Monday 3 December 2012

Ke Sungai Buloh

Pada 1.12.2012 yang lepas sepatutnya kami sekeluarga menyertai rombongan kahwin anak saudara, Zulfadli bersama pasangannya Zaidatul di Perak. Mengikut perancangan berbulan-bulan dahulu, kami akan turut serta. Zulfadli seperti sebahagian ahli adik beradik walaupun bertaraf anak saudara kerana beliau dibesarkan di rumah Tok. Ketika anak-anak masih kecil, setiap kali pulang bercuti ke rumah Tok, maka Zulfadli menjadi teman sepermainan dan pengasuh mereka. Malah, kebanyakan peristiwa yang berlaku di rumah Tok, kami akan melalui bersama seperti kesibukan menyambut puasa dan raya, kenduri-kendara dan sakit demam. Malah, dia selalu menjadi mangsa berulang alek ke kedai untuk untuk memenuhi keperluan spontan di dapur ketika ada keramaian. Ketika sudah dewasa dan bekerja, dia menjadi rakan chef di dapur Tok. Kerap kali, dia menjadi teman Tok yang bersendirian. Tetapi, pada hari perkahwinannya, kami tidak dapat turut serta atas beberapa alasan.

Alasan pertama, Gem 3 akan pulang ke Shah Alam untuk menguruskan pasukan UTP menyertai pertandingan Intelligent Racing Car di UiTM Shah Alam. Sibuk benar Gem 3 menguruskan peserta pertandingan yang semuanya senior nya. Ke hulu ke hilir membeli itu dan ini.

Alasan kedua, kerja yang datang sangat tiba-tiba. Ketika menghampiri hujung minggu, ada surat arahan bertugas pada 1.12.2012! Tugasnya ialah untuk menghadiri majlis pembukaan seminar di Fakulti Perubatan UiTM Sungai Buluh - menggantikan Dekan yang akan menghadiri majlis Konvo Fakulti. Aduhai... Maka pada hari berkenaan saya ke sana dengan langkah yang tersipu-sipu. Berpaling ke kanan atau ke kiri, tidak berjumpa satu mukapun yang dikenali kecuali beberapa jemputan VVIP. Lalu, duduklah saya di situ sehingga majlis pembukaan tersebut selesai. Ketika majlis berhenti untuk laluan sesi minuman teh dan bergambar, saya pun perlahan-lahan meninggalkan dewan seminar.

Ketika beberapa waktu di situ, ada beberapa fakta yang dibentangkan. 
  • Fakulti perubatan di Malaysia tumbuh bagai cendawan melebihi Fakulti Perubatan per kapita di United Kingdom.
  • Jika Air Asia mempunyai slogan "Everyone Can Fly", bidang perubatan di negara kita seperti mempunyai slogan "Everyone can be a doctor", sehinggakan kata penceramah ada pelajar yang mempunyai kelulusan pertukangan tangan memohon untuk mengikuti pengajian kedoktoran!
  • Ada sekitar 8000 doktor pelatih setahun di sekeliling kita yang mana ada segelintirnya mendapat ijazah dari universiti yang tidak diiktiraf. Ada antara mereka yang mendapat ijazah kedoktoran tanpa perlu memegang sebarang pesakit - belajar teori saja!
Maka, ada juga baiknya saya terkebil-kebil di majlis itu. Sekurang-kurang dapat mengambil satu peringatan, DAPATKAN PANDANGAN KEDUA sekiranya disahkan sebarang penyakit yang merbahaya kerana atas faktor-faktor di atas. Lalu saya teringat beberapa kisah benar yang dialami oleh rakan taulan yang hampir. Doktor pertama mengesyorkan dia perlu menjalani pembedahan yang serius (akan menelan belanja puluhan ribu). Doktor kedua pula hanya berkata, penyakit yang dialami rakan ini tidak serius, boleh baik jika diberi masa. Akhirnya, beliau sembuh dengan sendiri. Bagaimana pula ada yang sakit 3 hari di hospital dan hanya diberi ubat demam, Caj = RM3000! dan ada kes RM6000! Aduhh... berhati-hatilah. Dalam apa bidang sekalipun, ada saja yang ambil kesempatan di celah-celah kesucian bidang kerja tersebut.



2 comments:

mulan said...

Terpanggil untuk share,
Bebaru ni ada saudara (doktor pakar) beritahu saya trend ibubapa skrg yg berduit adalah menghantar anak anak ke medical school di salah sebuah negara jiran apabila bebudak ni gagal untuk masuk established medical school kat Msia. Maka terhasillah doktor-doktor "kangkung" ni. Malah dia pernah deal dgn young doctor yang mengelak untuk pegang pesakit atas alasan "jijik/kotor tangan"...

Anonymous said...

Mulan,
Tulah.. dok fikir dua tiga kali untuk buat entri ni. Takut ada yang terasa. Tapi bila dipertimbangkan sebagai rakyat biasa, perlu tahu kedudukan perkara sebenar. Sebab kita yang akan menanggung risikonya. Mudah-mudahan ia dapat memberi peringatan ketika kita berurusan. Berwaspada selalu!

Sevendrops