Monday, 3 December 2012

Ke Sri Iskandar

Pada 26.11.2012 yang lepas, saya dan beberapa rakan sekerja diarah untuk ke UiTM Sri Iskandar. Seperti ke Dungun, tujuan lawatan kami ialah untuk memantau perlaksanaan program. Rombongan kami bertolak sekitar pukul 5.00 pagi ketika fajar belum menyinsing. Masing-masing perlu bersiap sedia dari rumah ketika pukul 4.00 pagi.

Perjalanan amat pantas kerana pemandu bertugas memecut sepanjang jalan 160 km/j! Ketika hujan lebat, beliau memandu agak perlahan iaitu sekitar 120 sehingga 140 km/j.  Sesekali cuba memberi peringatan kepada pemandu tetapi tidak berjaya.  Aduhai...

Kami tiba awal dari yang dijangka. Itupun selepas bersantai-santai sarapan di R&R Tapah. Selepas tiba, kamipun memulakan tugas seperti yang diarah. Dapatlah berjumpa dengan rakan-rakan sekerja yang sudah lama tidak bertemu. Barangkali sekitar 10 tahun. Masing-masing sudah berubah secara fizikal, pun begitu ukhwah masih seperti dulu.  Ketika makan-makan, ada seorang rakan sekerja di sana menepuk-nepuk belakang sambil berkata saya selalu melawat blog.. Uh..uh... tak sangka ada rakan sekerja di sana yang masih membaca coretan yang sangat mengikut mood. Terima kasih kerana sudi.

Pada sebelah petangnya hujan masih turun lebat. Kami bertolak pulang sekitar pukul 4.30 petang. Masing-masing di dalam hati berdoa agar pemandu kami akan memandu dengan berhemah. Tetapi ia tidak begitu. Dalam keadaan hujan sekejap lebat sekejap renyai, dia masih memandu 160 km/j! Ketika menghampiri jalan sesak di lebuh raya, beliau dengan selamba memandu laju di lorong kecemasan. Rempitkah itu? 

Esoknya, di dada akhbar ada tajuk berita, MPV merempuh lori di lorong kecemasan. Ada yang terbunuh. Lalu, otak masih terbayang pemanduan serupa yang kami tempuh semalam. Bezanya, kami masih selamat, syukur Alhamdullillah.

Bila-bila nanti, jika perlu pemandu, mohon diingatkan tidak lagi mendapat Encik X. Cukuplah hanya sekali menjadi penumpang di dalam pemanduan yang merbahaya itu.


Wednesday, 21 November 2012

Bercuti ke Masjid Negeri

Tahun ini tidak banyak pelan bercuti. Cuti anak-anak dan cuti ibu bapa yang tidak seragam menjadikan susah untuk merancang. Sekarang, jika terlintas untuk bercuti secara tiba-tiba, bilik hotel sudahpun penuh. Cuti sekolah tanpa perancangan apa-apa, sangat merunsingkan kepala. Sudah tahu tentang apa yang anak-anak akan lakukan untuk mengisi kekosongan masa. Tidur sangat lewat malam dan sentiasa dibayangi alatan digital. 

Ketika rakan mengajak untuk mendaftarkan anak-anak ke Program Daurah Remaja Masjid Negeri, kami terus pergi mendaftarkan Gem 5, Gem 6 dan Gem 7. Hendak juga mendaftarkan Gem 4 sekali, tapi katanya," NOOOOOOOO..... you've sent me away for one year already!!! I want to stay at home". Lalu, Gem 4 selamat. Kerana inilah kali pertama hendak menyertai program seperti ini, ia sudah tentu mendapat tentangan. Darjah tentangan berkadar terus dengan usia. Yang makin tua, makin muncung - tanda protes tidak setuju!

Bila tiba hari pendaftaran, dengan langkah yang berat, ketiga-tiga anak dihantar pergi. Mereka antara 1500 orang anak-anak yang mendaftar untuk berkampung di Masjid Negeri selama 6 minggu dari pukul 8.00 pagi sehingga ke pukul 5.00 petang. Masa yang lama, seperti masa bekerja juga! Hari ini sudah masuk hari ke empat mereka ke sana. Alhamdullillah.... tidak ada protes lagi. Mudah-mudahan, amal mereka di sana diberkati sehingga ke akhir hayat.

Ahh... kali ini tidak bercuti ke Lego Land atau Universal Studio atau bersantai di kolam renang atau di mana-mana peranginan. Kali ini anak-anak bercuti ke Masjid Negeri!

