Tuesday, 22 January 2013

Sehalus Tulang Ikan

Ketika makan malam pada 21/1/2013, tiba-tiba terasa tulang kecil tertusuk di sempadan anak tekak. Terus terasa tidak selesa. Hendak diluah, tidak keluar. Hendak ditelan, tersangkut. Jika dimasukkan jari, jari dapat merasa tulang itu tertanam di atas. Ditolak, tidak berganjak. Ditarikpun, ia masih di situ. Aduhai...

Lalu, bermacam-macam cara dilakukan. Telan air bersama ketulan nasi. Makan kurma yang tidak dikunyah. Minum air biasa. Minum air Zam-Zam. Ia masih degil tertusuk di situ.

Akhirnya, tulang itu dibawa tidur. Dengan harapan, ia akan hilang ketika bangun nanti. Jika tidak, saya membayangkan perlu ke klinik atau jika tidak ke klinik mungkin ia masih terlekat di situ dan bernanah. Bermacam-macam yang datang difikiran.

Ketika bangun di waktu dinihari, tulang itu masih di situ. Lalu, terdetik di hati untuk berdoa ketika waktu yang diwartakan mustajab doa. Sebaik doa dilafazkan, tulang itupun hilang. Sekelip mata.

Alhamdullillah.

Ia sangat-sangat mengajar untuk diri sendiri yang selalu terlupa bahawa biarpun sekecil-kecil musibah seperti ditusuk oleh tulang yang halus, diri yang lemah sentiasa memerlukan pertolongan Tuhan.

Fenomena Bulan

Semalam (22/1/2013), ketika bersantai-santai, tiba-tiba Gem 5 meluru ke luar rumah. Kemudian, beliau masuk semula sambil berkata, "Look at the moon... look at the moon" dengan kalut sambil berlari ke sana ke mari. Kamipun terpinga-pinga. Apa kena dengan Gem 5 nih! Lalu kami semua keluar rumah dan memandang ke langit. Apa yang kami lihat? Inilah gambarnya (ihsan Google). Tetapi yang realiti, di sekeliling bulan, ia begitu terang benderang sekali. Bulan itu pula ditemani oleh hanya sebutir bintang yang berkelip-kelip.


Subhanallah! Rasa sangat beruntung dapat menikmati fenomena itu dengan mata kasar. Tapi, kata Gem 1, beliau pernah melihatnya suatu masa dulu. Bila? Tidak tahu! Tapi, bagi ahli keluarga yang lain, itulah kali pertama. Dan ia meremangkan bulu roma.

Tuesday, 1 January 2013

1.1.2013

Janggal menulis tarikh ini. Kerana 2013 baru bermula. Seperti tahun-tahun lepas, ia seperti entri wajib yang perlu dilakarkan. Kerana sorotan hari-hari semalam telah membuktikan, biar ia hanya sebuah angan atau mimpi atau lintasan hati atau keinginan atau impian atau cita-cita atau harapan, ia pasti didengari Allah. Tidak tahu bila ia akan dimakbulkan sebagai suatu kenyataan. Tapi amat rugi jika tidak dipohon.

Ya Allah,
Limpahilah RahmatMu pada kami,
Berilah Kejayaan pada kami di dunia dan di akhirat.
Ampunilah dosa-dosa kami,
Jauhkan kami dari segala mara bahaya.

Ya Allah,
Pada keinginan yang sejuta,
Kami mohon ia jadi nyata.

Amin.

Untuk rakan maya, ada yang dikenali dan ada yang tidak, ada yang baru dan ada yang lama,
Terima kasih kerana sudi singgah.

Selamat Tahun Baru,
Semoga semua mimpi menjadi nyata.

Sevendrops


Monday, 31 December 2012

Reunion Spontan

Sekembali dari Melbourne, dapat pula arahan ke Bukit Gambang Resort City. Maka berkampunglah kami sekeluarga di sana selama 3 hari 2 malam. Si ibu team-building, si keluarga bersuka-suka.

Hari terakhir kami di sana, tiba-tiba mendapat panggilan talipon, dari Aza sekeluarga. Mereka ingin datang bertandang ke rumah. Setelah berbincang, kami mohon kedatangan itu ditunda. Kami masih berada di Kuantan, tidak tahu bila akan sampai ke Shah Alam. Bila sampai, mungkin kami keletihan yang melampau. Akhirnya, mereka datang esoknya.

Dan kami merancang reunion spontan untuk meraikan mereka. Kami menjemput geng santai malam minggu. Dan hari itu kami bersantai sehingga jam menunjukkan pukul 4.30 pagi. Ibu bapa sibuk bercerita, mengulang cerita suka-duka lama. Anak-anak mendengar sahaja dan akhirnya kami berikan Monopoly untuk bermain. Ahh... ia kenangan lama yang berulang. Terima kasih kepada yang sudi hadir.








Kabin oh Kabin

Salah satu keinginan yang terpendam ialah untuk bercuti di kabin. Barangkali pengaruh cerita-cerita pengembaraan Enid Blyton yang mengandungi cerita-cerita bercuti di kabin masih sebati di fikiran. Tambahan pula, beberapa kali berpeluang bercuti begitu terngiang-ngiang di ingatan. Malangnya, ia sukar berulang. Bila? Bagaimana? Tidak tahu. Dan biarlah keinginan itu di situ. Tetapi, Allah makbulkan jua. Ia seperti rezeki jatuh ke riba, tidak disangka-sangka.

Kedudukan apartment yang kami sewa jauh dari Melbourne Airport. Jadual penerbangan pulang ke Malaysia di dinihari memerlukan kami berada di lapangan terbang seawal mungkin. Apatah lagi perlu berdepan dengan pihak imegresen yang teliti dan cerewet. Lalu, kami mencari-cari destinasi baru untuk menginap. Di situlah berpuncanya kami menemui penginapan kabin di Airport Tourist Village. Kabin dua bilik yang sangat comel. Seperti pucuk dicita ulam mendatang. Kamipun berangkat menuju ke tempat berkenaan.


Pada sebelah petang, kami bersiar-siar di kawasan persekitaran. Sempat ke bandar berdekatan. Peluang yang tidak disangka-sangka ini memberi peluang kami menikmati penempatan ekslusif penduduk setempat. Kami bersiar-siar dengan bas dan berjalan-jalan kaki. Menapak ke Aldi yang sangat serupa susun aturnya dengan yang pernah ditemui suatu masa dulu. Akhirnya, kami bertemu dengan kedai kebab. Selamatlah tukang masak pada malam itu.

Keesokannya kami bertolak ke airport dan pulang ke tanahair. Apa perasaan setelah dapat menjejak kaki ke benua terkecil itu? Cukuplah jika hanya sekali. Jika ada anak hendak menyambung pelajaran, hendaknya biarlah bukan di situ. Rata-rata pelajar yang ditemui mengatakan mereka jatuh miskin di bumi itu. Kos hidup yang tinggi membuatkan saya mengerti kenapa rakan-rakan mengeluh tentang kehidupan di sana. Saya masih merindui kehidupan di Nottingham dulu. Ia tidak menyebabkan saya rasa miskin seperti di Melbourne ini.

**** Apa-apapun, Terima kasih Suraya ***** Kami benar-benar menghargainya!

Bolehkah saya lahirkan keinginan satu lagi di sini .....
ISTANBUL.... AKU DATANG......










Penguin di Philips Island

Selepas misi selesai, kami melihat semua brosur yang tercapai tangan. Akhirnya, semua ahli bersetuju untuk berada sehari di Philips Island - pulau yang disediakan khas untuk habitat asli beruang Koala, Wallabi dan Penguin. Kami booking melalui talipon dan berjanji untuk diambil pada pukul 12.00 di Hotel Como. Satu tempat yang agak jauh dari tempat tinggal kami. Selepas menalipon, kami semua keluar berjalan-jalan dengan tujuan untuk mencari Hotel Como untuk memudahkan urusan esoknya.

