Saturday, 9 October 2010

Beraya

Kami masih beraya biarpun Syawal sudah pergi! Semalam, masih menerima jemputan meraikan Raya - pada tanggal 1 Zulkaedah. Hari ini ada jemputan lagi... tapi tidak pasti untuk raya atau haji. Jemputan datang sambung menyambung. Dihujung minggu jalan-jalan masih 'jam' dan meriah. Nikmat raya di bandaraya, bagai sebulan tidak mencukupi! Alhamdullillah.. Allah masih memberi kita rahmat dan rezeki.

Tuesday, 28 September 2010

Kerenah Gem 7

Dua hari lepas, ketika dalam perjalanan ke tadika, tiba-tiba terdengar Gem 7 memanggil dari belakang, "Mummy.. mummy...I need a facebook account"! Kata saya," Hah? For what?". Katanya, "I need to be with my friends". Aduhai... Bagaimana untuk bercerita tentang hal-hal asas teknikal untuk si kecil berusia lima tahun ini?

Semalam, Gem 6 menolong Gem 7 untuk memiliki satu akaun facebook. Kata Gem 6 kepada Gem 7,"Firstly, you need an email address". Tanya Gem 7,"What is an email address"? Hah.. panjang lah ceritanya... Tapi, Gem 6 tetap bercerita seolah-olah Gem 7 akan faham. Kemudian, Gem 6 berkata lagi,"You need a password". Tanya Gem 7 lagi,"What is a password?" Aduhai....

Akhirnya, semalam Gem 7 hanya mampu memiliki satu email address. Hajatnya untuk memiliki satu akaun facebook akan cuba dipenuhi malam ini!

Tuesday, 21 September 2010

Raya

Seperti saban tahun, Raya telah datang dan beransur pergi. Puas rasanya beraya tahun ini kerana dapat bercuti panjang, hampir dua minggu! Selalunya, cuti raya, cuti sekolah dan cuti semester tidak bertembung - cuti raya cuma sekadar tindanan masa antara ketiganya.

Raya bukanlah istilah luar biasa. Di Malaysia, banyak sungguh perkataan-perkataan raya - jalan raya, lebuh raya, balai raya, pilihanraya, bunga raya, kasut raya, baju raya, kuih raya, duit raya, langsir raya, jamuan raya, raya Cina, raya Deepavali... raya..raya..raya. Pun begitu, raya Aidil Fitri, tetap istimewa di hati.. yang tersimpul bersamanya kenangan-kenangan yang masih utuh di ingatan.

Beberapa dekad dahulu, menanti raya adalah suatu siksa. Penat sungguh menghitung hari untuk meraikan raya. Persiapan menyambut raya mempunyai aura yang luar biasa. Masih terkenang, mak dan kawan-kawannya akan sibuk bertanya... sudah ditumbukkah beras menjadi tepung atau gula menjadi debu? Kerana, pada bulan puasa dan hari raya, mak akan menyediakan kuih dengan tepung dan gula hasil tumbukan lesung sendiri. Sekampung akan berbunyi hentaman lesung tangan yang silih berganti... dan kami pasti menjadi antara pembantu dan pengacau kerja-kerja mak. Itu baru cerita tepung dan gulanya. Tidak lagi termasuk cerita mengacau dodol dan halwa maskat atau menguli tepung kuih bangkit atau menimbuk telur untuk bahulu atau menekan kuih kacang. Menjelang Syawal juga penat begitu... mengejar ayam yang kuat larinya, membalut ketupat-ketupat, memasang langsir, menyapu sampah.... Sebutpun penat apatah lagi memikul kerjanya. Lalu, Ramadhan dan Syawal selalu hilang dalam penat. Tidak sempat untuk bertafakur dan menghitung nikmat. Kerana itu, menunggu Syawal terasa amat lambat. Tidak banyak fokus pada ibadat. Cuma yang sering dingat, ialah memasang pelita-pelita kecil mengelilingi kampung untuk meraikan malam Tujuh Likur. Bila dikenang.. rupa-rupanya begitulah coraknya Ramadhan dan Syawal yang telah disambut. Alangkah ruginya......

