Thursday, 12 December 2013

Lihatlah Tanda-Tanda!

Lihatlah Tanda-Tanda! Satu tajuk buku yang tidak menjadi kenyataan. Ia ditolak oleh beberapa penerbit dengan alasan tiada 'genre'. Kata mereka, kami tidak menerbitkan buku seperti ini. Lalu, manuskrip yang telah siap itu menemui jalan buntu. Tapi yang menariknya, peristiwa tidak diterima berkali-kali itu tidak melukakan hati. Malah, ia seolah-olah memaksa otak lebih berfikir jalan-jalan pilihan. Barangkali, manuskrip yang tidak laku itu perlu kembali ke landasan asal - dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di London lagi. Ia memerlukan kos. 

Tapi sms seorang pembeli yang tidak dikenali benar-benar menaikkan semangat. Katanya, "Saya mempunyai dua orang anak berusia 13 dan 11 tahun yang HANYA MEMBACA BUKU BAHASA INGGERIS SAHAJA. Buku ini mampu memberi input berbeza dari cerita-cerita biasa. Kata si Ibu, "Terima kasih kepada penulis. Keep up the great work!" Allahuakbar... Allahuakbar...  ia sangat memberi kekuatan bahawa insan biasa seperti kita mampu berpesan-pesan dengan kebenaran. Berpesan dengan cara yang tersendiri. Di usia yang makin berinjak.. dan ketika semakin buku ini menemui kelompok pembacanya yang tersendiri.. semakin ia memberi makna melebihi daripada membilang 'berapa citation dan index di Google Scholar'!

Tuesday, 10 December 2013

Nikmati Masa Senggang

Sudah lama tidak merasa masa senggang. Asyik sibuk memanjang dengan hambatan tugasan rasmi. Hari ini akhirnya telah berjaya menyiapkan tugasan menyemak tutorial. 136 pelajar dengan 11 tugasan setiap seorang = 136 x 11 = 1496! Ditambah pula dengan kertas ujian sebanyak 275 keping + thesis pelajar PhD yang akan tamat +  laporan Projek tahun akhir + laporan Cadangan Projek + Menyiapkan dokumen OBE untuk semakan kurikulum + Menyiapkan dokumen Audit. Allahuakbar... rasa tidak cukup kaki tangan. Di celah-celah itu, pulang ke kampung melawat Mak yang masih sakit sebulan 2 x. Perlu pula mengambil Gem 4 dari MRSM Pengkalan Chepa. Tidak terasa masa sangat cepat berlalu.

Hari ini ketika Gem 1 menyatakan, "Esok cutikan". Kata saya,"Hah??? Cuti???". Rupanya esok cuti ya. Cuti di pertengahan minggu. Satu nikmat yang tidak terucap. Azam ingin menamatkan penulisan yang terbantut. Ayuh... tulis.. tulis.. tulis...

Monday, 2 December 2013

Melihat Tanda-Tanda: Titik-titik Hujan

Untuk mengenali betapa Allah Maha Berkuasa ialah melalui melihat tanda-tanda. Tanda-tanda KekuasaanNya, ada di mana-mana. Lihatlah dengan mata hati yang terbuka.

Lihatlah titik-titik hujan. Berderai dari awan yang terapung-apung. Bergumpal-gumpal awan yang kelabu atau gelap pekat, bertukar menjadi butiran jernih, lembut dan mendamaikan. Mampukah kita menciptanya... mencipta setitis air?

Hujan oh hujan... salah satu tanda-tanda Kekuasaan Allah, iaitu Tuhanku dan TuhanMu.

Friday, 22 November 2013

Jumaat Malam

Sejak beberapa bulan lalu, saya menunggu-nunggu Jumaat malam. Kenapa? Sebab ia seperti membawa harapan, harapan dari seberang. 

Inilah hasilnya....

Sejak beberapa bulan, buku "A Priceless Princess" di beli dari Amazon.com pada Jumaat malam! Satu pencapaian yang agak menarik selepas ia corot pada tahun pertama kelahirannya (2012).

 Rekod tahun 2012 - sangat tidak seberapa!

 Rekod tahun 2013 -ada kemajuan.. tidak ada lagi bulan tanpa pembelian!

Alhamdullillah... ia bagai membisikkan... bersabarlah... Semoga Allah memberi kejayaan yang hakiki - di alam ini dan di alam satu lagi yang abadi.

Sunday, 10 November 2013

Semoga Tabah

Pagi-pagi lagi telah menerima panggilan dari anak saudara, Lily. Tanyanya, "Dah tahu ke berita kematian...... , anak dia kawan anak Mak Su".  Bila cuba diingat nama yang dikhabar, tidak pula pasti arwah itu bapa kepada rakan anak yang mana. Setelah dijelaskan, maka tahulah.. bapa kepada kawan karib Gem 4 telah meninggal dunia. Jenazahnya akan disembahyangkan selepas Zohor di masjid Negeri.

