Monday 8 October 2012

GPS: Antara Tanda-Tanda

Barangkali saat ini, keinginan saya yang paling bergejolak ialah mencari tanda-tanda Kehebatan Ilahi melalui perspektif umat yang hidup di Alaf Digital. Alaf Digital - alaf yang menjadikan manusia hidup sangat berorientasikan komputer, maklumat dan komunikasi. Ada banyak ketika, hati kecil berdoa, Ya Allah, tunjukkan aku. Mudah-mudahan aku mampu merenung KehebatanMu melalui duniaku hari ini. Kerana saya sangat percaya bahawa keajaiban hidup di alaf ini mampu merungkai seribu rahsia.

Minggu lepas, di dalam kesibukan urusan kerja harian, tiba-tiba ada rakan sekerja mengajak, "Jom kita pi dengar taklimat geran". Secara spontan, kami pergi. Walaupun sudah biasa ke tempat berkenaan, kami sering tersasar tempat. Kali ini, rakan yang memandu amat yakin akan sampai ke tempat tujuan dengan cepat. Beliau ada GPS. Benarlah kata beliau, kami sampai seperti yang dijangka.

Bila pulang, kami masih dibantu oleh GPS. Ketika GPS mengarah kami mengambil satu simpang, kami pula engkar dan pilih simpang yang lain. Berkali-kali GPS memberi arahan untuk berpatah balik. Dan kami tidak peduli. Tiba-tiba bateri talipon habis. Habislah juga bantuan GPS.

Ketika rakan-rakan berbincang tentang arah yang perlu diambil, apa yang mampu saya katakan ialah "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar", berulang-ulang kali. Pada saat itu saya berkata di dalam hati, Ya Allah.. di sebalik GPS ada tanda-tanda KebesaranMU. Bagaimana?

Lalu, saya melewati kehidupan lampau. Sesekali apabila memegang al-Quran dan membaca terjemahannya, hati menimbulkan banyak persoalan. Kenapa Allah sering menyatakan sebahagian besar manusia akan menghuni neraka? Jika begitu, tidak perlulah kita bersusah payah menjadi baik. Bukankah segalanya sudah tersurat? Dan saya menjadi sangat keliru tentang semua orang Islam wajib percaya bahawa Allah memberi kita pilihan untuk memilih jalan. Jalan ke syurga atau ke neraka. Sungguh, saya tidak memahami.

Dan alat GPS  sangat-sangat membantu untuk memahami kekeliruan itu. Benar. Ia memang benar bahawa Allah tahu segolongan besar manusia akan ke neraka. Kenapa? Kerana Allah mempunyai fakta tentang perlakuan dan pergerakan kita yang tercatit dari masa ke semasa. Allah Maha Mengetahui seluruh peta perjalanan makhluknya dari alam ruh ke alam akhirat. Peta yang memiliki segala bentuk persimpangan. Allah yang sentiasa memerhatikan kita Maha Mengetahui jalan manakah yang kita akan pilih. Maka, Dia Maha Mengetahui apakah kita akan sampai ke destinasi syurga atau neraka akhirnya. Sungguh, Allah memiliki GPS Maha Canggih yang meneliti perjalanan keseluruhan hidup kita! Apakah Allah memaksa kita menurut hanya satu jalan? Jawapannya tidak sama sekali. Kita bebas memilih simpang. Simpang manakah yang kita akan ikuti? Dan Allah Memerhati.

Seperti biasa, apabila hati melihat tanda-tanda Kebesaran Allah, saya akan bertanya-tanya di dalam hati, apakah ada ayat al-Quran yang bercerita tentang GPS? Al-Quran tidak menyebut tentang GPS. Tetapi ayat memohon bantuan GPS Allah kita baca setiap hari - SEKURANG-KURANGNYA 17 KALI SEHARI, PADA 5 WAKTU YANG BERBEZA. Kita memohon GPS Allah menunjukkan jalan yang lurus ke Syurga Firdaus. Bukan tersesat ke neraka Jahannam! Apa ayatnya????


Surah Al-Fatiha
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (1)
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (2) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. (3) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (4) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). (5) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (6) Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7) 




No comments: