimakan. Jika dimakan makanan haram, ia akan mengotorkan hati. Hati yang kotor tidak takut kepada Tuhan, tapi ia lebih takut kepada kepada kekuasaan kuman. Hati yang kotor mengajak empunya nya menjadi engkar kepada perintah Tuhan! Takutilah kepada hati yang kotor.

Membasuh telur sebelum digunakan untuk sebarang masakan, bukan perkara remeh dan boleh diabaikan. Ingatlah.


Thursday, 3 November 2011

Rahmat di Sebalik Gagal

Beberapa bulan lepas, berita kegagalan untuk mengejar sesuatu telah rasmi sampai di tangan. Maka, ketika itu perasaan bukan sedih tetapi bertukar menjadi marah. Marah atas bermacam alasan, pada manusia dan polisi: pada manusia yang mereka-reka polisi yang berubah-ubah seperti air pasang surut.

Tapi rahmat Allah tidak datang hanya kerana kita berjaya. Kadang-kadang kegagalan datang untuk 'membuka' seribu kemungkinan pilihan yang tidak disedari. Jika ditenung dan direnung, pilihan di hadapan berkali ganda lebih baik dari yang dikejar sekarang.

Terima kasih Allah, kerana membuka mata dan hatiku untuk melihat pintu - pintu kebaikan di hadapan yang terselindung dulu.

Tuesday, 1 November 2011

Berjaya

Setelah beberapa bulan berensot-ensot menulis, akhirnya hari ini ia sampai ke tangan publisher. Terima kasih Gem 4 (yang membantu dengan masa dan tenaga) dan Gem 6 (yang sentiasa memberi semangat untuk menghabiskan). 

Sudah tentu ia hanya permulaan. Mudah-mudahan, Allah limpahkan hikmah untuk satu kembara yang lebih jauh...

Monday, 31 October 2011

1.11.2011

Tiada tarikh keramat - cuma ingin abadikan detik ini sebelum ia berlalu.....

Thursday, 27 October 2011

Karya Gem 6

Sudah hampir dua puluh tahun, saya masih menginginkan untuk menghasilkan karya kreatif. Hajat di hati, ingin menghasilkan tulisan ilmiah dalam bentuk santai. Malangnya, sehingga kini masih tidak mampu untuk menghasilkannya.  Bukan kerana tidak beridea, tapi kerana daif pada tahap kreatifnya. Pun begitu, keinginan itu tidak hilang Ia masih tergapai-gapai dalam bentuk mimpi-mimpi pada masa hadapan. Kerana itu barangkali, ada satu kegilaan membeli karya-karya di pasaran disimpan sebagai sumber inspirasi.

Hari ini, komputer kecil ini baru 'sihat'. Ketika membelek-belek taburan 'short cut' pada 'desktop', terjumpa dua fail ini yang dihasilkan oleh Gem 6. Saya akan menyimpan... mungkin satu hari nanti ia menjadi  satu hasilan yang berguna!



Tuesday, 11 October 2011

Peperiksaan dan Mati

Entri yang lepas mencoretkan tentang hidup dan peperiksaan. Sepanjang hidup, entah berapa banyak peperiksaan yang telah diharungi.  Peperiksaan dilihat penting kerana ia memberi impak dalam kehidupan. Impaknya pula jelas diterima. Jika tidak membuat persediaan yang cukup, soalan-soalan di dalam peperiksaan tidak dapat dijawab dengan sempurna, maka hasilnya, markah yang rendah. Markah yang rendah bermakna menghampiri kegagalan. Kegagalan di dalam peperiksaan bererti banyak peluang-peluang kerjaya professional tertutup. Itu resam hidup yang berorientasikan peperiksaan.