Hampir waktu Zohor, saya dan Gem1 berangkat ke masjid Negeri. Agak ramai orang di situ. Banyak pula van TV Al Hijrah di parkir. Rupa-rupanya barulah jelas bahawa rupanya rakan karib Gem 4 ialah anak kepada CEO TV Al-Hijrah yang baru meninggal dunia pada pagi ini.

Dua hari lepas Gem 4 sibuk berbalas-balas panggilan dengan kami kerana disyaki demam campak. Demam campak ketika baru peperiksaan SPM bermula? Ya Allah.. rasanya seperti dugaan yang besar. Tiba-tiba hari ini rakannya yang juga sedang menduduki peperiksaan SPM diduga lebih hebat. Kematian bapa tercinta ketika perjuangan menghadapi peperiksaan baru bermula! Ketika memeluknya erat tadi, dia menangis teresak-esak. Tidak tahu apa yang perlu saya katakan ketika itu, melainkan tabah ya Shahida... Allah sedang menguji.. Semoga Allah meringankan bebanan yang ditanggung oleh anak ini...

Wednesday, 6 November 2013

A Priceless Princess - Berhijrah ke Fasa Baru

Alhamdullillah... sempena tahun baru, buku "A Priceless Princess" melangkah ke fasa baru. Ia menembusi pasaran luaran dan dalaman. Pengalaman menulis, mencari-cari penerbit, ditolak penerbit, diterima oleh penerbit lain, menjual di laman Amazon dan menjual sendiri secara online menjadikan ia koleksi rentetan pengalaman yang sangat berharga.

Ia perjalanan yang tidak mudah. Banyak juga aral yang melintang. Ada kala kesedihan sendiri kerana kadang kala ia kelihatan seperti satu usaha yang sia-sia. Pun begitu, benarlah, kita hanya merancang. Takdir yang tersurat tidak terjangka.

Mula-mula, ia hanya dikenali oleh rakan-rakan lama seperti Datin Mariani dan Encik Yusof Ghani. Itupun secara tidak sengaja apabila saya menukar profile Facebook. Kesungguhan mereka membeli dari laman Amazon dengan harga yang tinggi secara pukal seperti memberi satu semangat baru. Malah, rakan-rakan lama juga turut sama mempromosi. Ada yang beli untuk diri sendiri. Ada pula yang membeli untuk memberi. Kesimpulannya, buku ini ada permintaan yang tidak diketahui oleh penulisnya sendiri! Tambahan pula, persekitaran alam maya dengan dunia tanpa sempadan tempat dan masa, turut membantu.

 Ia dibeli secara pos.... lalu keinginan tersirat untuk merasa kemanisan mengepos barangan secara pos laju dirasai... Alhamdullillah.. Allah Maha Mendengar.. biarpun ia cuma bisikan pada diri sendiri..

Pembelian secara pos menjadi berterusan atas permintaan.... lalu keinginan tersirat untuk merasa kemanisan menjual barangan secara online dirasai... Alhamdullillah.. Allah Maha Mendengar.. biarpun ia cuma satu keinginan rahsia yang sekian lama terpendam..


 Ia telah dijadikan cenderahati semasa graduasi.....mudah-mudahan isinya lebih tahan lama dari sejambak bunga...

  Ia dibeli secara terus .... lalu rasa dihargai oleh rakan-rakan sekerja... 

Ia dibeli oleh sahabat lama... dengan bilangan yang banyak untuk diberi... pada siapa? Biarlah rahsia...

Perjalanan ke destinasi ini bagai membisikkan.. manisnya suratan takdir selepas melalui jalan yang berliku. Yakin boleh! Allah Maha Mendengar dan Maha Mengasihi.

Monday, 4 November 2013

Takdir Seperti Cantuman Teka-Teki Jigsaw

Di dalam hidup, banyak betul keinginan. Ia berubah-ubah, tidak menentu. Kadang-kala, kita sangat menginginkan M. Puas kita berusaha, tetapi kita berjumpa dengan B. Berusaha lagi.. kali ini berjumpa pula D. Inginkan lagi M. Tapi ditakdirkan kita mendapat A. Ya Allah... rasa sangat kecewa. Lain yang dicari, lain pula yang dijumpa. Digagahkan juga untuk mendapat M, walaupun berkali-kali gagal. Tidak tahu sampai bila perlu teruskan usaha itu!

Tiba-tiba, satu hari Allah takdirkan kita mendapat X! Sesuatu yang sangat diluar jangkaan minda. Lalu, dengan rasa syukur, ingatan menerawang pada kegagalan lalu. Rupa-rupanya, takdir yang tersurat sekarang sudah lengkap susun aturnya. Jika dianalisa, kerana gagal mendapatkan M, kita dipaksa berjumpa segala yang lain. Akhirnya, jika disusun... susunannya amat manis.. ia merangkumi semuanya A,B,C,D,E,F....... X! Satu titik penamat yang lebih baik dari yang kita impikan. 

Sungguhlah, takdir seperti cantuman teka-teki Jigsaw. Ia rumit untuk disusun secara satu demi satu dengan susunan yang tertib. Ia perlu disusun secara rawak. Namun, hasilnya... masih cantuman yang cukup sempurna!