Kini, ketika dunia sudah moden dan berteknologi serta kewangan menjadi mampu, penat Ramadhan dan Syawalpun rupa-rupanya telah berlalu. Ianya cuma tinggal sebagai secebis kisah-kisah kehidupan yang amat manis untuk dikenang, bukan untuk diulang. Ramadhan akhir-akhir ini, membuka satu lingkar kisah baru. Rakan-rakan di sekeliling tidak bertanya apakah kuih yang telah ditempah atau berapa pasang baju yang sudah dibeli, atau apa warna langsir atau sofa atau rupa perabut baru? Ketika saling bertemu, soalan yang diaju,"Dah habis juzuk ke berapa?" atau "Ingat.. malam ni malam ganjil.. jangan lupa solat malam!". Di rumah pula, kedengaran bacaan Al Quran yang silih berganti. Soal tepung, gula, baju, kuih kini tenggelam di dalam keinginan untuk lebih mendampingi Tuhan. Lalu, ketika di ambang Syawal, terasa benar Ramadhan amat pantas berlalu. Apakah Ramadhan kali ini telah lebih baik daripada Ramadhan lalu? Apakah tabung amalan kini padat? Apakah sudah sebersih bayi tanpa dosa? Hanya Tuhan yang tahu, pemilik buku catitan yang Maha Sempurna.

Untuk Suami, mak, anak-anak, kakak, abang, saudara mara, sahabat handai dan rakan maya, Salam Aidil Fitri, mohon ampun dan maaf, moga amalanku dan amalanmu diterimaNya.



Wednesday, 1 September 2010

Tabung

Ketika raya menghampiri, teringat pula tentang tabung ketika zaman kanak-kanak. Kata orang dewasa, "Menabunglah, untuk kegunaan masa hadapan". Maka, urusan menabung sudah menjadi satu kemestian, apatah lagi ketika berdepan dengan duit raya.

Ada beberapa tabung yang rupa bentuknya masih kekal dalam ingatan. Kebanyakannya buatan sendiri dari tin-tin atau kotak. Cuma sekali merasa mempunyai tabung yang dibeli - cenderamata dari Cik Pah. Ianya diperbuat dari buah kelapa, berkilat dan dilukis dengan bunga-bunga. Biarpun dibeli atau dibuat sendiri, kesemua tabung memiliki satu ciri yang serupa: kepingan syiling yang tersimpan di dalamnya terlalu sedikit. Jika, digoncang-goncang, bunyinya gemercing kuat hasil langgaran antara dua tiga keping syiling dengan dinding tabung. Dan, bunyi gemercing itu sentiasa kuat sehingga akhir hayat tabung kerana isinya tidak pernah padat. Saya sentiasa menginginkan tabung yang padat. Ingin membeli itu dan ini sesuka hati. Malangnya, keinginan itu menjadi satu mimpi. Berkali-kali saya mengimpikan agar keajaiban berlaku dan membayangkan tiba-tiba tabung menjadi padat! Namun, fitrah alam tidak begitu. Keajaiban tidak berlaku.

Kini, walau usia meningkat tua, tabung masih menjadi satu isu. Cuma, kali ini tabung itu isinya tidak dirujuk pada duit ringgit. Ia tabung amalan, buat bekalan untuk hidup di alam lain yang kekal abadi. Tabung yang bakal ditimbang di alam akhirat, menentukan syurga atau neraka, satu kehidupan yang kekal abadi. Entah bagaimana rupanya tabung amalanku ketika ini? Apakah ianya ringan seringan tabung duitku berpuluh tahun dahulu?

Dalam renungan yang panjang, tiba-tiba hatipun tersentak melihat Rahmat Tuhan. Keajaiban rupa-rupanya saban tahun berlaku dan berlalu. Nilai tabung amalan boleh diganda sekelip mata di malam Lailatul Qadar!!!

Oh Allah, masukkanlah kami dalam golongan manusia yang menerima keajaiban itu. Mudah-mudahan tabung amalan kami yang ringan menjadi padat, sendat dan berat. Mudah-mudahan, ianya mampu melayakkan kami menaungi Syurga FirdausMu.