Lama saya berfikir-fikir, rupa-rupanya, bukan hidup di dunia sahaja yang perlu berorientasikan peperiksaan. Hidup di alam kubur dan akhirat juga berorientasikan peperiksaaan. Kita akan dikastakan  selepas  mati berdasarkan  markah amal, tujuh kasta neraka dan tujuh kasta syurga! Ia kasta yang abadi. Maka, jika hendak dibandingkan dengan kasta sosial di dunia, sudah tentu kasta di akhirat ini berimpak tinggi. Tapi, apakah kita semua gentar dan gusar tentang peperiksaan-peperiksaan yang ada kaitan dengan hidup selepas mati ini?

Sungguh, setiap denyutan nafas, kita akan diuji dan dari itu  kita mengaut markah dalam perkiraan  unit pahala atau dosa. Mari kita perhatikan apakah jenis soalan di dalam peperiksaan-peperiksaan untuk kejayaan di akhirat:

1. Jenis soalan yang memerlukan jawapan Ya atau Tidak.
    Contoh: Adakah kamu beriman dengan Allah?

2. Jenis soalan yang memerlukan jawapan pendek?
    Apakah erti Iman?
    atau
    Berapakah rukun Islam?

3. Jenis soalan yang ada format dan praktikal.
     Tunaikan sembahyang.
     - Sembahyang ada formatnya (rukunnya), jika salah dapat dosa, jika betul dapat pahala.
     Contoh-contoh soalan lain yang seangkatan dengannya:
  • Tunaikan puasa
  • Tunaikan zakat.
  • Tunaikan haji.
4.  Soalan tidak berformat.
     Contohnya, semua bentuk dugaan untuk setiap denyut nafas.
     Ada kalanya, kita diuji dengan ujian yang kecil, seperti digigit oleh seekor nyamuk.
     Ada kalanya, kita diuji dengan ujian yang agak besar, seperti talipon dicuri.
     Ada kalanya, kita diuji dengan sakit, dengan kejayaan, dengan harta, dengan anak, dengan pembantu rumah, dengan bos, dengan rakan sekerja, dengan pemandu di jalan raya, dengan mak cik jual sayur, dengan pemuda jual insuran, dengan remaja jual majalah, dengan motor rosak di tengah jalan, dengan pengemis yang betul, dengan pengemis yang bersindiket, dengan lampu trafik rosak, dengan anak-anak bergaduh, dengan arnab yang busuk, dengan kucing kurap memandang sayu meminta makanan, dengan..... macam-macam.

Lalu, aku bertanya pada diriku sendiri: "Jika, semasa diuji dengan peperiksaan SPM untuk kepentingan dunia yang tidak seberapa itu, aku sungguh-sungguh gentar dan merintih pada Tuhanku, merayu memohon kejayaan; bagaimana pula dengan ujian-ujian untuk alam selepas mati yang abadi ini?" Aku tanya dan tanya lagi. Bagaimana??? Ya Allah, aku ingin sekali menjawab semua soalan peperiksaanMu dengan sempurna, mendapat markah pahala yang tertinggi. Hadirkanlah rasa gusar dan gentar dan sayu dan sendu ke dalam jiwa-jiwa kami ketika menghadapi peperiksaanMu. Agar, kami tetap merasa hamba yang hina dan perlu terus meminta-minta padaMu, Pemilik segala.













Friday, 7 October 2011

Hidup dan Peperiksaan

Barangkali hidup dan peperiksaan tidak dapat dipisahkan. Sejak kecil sehingga tua, perkataan peperiksaan saban muncul. Bezanya, dulu diri sendiri yang menghadapi, hari ini menyaksikan giliran anak-anak pula.Tiap kali menjelang peperiksaan, terasa perit mental, fizikal dan emosi. Kadang kala timbul rasa benci, kerana ada peperiksaan yang gagal atau berjayanya memberi kesan sepanjang hayat. Ia penentu sesuatu peluang tertutup atau terbuka di masa hadapan, dan kadang kala ia menjadi pembahagi kasta sosial. Beruntunglah pada yang berjaya. Berdukalah pada yang gagal. Bilanglah... berapa banyak peperiksaan yang telah dilalui. Itu tidak termasuk ujian dan kuiz. Dan... sebanyak itu kita telah terdera!

Di antara peperiksaan yang datang dan pergi, bagi saya peperiksaan SPM lah merupakan peperiksaan yang berhantu. Ia telah menghantui kehidupan saya di masa lalu, dan kadang-kadang ketakutan dulu masih datang dalam mimpi-mimpi. Apabila terjaga, saya sering berkata,"Syukurlah ia sudah lama berlalu".  Aduhai SPM oh SPM, ketahuilah... keputusan SPM seperti cap mohor yang tercatat di dahi untuk sepanjang hayat. Apabila memohon pekerjaan, SPM masih dinilai walaupun sudah mempunyai PhD!

Kerap kali, saya merasakan peperiksaan itu adalah satu cabang kekejaman. Itulah persepsi yang ada. Terasa, jika ada kuasa, saya akan menghapuskan segala jenis peperiksaan yang ada.

Cuma, sejak Gem 4 mengharungi UPSR dan Gem 5 sedang mengharungi PMR, tiba-tiba persepsi saya terhadap peperiksaan telah berubah. Kerana kegentaran terhadap peperiksaan itu, anak-anak mula mendekati Allah pada kadar yang luar biasa. Bacaan surah Yasin sering terdengar di telinga. Malah rajin pulak solat hajatnya. Pada ketika-ketika waktu mustajab doa, mereka terkumat kamit menyuarakan impian dan pengharapan. Sebelum peperiksaan bermula pula, di sana-sini, ada majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat. Ia dianjurkan oleh pelbagai pihak: individu, komuniti, sekolah, dan ada juga di peringkat negeri. Dan ketika peperiksaan PMR sedang berjalan, pihak sekolah pula mengadakan majlis bacaan Yasin, Solat Dhuha dan Hajat di surau sekolah pada setiap hari peperiksaan. Ia dihadiri oleh guru-guru dan ibu bapa. Suasananya bukan sahaja syahdu, malah ia membawa rasa kehambaan bahawa selepas berusaha, maka hanya Allah lah tempat meminta segala bentuk kejayaan. Dialah pemilik mutlaknya. Dia berkuasa memberi kepada sesiapa sahaja yang disukaiNya. Maka, padaNya lah, masing-masing berdoa penuh sendu, merintih dan meminta-minta.

Dan ketika ini, persepsi saya terhadap kezaliman peperiksaan sudah berubah. Apabila dikenang pada ranjau sepanjang jalan, maka saya patut bersyukur pada semua jenis peperiksaan yang telah menjadi sejarah. Kerana, dengan adanya semua jenis peperiksaan itu, saya masih ingat kesyahduan merayu-rayu dan meminta-minta kejayaan demi kejayaan pada Allah. Pada ketika diri terasa terlalu daif dan lemah, tidak berupaya mengingat dan berfikir, saya akan bersungguh-sungguh memujaNya. Secara tidak disedari, setiap langkah ke kelas menjadi hitungan tasbih, setiap sedar dan jaga, mulut terkumat-kamit berdoa. Ya Allah, ampunilah hambaMu ini, yang sering terleka setelah diberi kejayaan yang diminta. Ya Allah, nikmatMu yang manakah, yang telah aku dustakan?

Akhirnya, saya bertanya kepada diri sendiri,"Apakah aku akan memuja Tuhanku seperti itu jika aku tidak menghadapi peperiksaan yang berkala itu?" Barangkali, jika direkod dan digrafkan, pada ketika menghadapi saat-saat peperiksaan itu, kadar pemujaan aku kepada Allah meningkat tinggi. Dan kadar itu menurun bersama lenyapnya musim peperiksaan. Sungguh, aku termasuk di dalam golongan yang sombong dan lalai.

Kini, persepsiku terhadap peperiksaan mula berubah. Dari satu sudut peperiksaan memang  dilihat kejam. Di sudut yang lain pula, ia membuka seluas peluang untuk pendekatan hubungan di antara seorang hamba dengan Tuhannya!