Wednesday 1 December 2010

Si Tanggang

Pernahkah anda mendengar cerita tentang Si Tanggang? Ia sebuah cerita lama yang diulang-ulang. Seingat saya, mak pernah bercerita kepada saya sewaktu saya masih kecil dan tidak tahu membaca. Siapakah Si Tanggang? Masyhur benar namanya sejak zaman berzaman. Al kisah, Si Tanggang ialah seorang anak muda miskin yang pergi merantau meninggalkan kampung halaman dan ibunya yang tua. Beliau ditakdirkan menjadi kaya. Biasalah cerita lama, yang kaya dapat pula menjadi menantu raja. Namun, beliau lupa daratan. Apabila kaya, beliau malu untuk mengaku si ibu yang miskin itu adalah ibunya. Maka sedih dan hiba hati si ibu. Seketika, hujan turun dengan lebat dan kilat sambar menyambar. Tetiba, Si Tanggang bertukar menjadi batu. Begitulah sedikit sebanyak tentang cerita Si Tanggang yang popular. Pun begitu, ia bukan idola. Si Tanggang adalah ikon anak derhaka!

Kenapa cerita Si Tanggang masih diulang-ulang? Masihkah relevan ceritanya di zaman sains dan teknologi ini? Ketika di luar waktu sibuk dan sempat menerawang di celah-celah kehidupan, rupa-rupanya Si Tanggang bukan termasuk di dalam spesies 'dinasour' yang sudah pupus. Dia ada di zaman dahulu kala dan masih ada di zaman yang serba digital ini...

Sketsa Pertama:
Seorang ibu yang sudah lanjut usia hidup sebatang kara. Sudahlah tidak mempunyai ramai anak, anak yang ada tidak sudi pulang ke rumah. Sejak berkahwin, anak lelaki kesayangannya berubah. Si anak menjadi jauh dan bersikap acuh tidak acuh. Si anak merasa tidak perlu bertegur sapa atau pulang menjenguk ibunya. Hidupkah si ibu? Sakitkah si ibu? Dia apa peduli. Si ibu tunduk sayu. Dalam suara yang bergetar si ibu menutur satu per satu,"Mak Cik sudah tidak berair mata.. Mak Cik cuma ingin membahagiakan hari tua ini dengan melupakan dan membuang jauh-jauh harapan dan kenangan tentang dia".

Sketsa Kedua:
Ketika si anak lelaki ini membesar di depan mata, dialah jadi pujaan kedua ibu bapa. Taat, bersopan dan menurut perintah. Si anak inilah yang ringan tulang membantu itu dan ini... si anak inilah yang manja, menjadi buah hati pengarang jantung... di tatang bagai permata. Masa berlalu, si anak sudah dewasa. Dari seorang kanak-kanak berhingus.. membesarlah dia menjadi gagah perkasa. Berjaya pula ke menara gading dan seterusnya menjawat pekerjaan yang mulia. Pun begitu, langit tidak selalu cerah. Harapan kedua ibu bapa yang dipertaruhkan kepada si anak di kala mereka tua, terhempas dan jatuh berkecai. Sebaik mendirikan rumah tangga, si anak sudah berubah. Si isteri menjadi raja di hati, lalu ibu bapa tersisih ke tepi. Pernah ibu bapa menangis hiba, "Apakah anak kami ingin menjadi anak derhaka? Takutkah pada isteri lalu menjadi dayus? Tahukah dia apa itu dayus? Lelaki dayus tidak mencium bau syurga, apatah lagi untuk masuk ke dalamnya?" Aduhai... menitis air mata satu persatu... Kejamnya si anak ini. Ibu bapanya tidak meminta emas atau permata. Ibu bapanya hanya menagih kasih dan hormat anak yang tidak seberapa. Kini, ibu bapa ini bukan sahaja 'kehilangan' anak kesayangan, menantupun tidak sudi untuk bersua muka dan usahlah bermimpi untuk merangkul sayang si cucu, kerana wajah si cucu hanya muncul di facebook!

Sketsa Ketiga:
Si anak lelaki lupa akan wujudnya si ibu yang sudah tua. Ketika susah, si anak datang meminta-minta. Jika, senang.. lupa dunia. Untuk ibu, segalanya serba sukar. Yang dekat menjadi jauh. Yang cepat, menjadi lambat. Si anak boleh bebas ke sana ke mari, berkelah, bercuti, berkenduri, berkelana .. cuma tidak boleh menjenguk si ibu yang tua lagi uzur; dan tidak pula ada masa untuk sekadar bertanya khabar. Sakitkah si ibu? Cukupkah nafkah si ibu? Si ibu diam memendam rasa... aduhai.. mempunyai anak ramai pun sunyi juga di kala tua.

Sketsa Keempat:
Dulu... kecil-kecil si anak sering kotor, comot dan berhingus. Pun begitu, rumah ibu bapanya adalah syurga dunia.... bahagia. Kini, ketika berkerjaya hebat dan bergaji tinggi, tiba-tiba rumah ibu bapa bertukar menjadi busuk, sempit, buruk dan kotor. Sesekali ada rasa untuk menjenguk ibu bapanya, bagaikan tetamu jauh yang tergesa-gesa untuk pulang. Tidak lagi sudi untuk bermalam di rumah ibu bapa atas serba alasan, lalu menyewa hotel berbintang-bintang. Si ibu melambai sayu anak, menantu dan cucu. Hiba... anak sendiri tidak lagi sudi untuk bermalam bersamanya. Tertanya-tanya juga pada sikap si anak. Jika rumah ibu bapa busuk, wangikanlah. Jika rumah ibu bapa sempit, luaskanlah. Jika buruk, cantikkanlah. Bukankah dia sudah berjaya dan kaya raya?


Entri ini aku tujukan khas untuk anak-anak lelakiku dan untuk pelajar-pelajar lelakiku.

Wahai anak-anak lelaki,
Ketahuilah olehmu bahawa kewajipanmu menjaga ibu bapa bukan seketika
Allah telah mewajibkan ke atasmu tanggungjawab itu sehingga engkau tidak bernafas lagi.. mati!
Ingatlah.. roda hidup sentiasa berputar..
Renunglah ke dalam dirimu, apakah ada calitan Si Tanggang pada sikapmu
Jika begitu.. apakah engkau mahu.. calitan yang serupa ada pada anak-anakmu?
Apakah engkau akan tersenyum bahagia kerana mempunyai anak-anak yang serupa denganmu?
Sungguh, amaran Allah Maha Benar .. bahawa biarpun bintang berjuta yang kau gapai
Syurgamu masih terperosok di telapak kaki yang hina milik ibu bapamu!!

2 comments:

ME said...

good one Ira .. dan menjadi tanggungjawab kita mengingatkan suami masing2 yang sering sibuk agar tidak menjadi isteri sitanggang .. moga kita tidak diduga dgn dugaan hati yg tamak hingga menidakkan hak ibu mertua..

SevenDrops said...

Salam Me,

Kena mengingatkan pada yang sering lupa... dosa akan menjadi bala.