Saturday, 21 August 2010

Ganjil

Berpuluh tahun dahulu, amat sedih dan mengharukan jika terasa diri berkeadaan ganjil. Ada bermacam kategori keganjilan. Selalunya, jika berkeadaan ganjil, maka terasa-rasa orang-orang sekeliling akan berkata-kata sesuatu mengenainya. Pun begitu, kehidupan masa lampau banyak ganjil dari 'genapnya'! Contohnya, ketika berhari raya, selalu akan kelihatan ganjil kerana tidak mampu untuk mengikuti fesyen semasa. Atau, selalu berkeadaan ganjil kerana tidak memiliki apa yang kebanyakan orang lain mampu untuk memilikinya. Lantas, tertanam satu persepsi buruk bahawa ganjil adalah lambang kalah, murah dan muram. Lama persepsi itu tertanam di situ.

Cuma, baru-baru ini, ketika membelek-belek kain dan baju untuk persiapan menyambut aidil Fitri, tiba-tiba terasa tidak endah lagi untuk bertanya apakah fesyen kain atau baju atau tudung terbaru untuk dihambat dan diheret pulang. Ketika itu terasa, mengapa selama ini perlu berlumba-lumba untuk menjadi sama? Nikmat kerana sama rupa-rupanya tidak mungkin lama. Esok atau lusa, ia menjadi lapok juga ditelan masa. Kenapa tidak berlumba-lumba untuk menjadi ganjil?

Perhatilah dengan hati yang terbuka. Ganjil adalah lambang kemenangan dan kejayaan. Tidakkah anda akan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, ijazah tertinggi kerana anda berjaya mencari dan mencipta keganjilan bertahap dunia? Tidakkah projek anda diberi markah tertinggi kerana anda berjaya menghasilkan produk dan analisa yang ganjil? Sesuatu rekabentuk atau produk yang menyerlah adalah kerana ganjilnya. Cubalah berjalan di pasar Ramadhan. Langkah anda terhenti di gerai yang memaparkan sedikit kelainan: antara kuih-muihnya, lauk-pauknya, perhiasan gerainya atau kebersihan tuan dan gerai. Kerana, ganjil itu ada satu daya tarikan yang tersendiri.

Dulu, melihat sesuatu itu tanpa diam sebentar untuk berfikir. Dalam ruang lingkup agama, banyak perkara ada kaitan dengan ganjil. Contohnya, ketika Ramadhan ini, dinasihatkan agar memburu Lailatul Qadar pada malam-malam ganjilnya. Nama Allah = 99 = ganjil. Ada 7 kasta neraka dan 7 kasta syurga = ganjil. Ada 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi = ganjil. Ada 7 benua dan 7 lautan = ganjil. Banyak amalan-amalan, sunat diganjilkan. Ketika mengambil wuduk, perbuatannya diulang 3 kali = ganjil. Ketika bertasbih dan bertahmid = 33 kali = ganjil.

Apakah hikmahnya ganjil? Tidaklah cukup ilmu untuk menafsirkan. Cuma, ianya kelihatan seperti berkata-kata,"carilah keganjilan, kerana ianya lambang kejayaan". Lalu, jika ada yang bertanya,"bagaimana untuk berjaya?" Jadikanlah hasilnya ganjil: rekabentuk / idea / tulisan / kraf tangan / perniagaan / software / hardware / cerita - mudah-mudahan di sana ada kejayaan. Nampaknya, begitulah fitrah alam. Ganjil itu 'posh', anggun, mewah!

Friday, 6 August 2010

Analisa

Analisa adalah satu keperluan dalam kehidupan sehari-hari, satu istilah kata kerja dalam dunia sains dan teknologi. Pun begitu, tanpa dunia sains pun, istilah itu perlu terpahat di hati... berulangkali sering didengari dalam ceramah-ceramah tentang muhasabah .. muhasabah.. Entah, saya kurang arif dan tidak pula pakar dalam bahasa. Bagi saya, istilah analisa dan muhasabah agak sama.

