Wednesday 3 October 2012

Suruhan atau Anutan?

Sejak beberapa minggu ini saya sering memikirkan tentang satu perkara yang agak merisaukan minda. Iaitu, adakah saya menganut Islam? Apakah Islam saya kerana suruhan atau sudah menjadi anutan? Dan saya yakin saya memang menganut Islam. Tetapi tidak perasan bilakah ia bermula. Kenapa? Kerana sebilangan kita menjadi Islam sebab ibu bapa kita berugama Islam. Ia turun temurun. Ia bermula dengan aktiviti suruhan. Sejak kecil, ibu bapa menyuruh anaknya menjadi Islam. Suruh ucap kalimah syahadah. Suruh solat. Suruh puasa. Itu suruhan rutin. Dan kita membesar bersama suruhan-suruhan itu. 

Kadang kala, ketika mengharungi dunia remaja, ketika tinggal di asrama dalam usia yang muda, ketika ibu bapa tiada di sisi menyuruh dan menyuruh, maka rutin untuk beribadat yang berdasarkan suruhan itupun hilang bersama hilangnya wajah garang ibu dan bapa. Tidak pasti bilakah saya menjadikan agama Islam sebagai agama anutan yang lahir dari jiwa sendiri. Bukan berugama kerana disuruh ibu bapa begitu. Sungguh, saya tidak pasti. Anda pula, bagaimana?

Lalu, ketika setiap pagi melaung-laung pada anak-anak supaya menyempurnakan solat Subuh, pertanyaan seperti  "Apakah anak-anak aku menganut Islam kerana disuruh?" terlekat di minda untuk difikirkan. Kenapa mereka perlu disuruh-suruh lagi? Bukankah sudah bertahun-tahun kami menjadikan solat itu rutin? Apakah yang akan terjadi sekiranya mereka berjauhan? Apakah mereka akan melaksanakan suruhan Tuhan dengan keinginan yang datang dari keinsafan sendiri? Takutnya untuk mencari jawapan.
 
Seperti saban semester saya akan menanyakan soalan cepu emas kepada pelajar-pelajar: Siapakah di antara anda yang dengan ikhlasnya dapat memberi jawapan, "Siapakah yang cukup sembahyang lima waktu?" Yang mengangkat tangan serta-merta sangat sedikit. Barangkali benarlah kata Dr Fadzillah Kamsah - hanya 20% umat Islam di Malaysia yang bersembahyang 5 waktu! Yang lain tersipu-sipu malu dengan alasan-alasan. Apakah ini contoh generasi yang Islam kerana suruhan dan bukannya anutan?

Bagaimana ... bagaimana... bagaimana... untuk membina generasi yang menganut Islam? Satu persoalan yang memerlukan pendekatan praktikal. Bukan teori. Teori ada di kedai buku. Ya Allah, mudah-mudahan Engkau menemukan kami dengan jawapan. Ya Allah, jadikanlah keturunan kami, keturunan yang menganut agama Islam, bukan hanya ikut-ikutan. Amiin.

No comments: