Monday, 14 November 2011

Redha!

Semalam hari pertama Gem 3 menghadapi peperiksaan SPM. Bukan Gem 3 sahaja yang berdebar barangkali, kami sekeluarga serta Tok juga berdebar-debar. Jika boleh, ingin bercuti dan berada di rumah. Malangnya, keperluan kerja tidak membenarkan cuti diambil sewenang-wenangnya ketika semester sedang berjalan. Tindakan tegas akan diambil! Maka, jauh di sudut hati sentiasa berdoa, moga Allah mudahkan kehidupan Gem 3.

Ketika waktu tengahari, Gem 3 dihubungi. Tanya saya, "How's your exam". Jawab Gem 3 ringkas,"Alien". Meniru kelakuan Gem 7 apabila ditanya soalan tentang persekolahannya! 

Ketika saya berkira-kira untuk pulang, tiba-tiba Gem 3 membuat panggilan dengan suara tenggelam timbul. Sambil memasang telinga untuk mendengar butir kata, saya cuma dapat menangkap perkataan seperti .."I could not concentrate ... windy ... vomit ... paper 2 BM". Suaranya sebak dan tersekat-sekat. Lalu, jawab saya, "I'll call you later. I'm driving". Berita yang didengar itu amat-amat mengganggu. Saya dapat rasakan kekecewaan Gem 3 setelah berhempas pulas bersedia, tiba-tiba datang musibah sakit yang tidak diduga pada waktu yang paling kritikal dalam hidupnya. Bisikan jahat mula meracuni fikiran saya ketika itu . .. lalu .. bertanya-tanya seperti "Kenapa sekarang???!" atau "Jikalah diketahui lebih awal.... bolehlah diikhtiarkan ubatnya". Lalu, cepat-cepat saya katakan pada hati yang hampir diracuni, "Redha! Redhalah dengan ketentuan Tuhan".

Ketika hati mula tenang, saya menghubungi semula Gem 3. Saya katakan padanya,"Forget about the past. Think about the future. Don't be sad!". Tapi saya juga sebenarnya bersedih! Jika berkuasa, saya ingin mengulang semula masa. Tiba-tiba terlintas kata-kata pujukan di fikiran, kenapa perlu bersedih, berprasangka baiklah pada Tuhan. Barangkali jawapan Gem 3 semasa sakit lebih baik dari ketika sihat. Saya memujuk hati. dan hati menjadi tenang. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, saya berkata-kata,"Redhalah".

Sesampai di rumah, saya ceritakan pada Gem 1. Kami berfikir-fikir beberapa alternatif. Perlukah kami meminta jasa baik keluarga terdekat untuk membawa Gem 3 ke klinik? Atau kamikah yang perlu bergegas ke sana? Jam sudah menunjukkan pukul 6 petang. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk pergi sendiri. Kami singgah sebentar ke Klinik Al-Hikmah. Apabila nama Gem 3 dipanggil, kami berdua yang masuk. Lalu, kami ceritakan masalahnya kepada Dr Syed. Ayat pertama yang keluar dari mulut doktor itu ialah,"Berdoalah banyak-banyak, mungkin jawapan dia ketika sakit itu lebih baik". Bukankah itu juga yang saya fikirkan tadi?

Selesai di klinik, jam sudah menunjukkan 6.40 petang. Maghrib sudah hampir benar. Awan-awan berkumpul gelap. Nampaknya hari akan hujan sebentar lagi. Hujan lebat di lebuh raya bukan sesuatu yang mudah. Memandangkan kami perlu tiba sebelum Gem 3 masuk tidur, kami meneruskan juga perjalanan. Sebaik tiba di Rawang, hujan turun dengan lebatnya. Dan hujan di Sungkai menjadi amat lebat. Beberapa kali saya meminta Gem 1 berhenti saja di perhentian yang hampir. Perjalanan amat merisaukan. "Ya Allah, selamatkan lah kami", kata saya tidak henti-henti. Sesekali datang pertanyaan, apakah hikmahnya Allah membawa kami ke sini pada waktu yang tragis ini - musafir di lebuh raya di tengah-tengah hujan yang amat lebat! Tiba-tiba saya tersedar ada dua perkataan di situ - musafir dan hujan lebat. Bukankah kedua-duanya adalah waktu mustajab untuk berdoa? Ketika itu, sambil mulut terkumat-kamit, saya bertanya pada diri sendiri - "Hey.. pernahkah saya bersyukur kerana bermastautin di bahagian bumi yang bernama Khatulistiwa??? Bukankah Allah sering merahmati kita dengan hujan-hujan yang lebat, waktu mujarab untuk meminta-minta doa?" Sungguh... aku termasuk di dalam golongan manusia yang alpa!