Tuesday, 20 November 2012

Menunggu Keajaiban

Tarikh 19.11.2012 yang lepas merupakan tarikh debaran terutamanya untuk Gem 6. Tarikh di mana keputusan UPSR diumumkan. Biarpun peperiksaan UPSR bukanlah penentu besar di dalam kehidupan, tetapi sijilnya yang bakal diterima akan diheret sehingga hari tua. Sudah tentu semua yang terlibat berharap biarlah ia yang terbaik.

Ketika pihak yang terlibat mengumumkan tarikh keputusan UPSR dilewatkan seminggu, orang yang paling gembira ialah Gem 6. Kenapa? Katanya, "Alhamdullillah.... I can still pray to Allah". Secara diam-diam, dia mengambil handphone saya dan meletakkan peringatan "Wake Aufa up for Qiamullaill!!!". Dan talipon itupun berbunyi ketika dinihari untuk mengingatkan. Sudah tentu keinginan melebihi bilangan perlaksanaan. Semangat yang berkobar-kobar di awal malam ditelan mimpi-mimpi.

Seminggu tidak lama. Setiap hari Gem 6 akan berkata secara kuat untuk didengari : 

6 hari lagi.
5 hari lagi.
4 hari lagi.
3 hari lagi...

sehingga akhirnya menjadi jam.

21 jam lagi.
20 jam lagi.
.......
2 jam lagi...

Kenapa Gem 6 sangat takut? Tanyalah padanya, mesti dia akan berkata seumur hidupnya di alam persekolahan dia tidak pernah mendapat 'A' di dalam pelajaran Bahasa Melayu.  Di dalam peperiksaan percubaan, beliau hanya mampu mendapatkan keputusan yang paling baik untuk mata pelajaran itu iaitu 1B dan 1C. Itulah huruf-huruf yang selalu hadir selepas beberapa lama menempuhi deretan 'F' dan 'D'. Sejarah itu menakutkan Gem 6 dan akhirnya membawa dia kepada satu pengharapan, bahawa hanya Allah yang mampu memberi keajaiban.

Jadi, pada tanggal yang dimaksudkan, kami menunggu keajaiban. Mudah-mudahan, ia berlaku. Itulah yang tersirat, tak perlu diucap.

Keputusan mula diumumkan ketika hujan turun lebat. Ada 51 pelajar mendapat 5A, kurang 4 dari bilangan tahun lalu. Nama pelajar dipanggil satu demi satu ke pentas secara rawak. Dan kami menanti. Sesekali, saya merenung ke pentas sambil cuba-cuba membilang berapa pelajarkah yang sudah berada di pentas. Kerana bakinya adalah harapan yang tinggal untuk Gem 6. Bilangan di pentas semakin ramai. Sudah melebihi 40 orang. Sesekali terpandang Gem 6 yang berbaris bersama kawan-kawannya - mukanya nampak sangat muram. Barangkali, dia juga membilang harapan yang tinggal. 

Tiba-tiba terdengar nama Gem 6 dipanggil! Dan itulah keajaiban yang ditunggu. Ketika Gem 6 berjalan laju ke pentas sambil memeluk guru-gurunya satu per satu, ada guru yang mengenalinya berkata,"Saya tak sangka awak dapat!". Uhhh ...uh... uh... rupa-rupanya Gem 6 bukan dari senarai "pelajar harapan"! Di hujung sana beberapa pelajar harapan teresak-esak mengelap air mata apabila panggilan ke pentas tidak kunjung tiba. Begitulah takdir. Pada Allah segalanya terserah dan tersurat.

Friday, 16 November 2012

Selembar Kertas Putih

Awal Muharram datang lagi. Datangnya seperti membentangkan sehelai kertas putih. Berbahagialah sesiapa yang dapat mengekalkan keputihan kertas tersebut dari bintik-bintik hitam dosa sehingga bertemu Muharram yang baru.

Mudah-mudahan, di akhir tahun ini, kertas putih yang terbentang itu tidak bernoda dengan bintik-bintik hitam dosa-dosa. Itulah harapan kita dengan azam yang berganda-ganda.

Selamat Menyambut Tahun Baru  .... .... .....

Wednesday, 7 November 2012

Di Awan Biru

Pada 5.11.2012 perlu menghadirkan diri ke Dungun. Pemberitahuan saat-saat akhir. Sudah tentu ia pemergian yang tidak dirancang. Mujurlah ada rakan sekerja yang akan pergi bersama. Kepenatan perjalanan raya yang melebihi 24 jam  masih terasa! Jadi, kami mengambil keputusan untuk balik hari. Jika balik hari, perlu pengangkutan udara. Alahai...   Kenapa? Kerana biarpun sudah berkali-kali terbang merentasi negari, negara, lautan dan benua, saya adalah seorang yang tidak suka pengangkutan udara!  Malah, dua minggu lepas saya tidak menyertai rombongan kerja ke London kerana sebahagian alasannya ialah malas untuk terbang! Ha..ha..ha...

