Sunday, 22 July 2012

Mak Limah, Mak Som dan Mak Cik Ani

Mak Limah dan Mak Som adalah pengasuh anak-anak kami. Hanya DUA, tidak tiga, tidak empat atau lebih.
 
Mak Limah menjadi pengasuh Gem 3. Mak Limah, balu anak enam yang kematian suami ketika usia masih muda - sekitar 35 tahun. Diperkenalkan melalui jiran, Kak Jah yang sangat berjasa. Biarpun cuma setahun, hubungan dengan Mak Limah sekeluarga tetap berterusan. sesekali, kami muncul  di laman Mak Limah.
 
Mak Som dan keluarga mengambil tempat Mak Limah ketika kami berpindah ke Arau. Gem 4, Gem 5 dan Gem 6 membesar di tangan Mak Som sekeluarga. Malah, Mak Som menganggap anak-anak kami seperti anak-anak mereka juga. Mereka ditatang dengan penuh kasih sayang. Gem 4 dan Gem 6 yang manja selalu duduk diribaan. Ketika Mak Som berkira-kira untuk ke Mekah, kami terasa amat gusar. Siapalah yang bakal menjaga anak-anak kami ketika ketiadaan Mak Som dalam waktu yang agak panjang. Takdir Tuhan tidak diduga. Rupa-rupanya, kami dulu yang meninggalkan Mak Som dan keluarga bersama-sama dengan kenangan dan kasih sayang.
 
Mak Cik Ani hadir ketika rakan sekerja berangkat ke luar negara. Beliau bekerja sebagai pembantu rumah harian. Kami mempelawa Mak Cik Ani untuk bekerja dengan kami pula. Mak Cik Ani juga balu beranak enam. Mak Cik Ani sangat cekap bekerja. Beliau perlu datang ke rumah kami tiga kali seminggu ketika kami semua tiada di rumah. Dalam masa tidak sampai tiga jam, beliau telah melangsaikan semua kerja-kerjanya termasuk kerja-kerja yang sengaja ditambahnya. Beliau akan mop rumah, lipat baju yang menggunung, gosok baju kerja serta baju sekolah, cuci tingkap, kemas bilik-bilik, dan macam-macam lagi. Pernah diminta supaya Mak Cik Ani jangan melakukan kesemuanya. Tapi Mak Cik Ani berkeras juga - agaknya Mak Cik Ani bekerja dengan rasa kasih sayang. Suasana yang paling akan dingat untuk selamanya ialah apabila setiap kali melangkah masuk ke rumah selepas dikemas oleh Mak Cik Ani - seperti melangkah ke bilik hotel!

Ketika kami berangkat untuk berhijrah, Mak Cik Ani dalam pelukan yang erat membisikkan - Mak Cik Ani akan tunggu semua balik dan ingin meneruskan tugasnya bersama kami. Dan kami tidak lagi kembali ke situ.

Semalam.. di hening Ramadhan.. tiba-tiba teringatkan mereka bertiga. Mudah-mudahan Allah permudahkan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat sebagaimana mereka telah memudahkan kehidupan kami suatu masa dulu.
 


Thursday, 19 July 2012

Ramadhan Bertamu Lagi

Alhamdullillah.. pada nikmat umur yang dipanjangkan Tuhan. Tahun ini Allah memberi rahmat untuk Ramadhan bertamu lagi di dalam hidup kita.

Sempena Ramadhan ini, sevendrops sekeluarga memohon ampun dan maaf kepada sesiapa yang bertamu   di laman ini.

Sesungguhnya hidup ini umpama permainan digital. Sebelum permainan tamat yang bernama mati tiba, maka Ramadhan ialah masa singkat untuk mengumpul markah-markah bonus pahala. Mudah-mudahan, Allah meletakkan kita di cartaNya  yang tertinggi. Semoga kita termasuk di dalam senarai pemenang yang diRahmati dan diKasihi.

Tuesday, 17 July 2012

Tangga di Carta: Satu Kejutan

Pada 13/07/2012 saya memberanikan hati menulis satu warkah maya untuk Encik Nihad Awad. Siapa Nihad Awad? Beliau merupakan Director kepada National Executive Council untuk Washington-based Council on American - Islamic Relations (CAIR) - satu pertubuhan terbesar Muslim yang merperjuangkan hak-hak asasi American-Muslim. Apa tujuannya? Semata-mata ingin memperkenalkan "A Priceless Princess". Kata saya di dalam e-mail, mungkin buku kecil itu boleh memberi sedikit manfaat untuk komuniti di sana terutama pada anak kecil dan muallaf yang baru.

Pada 14/07/2012, saya menerima balasan e-mail peribadi darinya! Katanya, beliau mengucapkan tahniah dan akan membantu. Beliau arahkan juga jawatan kuasanya untuk membantu mempromosikannya.

Hasilnya?

Hari ini ketika carta "A Priceless Princess" sangat menghampiri anak tangga popular yang ke 2 JUTA, ia mencanak naik ke anak tangga 253,077! Ia satu anak tangga terbaik setakat ini yang saya sendiri tidak menaruh sangat harapan ketika kedudukan semakin merudum. Dengan anak tangga itu, si buku kecil itu sudah mampu juga bertapak di anak tangga ke 14 dalam kategori Books > 4-for-3 Books > Religion & Spirituality > Islam > General. Sedangkan ia sudah terkeluar carta beberapa hari yang lepas selepas beransur-unsur turun dari tangga ke 84 kemudian 95 kemudian 100 kemudian terkeluar carta.

Grafnya menjadi begitu



Alhamdullillah. Atas bantuanMu Tuhan. Sesungguhnya Engkaulah yang mendatangkan ilham dan keberanianku untuk menerjah.

 

Thursday, 12 July 2012

Tangga di Carta

Lama rasanya saya tidak kisah tentang anak tangga di sesuatu carta. Dulu-dulu, ketika remaja sibuk mengambil tahu lagu apakah pada carta tertinggi "Lagu Popular Minggu Ini" di radio. Kedudukan di anak tangga ke berapa menjadi isu penting. Malah, masih ingat lagi lagu Rindu Bayangan yang dinyanyikan oleh Jay Jay berada di puncak carta berbelas-belas minggu lamanya. Pencapaian itu dikira sangat hebat. Sekarang, tanda usia meningkat tua. Carta seperti itu tidak lagi diambil peduli.

Tapi, sejak kelmarin, ada satu carta yang mendapat perhatian. Carta buku "A Priceless Princess" di Amazon. Hari ini, saya jadikan ia terlekat di sebelah kiri blog. Satu carta untuk kedudukan di Amazon.com dan satu lagi carta untuk kedudukan di Amazon.co.uk. Apakah maksud carta itu? SUDAH TENTU ia BUKAN JUMLAH BUKU YANG telah TERJUAL. Kalaulah ia bermaksud begitu, sudah tentu saya sedang pengsan kegembiraan sekarang kerana buku itu sudah terjual begitu banyak! Ia cuma seperti carta  "Lagu Popular Minggu Ini". Setiap buah buku yang dibeli untuk sesuatu jodol merupakan satu undi popular untuk buku tersebut. Makin banyak buku yang dibeli, makin banyaklah undi popular yang diperolehi. Walaupun hanya dengan satu buku yang dibeli, ia mampu mengubah kedudukan di carta secara drastik.

Rekod terbaik "A Priceless Princess", ialah di anak tangga 1,440,172 (Amazon.com) dan  84,122 (Amazon.co.uk), dan juga di tangga 84 (top 100!) dalam kategori 4-for-3 Books > Religion & Spirituality > Islam > General. Corotkah kedudukannya? Ada lagi buku yang corot sehingga kedudukan 5 JUTA lebih! Buku Harry Potter siri pertamapun sekarang di kedudukan 420 lebih. Itupun bukunya dibaca oleh berjuta-juta manusia. Buku saya yang satu itu umpama anak bilis berlumba dengan ikan-ikan paus gergasi di lautan yang sangat luas. Dilihat secara positif, sekurang-kurangnya ia masih mampu berenang-renang.

Lalu saya terbayang carta saya di sisi Allah. Jika carta Amazon hanya bersandarkan kepada satu unsur (jumlah jualan), carta di sisi Allah banyak unsur yang mempengaruhinya. Setiap yang dicakap, didengar, difikir, dibuat ada markahnya di sisi Allah. Itu tidak termasuk perkara sunat, makruh, haram dan wajib. Saya membayangkan carta kita di sisi Allah itu sudah tentu terumbang-ambing, kerap melonjak dan menurun mengikut rentak iman di dada. Itulah carta yang paling PENTING - di hujungnya ada nilai Syurga dan Neraka. Ya Allah, tinggikanlah kedudukan carta-carta kami di sisiMu.






Wednesday, 11 July 2012

Sekalung Tahniah untuk Aza

Hari Ahad yang lepas, sekitar tengahari, saya menerima panggilan dari suaranya yang agak sukar dikenali. Kedengaran suaranya dalam sebak. Berderau darah ketika itu kerana sebak itu selalunya lambang kesedihan. Rupanya tidak begitu. Panggilan itu datangnya dari Aza Nan (untuk ahli NMC yang mengenali). Dalam sebak beliau mengkhabarkan berita gembira - beliau baru sahaja melepasi viva PhD. Sudah tentu ia berita gembira - setelah bertungkus lumus dari tahun 2004-2012! Dari bilangan anak 3 sehingga menjadi 5.

Sudah tentu ianya perjalanan memburu PhD yang berliku. Dan kerana berliku itulah ia menjadi sangat manis untuk dikenang.

Tahniah dari sevendrops sekeluarga. Dengan ini tamatlah jawatan 'supervisor yang tidak diundang!'

Sunday, 8 July 2012

Terima kasih Bomba

Pada hari Sabtu, 7/7/2012 menjadi satu sejarah di dalam hidup kerana pertama kali menalipon polis dan bomba. Sejak dari pagi terbau asap. Tetapi tidak ambil kisah sangat kerana kerap terbau yang serupa. Tetapi ketika pulang dari mengambil Gem 6 dari kelas tambahan di sekolahnya, ternampak api sedang marak menuruni bukit dan menghampiri rumah jiran. Dan rumah jiran itu hanya selang dua buah rumah dari rumah kami! Lalu saya meluru menghampiri rumah jiran tersebut. Nampaknya mereka ada di dalam rumah tetapi tidak sedar api sedang marak. 

Keadaan menjadi kelam kelibut apabila api semakin menjadi-jadi marak. Saya berlari pulang ke rumah, mengambil barang-barang penting dan mengalih kereta ke tempat yang jauh. Gem 3 mendail nombor 999 - berkali-kali. Jika ada yang hampir mati, maka sudah tentu mati dahulu. Saya berlari ke atas ke bawah untuk memastikan sijil-sijil dibawa bersama. Apabila Gem 3 sudah mendapatkan respon dari polis, barulah diberi pada saya untuk melaporkan. Kami semua sudah keluar dari rumah. Tanpa disedari, kami terpacak di tengah-tengah panas sementara menanti kedatangan bomba. Suasana sedikit ribut apabila terpaksa menenangkan Gem 7 yang sangat ketakutan. "Call daddy.. call daddy..", katanya berulang kali. Gem 1 tiada di rumah kerana berada di luar kawasan beberapa hari.

Anak saudara yang tinggal berdekatan dipanggil. Melihatkan bomba tidak datang-datang, dia meluru menuju ke balai bomba - katanya.

Akhirnya, pasukan bomba datang. Selepas bertungkus-lumus hampir dua jam, mereka berjaya memadamkan api. Api marak dengan cepat kerana cuaca kering dan berangin. Kata pihak bomba, mereka menemui kesan pembakaran yang tidak diselia.

Aduhai... untuk sesiapa yang rajin berkebun dan bakar-membakar, tolonglah selia. Janganlah kerana taksub dengan hobi sendiri, sehingga tidak takut menzalimi jiran tetangga.

Thursday, 5 July 2012

Mood yang Hilang

Sudah hampir dua minggu datang ke pejabat tanpa peralatan penting - komputer. Komputer yang digunakan untuk bekerja tidak sama dengan komputer yang digunakan untuk menulis apabila ada ilham yang bertaburan.  Komputer bagi seseorang yang bekerja seperti ini umpama sebatang cangkul untuk petani tradisional. Tanpanya, hilang mood bekerja. Tidak faham kenapa penjadualan pengambilan dan penghantaran tidak boleh diurus dengan baik. Tidak faham kenapa waktu-waktu kritikal seperti ini dilepas pandang dengan hanya "Maaf di atas segala kesulitan". Janji tinggal janji untuk satu hari lagiiiiiiiii!!!!!!