Perjalanan malam itu sangat santai. Cuaca tidak panas dan tidak sejuk. Angin menghembus sepoi-sepoi bahasa. Dan kami temui tempat yang akan dituju dengan jayanya setelah bertukar-tukar tram. Harapan kami, urusan esok mudah. Malangnya, esoknya perjalanan ke Hotel Como, tidak secepat yang diramal. Kesesakan kenderaan di siang hari membuatkan kami terlepas bas. Kami diberi masa sejam untuk berada di perhentian utama. Jika tidak, kami akan ditinggalkan. Di situlah keperluan membaca peta menjadi sangat utama. Rakan sekerja dan Gem 1 meneroka kemungkinan perjalanan yang perlu ditempuh. Saya dan suami rakan sekerja, cuma merenung kosong pada peta. Bolehkah kami sampai pada waktunya????

Akhirnya, kami naik keretapi dan kemudian tram. Selepas itu, kata rakan sekerja,"Mulai sekarang apa yang akan membuatkan kita akan sampai ke tempat tujuan ialah kekuatan kaki berlari!". Terkedek-kedek kami berlari dari satu jalan ke satu jalan. Hati sudah hampir kecewa, tapi masih berdoa,"Ya Allah, jika perjalanan ini baik, mudahkanlah... mudahkanlah..". Akhirnya, sambil tercungap-cungap dan mengesat peluh, kami tiba ke destinasi. Alhamdullillah.

Akhirnya, kami tiba di Philips Island selepas berada di dalam bas pada waktu yang agak lama. Kenangan mengembara ke Eropah dengan bas mengingatkan saya bahawa kami perlu duduk di barisan hadapan di dalam bas. Kedudukan itu memberikan pandangan180 darjah yang tiada halangan. Dan Allah memakbulkan keinginan kami itu dengan penuh hikmah. Jika kami tidak kerana terlepas bas di Hotel Como tadi, kami tidak mungkin akan berada di barisan paling hadapan ketika menunggu bas berkenaan. Sesiapa yang diambil oleh bas dari hotel-hotel tadi, perlu turun membayar tambang dahulu. Sedangkan kami sudah bersenang lenang bersedia berbaris paling depan untuk merebut tempat paling depan di dalam bas! Sesungguhnya, Allah Maha Kaya Merancang. Sedih dan hampa kami terlepas bas, rupa-rupanya untuk dianugerahkan nikmat pandangan sejauh mata memandang. Allahu Akbar!





Apa yang ada di Philips Island? Saya miskin kata-kata untuk menceritakan kebesaran Tuhan di sana. Rasailah sendiri. Ia satu pengalaman yang sangat berbaloi. 

Selepas seharian di Philips Island, kami terkedek-kedek pulang ke apartment seperti Penguin pulang petang.

Ke Benua Terkecil - Siri 3

Selepas ke University of Swinburne, kami bergegas pula untuk ke University of Melbourne. Masa sangat singkat. Mereka sudah masuk mood cuti Krismas. Tapi, kami sempat juga melawat Makmal Komputer yang dihajati - makmal komputer berprestasi tinggi. Kami bayangkan yang luar-luar biasa. Rupa-rupanya, ia tampak sangat biasa walaupun makmal ini menempatkan kerja-kerja professor-professor lawatannya. Khabarnya begitu.

Keletihan turun naik tram - tapi menunggu rakan Suraya yang belajar di sini untuk menunjukkan jalan ke tempat seterusnya
 Di University of Melbourne - dalam proses mencari fakulti sains komputer, snap gambar dulu!

Makmal yang dicari sudah ditemui

Berbincang-bincang di sini sambil melawat makmal sekitar

 Sempat ke Kedai Universiti. Ketika kami sibuk mencari barang, lihatlah apa aktiviti Gem 2!
 Dalam perjalanan pulang, sempat singgah di sesuatu tempat. Hajat untuk snap gambar sebanyak-banyaknya telah hilang di dalam kepenatan. Kaki berdenyut-denyut sakit. Sendipun turut serta. Kami mengatur langkah pulang ke apartment dengan sedaya upaya. Laparrrr ... letihhhh... semuanya ada. Pun begitu, hati sangat puas. Misi sudah berjaya. Alhamdullillah.