Maka, pada hari Isnin lepas, pagi-pagi lagi sudah berdebar. Ahh.... mudah-mudahan cuaca baik. Jika, cuaca baik, perjalanan akan lancar. Mata asyik memandang ke langit. Akhirnya, saat untuk terbang tiba. Duduk di tepi tingkap. Alhamdullillah, cuaca cerah. Lalu, ketika berada di ruang angkasa, tampaklah lapisan-lapisan awan yang sangat tersusun dan cantik. Perjalanan selama 50 minit tidak terasa kerana menikmati pandangan luaran ciptaan Tuhan yang sangat damai . Awan berkepol-kepol terapung, tidak digantung. Lihatlah berkali-kali. Lihatlah berkali-kali. Teringat Surah Al-Mulk. Sudah tentu tidak ada kecacatan yang ditemui.

Di awan biru, yang tidak disukai itu, rupa-rupanya aku temui saat sangat eklusif memuji-muji Tuhanku.

Tuesday, 30 October 2012

Lebih 24 Jam!

Pada 28.10.2012 yang lepas, kami bertolak dari rumah Tok (Kedah) menuju ke Kelantan untuk menghantar Gem 4. Dari Kelantan, kami menuju ke Shah Alam. Sepanjang perjalanan, kenderaan bergerak sangat perlahan. Hajat untuk bersantai-santai tidak menjadi. Malah terperangkap di dalam kesesakan yang teruk. Bukan tidak pernah bersesak. Tetapi bersesak tanpa lebuh raya menjadi sangat siksa. Keadaannya seperti yang pernah kami alami 20 tahun yang lampau!!!! Tidak ada kawasan rehat yang luas dan bersih menjadikan masjid sebagai sasaran. Kebanyakan masjid pula tidak terurus tandasnya. Aduhai.....

Pertama kali meredah kesesakan sudah terasa peritnya. Bagaimanalah mereka yang bertahun-tahun mengalami perjalanan yang sama. Benarlah kasih sayang yang ada menggunung untuk bertemu keluarga tersayang. Jika tanpa alasan, siapalah yang sanggup mengharungi keadaan sedemikian rupa.

Tidak pasti berapa gunung sumpahan pengguna jalan yang mengharapkan kepada keadaan yang lebih baik. Siapakah yang terkena sumpahan itu? Tidak tahu. Sudah 55 tahun negaraku merdeka, kenapa masih jadi begini??????

Perjalanan pertama dari Shah Alam - ke Perak (ambil Gem 3) - ke Kelantan (ambil Gem 4) - ke Kedah (rumah Tok) = Lebih 19 jam.

Perjalanan kedua dari  Kedah (rumah Tok)  - ke Kelantan (hantar Gem 4) - ke Shah Alam  = Lebih 24 jam! *** Itupun Gem 3 telah dipos bersama Ajun untuk ke Perak. Jika tidak, sudah tentu tidak sempat ke kuliah....

Hari Isnin terpaksa ambil cuti tambahan. Sakit seluruh sendi... hu..hu..hu...

Sunday, 21 October 2012

Ulang Tahun ke 12

Pada 20.10.12 yang lepas, Gem 6 menyambut Hari Lahir yang ke 12. Gem 6 sangat teruja kerana tahun ini beliau akan memiliki sekeping kad pengenalan. 

Hari ini cuba membelek-belek koleksi gambar yang sedikit... Mudah-mudahan sketsa entri kali ini menjadi kenangan yang berharga buat Gem 6.  Pada usia yang sangat muda, hidupnya dipenuhi dengan warna-warni. Moga Allah permudahkan seluruh kehidupan dunia menuju ke Syurga Firdaus. Mudah-mudahan, kehidupan di masa hadapan juga dipenuhi warna-warni kebahagiaan.

 Di Venice
 Di Colloseum, Rome
 Di Menara Condong Pisa, Itali
 Di depan rumah pertama, Central Avenue
 Di Eiffel Tower, Paris
 Di Disney World, Paris
 Di ?
 Di Cannes, Peranchis (Filem Festival)
 Di 83, Central Avenue
 Di Padang Wollaton
 Di London Eye
 Di 83 Central Avenue
 Di Kampus University of Nottingham
 Di Lands End
 Di Peak District
 Di 83, Central Avenue
 Di Edinburgh
 Di 71, Burford Road
 Di Greenich
 Di Peak Districk
 Di Forest Field (Kata Gem 6 - ini gambar favourite!
 Di Forest Field - Musim Luruh yang sangat cantik
 Di 71, Burford Road
 Di rumah Tok!