Tuesday 26 October 2010

Peperiksaan

Sekarang minggu peperiksaan. Istilah peperiksaan seperti sebati dengan perjalanan hidup ini. Sudahlah dari kecil meniti peperiksaan demi peperiksaan, setelah bekerjapun masih diulit peperiksaan yang datang silih berganti. Aduhai peperiksaan... istilah keramat yang tersimpul seribu nostalgia.

Pernahkah membilang berapa peperiksaan penting yang telah dilalui? Bermula dengan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah, Sijil Rendah Pelajaran (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Peperiksaan Setiap Hujung Semester (Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana) dan kemudian Viva (PhD). Itu baru yang besar-besar, tidak lagi termasuk peperiksaan percubaan, ujian Bahasa Inggeris TOEFL dan IELTS, ujian bulanan, kuiz... bla... bla... Sungguh! hidup di dunia ini penuh dengan hambatan peperiksaan demi peperiksaan yang mengancam hidup dan masa depan ... huruf-huruf 'A', 'B', 'C', 'D', 'E' dan 'F' telah mengikat satu kasta ... yang dihujungnya ada implikasi sosial dan nilaian Ringgit Malaysia.

Peperiksaan yang silih berganti itu ada musim dan kala. Tanya azam dan kemahuan, bersiap sedialah seadanya. Putih hitam keputusan, ada di tangan sendiri. Tidak sama nasib si berusaha dengan nasib si alpa. Pun begitu, sudah fitrah dunia, status gagal atau berjaya, bukanlah kekal abadi. Ia boleh diulang dan diubah. Maka, implikasi sosial dan Ringgit Malaysia yang datang bersamanya, bukan hukuman atau balasan hakiki yang kekal untuk selamanya.

Namun, seseorang Muslim percaya bahawa ada lagi pembalasan gagal atau berjaya yang kekal abadi. Ia datang bersama perkiraan dosa dan pahala .. dihujungnya ada kasta Syurga atau Neraka dan ianya untuk selamanya. Untuk meraih kasta tersebut, peperiksaannya tiada format dan jangkaan. Itulah yang dinamakan dugaan atau ujian hidup. Berjayakah kita di sisi Tuhan?

Untuk kita yang sedang dan bakal menduduki peperiksaan / dugaan / ujian, didoakan semoga kejayaan di sisi Tuhan menanti kita. Mudah-mudahan kejayaan itu mencakupi segalanya yang baik - kasta sosial, Ringgit Malaysia dan kasta Syurga tertinggi. Amin.

No comments: