Thursday 17 December 2015

Menjadi Minimalis

Apa itu minimalis?  Kerap benar terdengar perkataan itu sejak kebelakangan ini. Pada sesetengah kelompok, minimalis digunakan dalam karya dan rekabentuk. Tidak kira rekabentuk apa - poster? Rumah? Bilik? Iklan? Kebun? Kasut? Baju? Ada kalanya rasa sangat tertarik dengan rekabentuk itu. Ringkas tapi cantik.

Lalu, saya mencari apakah yang dikatakan minimalis itu. Asasnya konsep minimalis ini telah lama diutarakan iaitu sekitar tahun 1960an.  Ia sudah lebih separuh abad. Minimalis bolehlah digambarkan sebagai satu konsep yang memberi tumpuan kepada yang perlu sahaja dan membuang unsur-unsur yang tidak perlu diberi perhatian. Ia berasaskan objektif dan bagaimana untuk mencapai objektif itu secara minima. Jika rumah berserabut dengan segala perhiasan di sana sini, aplikasi konsep minimalis akan menjadikan rumah itu hanya diletakkan perabut keperluan sahaja. Hiasanpun mengambil ruang yang minima. Sekali pandang, hati tenang. Agaknya itulah konsep yang dipakai di bilik-bilik hotel. Ringkas, kemas dan tenang.

Namun, minimalis membawa saya menganalisa kepada Kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW kita. Bukankah beliau seorang yang minimalis? Berapa pasang jubah yang dimilikinya? Apakah yang ada di rumahnya? Dari ceramah-ceramah perihal kehidupan baginda, bukankah nabi kita yang terakhir itu seorang manusia yang memperkenalkan dan mengamalkan konsep minimalis? Malah, sahabat-sahabatnya yang kaya raya telah mensedekahkan sebahagian besar harta dan hidup dengan harta yang sangat minima. Begitulah. Ketika kita kagum dengan konsep moden, konsep kontemporari... rupa-rupanya Islam sudah telah memperkenalkan dengan contoh terbaik sejak lebih daripada 1400 tahun dahulu!

Tetapi, kenapa kita tidak tertarik? Saya kira ia bergantung kepada bagaimana kita mempraktikkan. Kita merujuk minimalis kepada zuhud. Seringkali cara zuhud dilaksanakan tidak meletak ke tahap profesional, glamor dan elegan. Seringkali yang mengaku mengamalkan zuhud berbaju comot, lusuh dan serebeh. Berkenderaan buruk. Rambut / misai / tudung berserabai. Konsepnya bagus, tapi perlaksanaannya menggambarkan kehidupan zuhud itu perlu miskin dan compang-camping. Kasta hidup rendah.

Tidak bolehkah kita jadikan konsep zuhud itu seindah konsep minimalis? Kita boleh memiliki hanya 2 pasang baju, tetapi 2 pasang baju yang kita miliki dan pakai setiap hari itu kemas dan elegan? Tidakkah kita boleh berzuhud dalam memiliki kenderaan dengan hanya memiliki 1 sahaja bilangannya, tetapi kenderaan itu adalah yang terbaik yang kita mampu miliki? Tidakkah kita boleh berzuhud dalam memiliki hanya sebuah rumah, tetapi sebuah rumah terbaik yang kita mampu miliki? Maka, saya kira jika kita meletakkan zuhud pada tahap yang terbaik, ia bukan lagi satu kaedah hidup dalam Islam yang kurang diminati. Ia sepatutnya melebihi elegan konsep minimalis itu dan yang pasti mendapat Rahmat dan Keredhaan Ilahi. Dapat pahala ikut sunah lagi!

Mampukah saya menjadi minimalis? Sedang berkira-kira. Tetapi ia perlukan satu kekuatan yang luar biasa!


2 comments:

Anonymous said...

salam kak,
pengertian zuhud itu sendiri salah dimata melayu.....zuhud bukan compang camping....zuhud mungkin sesuai deg minimalis yang akak sebutkan....

Zuhud pada dunia...contoh...punya bmw tapi tak sombong dengannya....punya baju cantik tapi tak angkuh dengannya...zuhud letak dalam hati...namun bila punya yang bagus bagus...untuk meletak zuhud bukan mudah....cabarannya lagi sukar daripada mencari zuhud dengan kenderaan buruk dan baju compang camping....mungkin sebab itu...orang dulu dulu melihat zuhud dengan keadaan sedemikan...

wallahualam....

farah

SevenDrops said...

Mungkin ya Farah. Tahap iman dan takwa berbeza. Tapi jika di 'rebranding' zuhud dalam erti kata sebenar... Islam dipandang 'posh' ... bukan di tahap sekarang...