Sesampai di sana, kami menghampiri pintu pagar. Ketika Gem 1 keluar untuk meminta izin untuk ke perkarangan asrama, ada sebuah kereta lain juga berhenti di beakang kereta kami. Sebaik saya berkata, " Ha.. tengok tu.. ada juga ibu bapa yang serupa kita - melawat anak di tengah malam buta", kami disapa oleh Adi, anak saudara yang menetap di Penang. Dalam perjalanan beliau menguruskan kerja, beliau terlihat libasan kereta kami dan terus beliau mengejar kami untuk mengesahkan. Beliau terus mengajak kami ke rumah beliau dan menjamu pula. Ya Allah... ini bukan satu kebetulan. Allah telah mengatur perancangan yang sebegitu rupa.  Dalam ramai-ramai manusia di Penang, pada waktu malam buta, kehadiran kami disambut oleh keluarga sendiri dengan cara yang tidak disangka-sangka.

Agenda seterusnya berjalan lancar sehingga kami pulang semula ke Shah Alam pada malam yang sama. Satu pengajaran yang amat bernilai yang dapat dirasai ialah REDHA dengan ujian Tuhan yang tidak terduga. Dengan REDHA, Allah memberi jalan keluar di luar jangkaan minda!

Saturday, 12 November 2011

Pernah di Dalam Mimpi- Mimpi (3)

Alhamdullillah, akhirnya mimpi untuk menghasilkan buku ilmiah dalam bentuk santai  (yang dipendam 20 TAHUN LALU), kini hampir menjadi kenyataan. Ia bermula dengan projek kecil-kecilan dan telah diutarakan ke penerbit tempatan, tapi ditolak atas alasan tidak menerbitkan buku di dalam bahasa Inggeris.

Puas difikir ke mana hendak dituju. Hari-hari dipenuhi dengan mencari penerbit yang boleh dipercayai. Akhirnya, terjumpalah sebuah syarikat penerbitan yang bertapak di United Kingdom. Apabila dihubungi pada bulan Ramadhan yang lepas, penerbitnya sudi untuk membacanya.

Proses menulis tidak berakhir pada waktu yang dijangkakan. Ia sukar bagi saya yang tidak pernah menulis buku cerita selain daripada kertas journal, konferen atau cuma satu bab buku. Tambahan lagi, saya tidak mahir berbahasa. Alahai sukarnya. Proses menulis akhirnya berjaya disiapkan dan dihantar pada 1/11/2011!

Hari ini, 13/11/2011, saya menerima e-mail yang membawa berita gembira ini:

"I have wonderful news, your script has been accepted by our review process. We liked its simplicity and can really see many mothers buying this book for their daughters inshallah. ......."

"........  to get your book to an Industry standard print and onto Amazon and other distribution channels."



Alhamdullillah.... Alhamdullillah.... Alhamdullilah.

P/S:
 Terima kasih Gem 4 dan Gem 6 ....... Ia projek kita bersama!!!! Terima kasih Gem 1... kerana memberi sokongan moral dan kata-kata semangat!

"Good Luck Gem 3"

The best of luck to our dearest family member, Gem 3 for her SPM exam tomorrow.

Strive for  the best!

Friday, 11 November 2011

11.11.11

Tarikh comel ini akan berlalu.... ingin juga dijadikan entri buat kenang-kenangan.

Thursday, 10 November 2011

Persona Muslim: Mee Rebus Telur Basuh

Persona Muslim:
Mamat berusia 23 tahun. Mamat suka makan dan tidak memilih apa saja makanan yang dihidang, asalkan boleh mengenyangkan perut.

Idham juga berusia 23 tahun. Rakan sekolah dan sekampung Mamat. Mereka sama-sama bekerja di  Kuala Lumpur, di pejabat swasta yang berbeza. Tidak seperti Mamat, Idham amat berhati-hati tentang makanan yang dimakan. Beliau mahu memastikan makanan yang masuk ke perutnya benar-benar bersih dan suci.

Senario:
Dalam perjalanan pulang ke kampung untuk beraya Aidil Adha,  Mamat dan Idham, yang berkongsi kereta,  merasa agak lapar dan mencari-cari kedai di jalanan untuk mengisi perut. Kebetulan, di sepanjang jalan kiri dan kanan ketika itu ada deretan gerai yang menjual Mee Rebus. Dalam banyak-banyak pilihan, Idham memilih untuk berhenti makan di gerai Pak Malik Sungai Dua yang ada tertulis  "Mee Rebus Telur Basuh".

Tanya Mamat,"Gerai ni mee nya sedapkah"?
Kata Idham, "Entahlah, tapi nampaknya orang ramai berpusu-pusu ke gerai ni. Tapi yang penting, telur yang digunakan berbasuh!".
Kata Mamat,"Basuh ke tak basuh, sama saja Kuman pun kalau kena api, mati!"

Ketika sedang menjamah mee, Mamat dengan nada suara kecewa pun berkata, "Aku rasa sama saja sedapnya. Aku ingat ada rasa istimewa sebab menggunakan telur berbasuh! Kalau macam ni tak basuhpun tak apa. Bila masak, kuman yang melekat di kulit telur bersama sedikit najisnya, akan mati juga."

Barangkali, persona muslim seperti Mamat, ada di kalangan kita. Yang merasakan menggunakan telur berbasuh di dalam sebarang masakan, ialah perkara remeh. Alasannya, kerana kuman yang terlekat di kulit telur bersama calar-calar tahi ayam, akan mati selepas terkena bahang api masakan. Lagipun, sudah pasti juga, memasak mee rebus dengan telur berbasuh tidak akan menukarkan rasa mee rebus tersebut ke rasa kek coklat 5 tingkat! 

Membasuh telur untuk seorang muslim adalah sangat dituntut bagi seorang muslim. Kenapa? Kerana untuk mengelakkan najis tercampur ke dalam makanan. Kenapa? Kerana makanan yang bercampur najis hukumnya haram dimakan. Jika dimakan makanan haram, ia akan mengotorkan hati. Hati yang kotor tidak takut kepada Tuhan, tapi ia lebih takut kepada kepada kekuasaan kuman. Hati yang kotor mengajak empunya nya menjadi engkar kepada perintah Tuhan! Takutilah kepada hati yang kotor.

Membasuh telur sebelum digunakan untuk sebarang masakan, bukan perkara remeh dan boleh diabaikan. Ingatlah.


Thursday, 3 November 2011

Rahmat di Sebalik Gagal

Beberapa bulan lepas, berita kegagalan untuk mengejar sesuatu telah rasmi sampai di tangan. Maka, ketika itu perasaan bukan sedih tetapi bertukar menjadi marah. Marah atas bermacam alasan, pada manusia dan polisi: pada manusia yang mereka-reka polisi yang berubah-ubah seperti air pasang surut.

Tapi rahmat Allah tidak datang hanya kerana kita berjaya. Kadang-kadang kegagalan datang untuk 'membuka' seribu kemungkinan pilihan yang tidak disedari. Jika ditenung dan direnung, pilihan di hadapan berkali ganda lebih baik dari yang dikejar sekarang.

Terima kasih Allah, kerana membuka mata dan hatiku untuk melihat pintu - pintu kebaikan di hadapan yang terselindung dulu.

Tuesday, 1 November 2011

Berjaya

Setelah beberapa bulan berensot-ensot menulis, akhirnya hari ini ia sampai ke tangan publisher. Terima kasih Gem 4 (yang membantu dengan masa dan tenaga) dan Gem 6 (yang sentiasa memberi semangat untuk menghabiskan). 

Sudah tentu ia hanya permulaan. Mudah-mudahan, Allah limpahkan hikmah untuk satu kembara yang lebih jauh...