Lalu, kerana ia perlu, maka banyak juga tanpa kita sedari kita suka ber'analisa'. Tentang apa saja... gaya.. fesyen.. kerenah manusia.. tabungan... hutang... gaji...

seperti..

Saya menganalisa tentang harga barang yang serba naik. Oleh kerana adanya analisa, saya telah dapati.. harga barang tidak pernah turun.. termasuk juga harga perkhidmatan seperti tol.. tidak pernah turun. Asyik naik dan naik. Ada ketikanya ia tidak disebut 'naik' lagi.. diubah seperti 'selaras' atau 'kurang subsidi' atau apa sahaja yang seumpamanya. Bagi saya yang bukan pakar bahasa.. ianya sama sahaja = naik, kerana saya membuat analisa ringkas apabila melihat dengan sejumlah duit yang sama, saya boleh membeli sepenuh troli 10 tahun lepas, hari ini troli dengan harga yang sama, tinggal sesuku!

atau seperti..

Saya menilai prestasi pelajar... berapa peratus lulus atau gagal. Kalau banyak yang gagal, apa sebabnya. Jika ramai yang cemerlang, apa sebabnya. Kerana, dengan analisa, saya boleh membuat kesimpulan. Mudah-mudahan, situasi di masa hadapan, menjadi lebih baik dari hari ini.

atau seperti

Colin dan Colin (kedua-dua bekas penyelia saya) sering menekankan keperluan untuk sentiasa analisa secara terperinci dan kritikal. Analisa satu kunci utama untuk berjaya di dalam sesuatu penyelidikian - kata mereka. Pada pertemuan pertama lagi, mereka 'memaksa' saya untuk memiliki satu buku catatan.. kata mereka ianya perlu - untuk mencatit idea dan analisa. Lalu, saya memiliki satu buku log. Di situ saya mencatit apa-apa hasil setiap perjumpaan. Saya lekatkan padanya semua e-mail dari mereka bersama apa-apa jawapan yang saya berikan kepada mereka. Segalanya .. kerana ia penting untuk tujuan analisa. Agar .. apabila merenung helaian demi helaian.. saya boleh kenal pasti isi-isi penting yang perlu dicari, dikemaskini... bla..bla... bla... Sudah pasti ianya untuk tujuan kerja = dunia.

Namun, pada suatu hari.. dalam gelisah dan gundah gulana menghadapi ujian Tuhan, tiba-tiba saya rasa amat malu padaNya. Kerana, seumur hidup saya, saya tidak pernah memiliki satu diari untuk Tuhan... sedangkan Allah berkali-kali menyebut.. sesungguhnya DIA memiliki satu diari untuk setiap kita, satu kitab Luh Mahfuz, yang Maha Terperinci, yang mencatit apa yang terserlah dan tersirat, fizikal dan rohani. Apakah selama ini saya buta dan pekak. Tidak peduli apa yang telah tertulis dan akan ditulis, lantas sudah pasti saya tidak mampu membuat analisa yang terperinci.. semuanya sekadar ingat-ingat lupa. Apakah saya ingat tentang apa yang saya telah lakukan pada Ramadhan sepuluh tahun lepas? Jangankan sepuluh tahun lepas, yang tahun lepaspun belum tentu dapat dingat satu persatu. Lalu, saya bertekad... saya ingin memiliki satu diari khas untuk Allah. Di dalamnya saya akan catit apa yang saya lakukan. Biarlah rekodnya corot. Sekurang-kurangnya apabila saya menganalisa, saya tahu saya corot dan saya memiliki data yang terperinci. Nampak mudah.. tapi sebenarnya sukar bagi seorang saya yang tidak pernah setia pada diari. Berkali, buku kecil yang dibeli untuk diheret ke sana ke sini, hilang entah di mana.

Tadi, ketika mendengar ceramah Ustaz Roslan di TV9... ustaz berkata.. jadikanlah Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang lepas. Lalu, saya teringat pada buku kecil yang sudah comot.. di situ ada rekod untuk Ramadhan yang lepas. Mesti buat analisa!!! Mudah-mudahan.. saya dapat membuat perbandingan antara Ramadhan yang akan tiba ini dengan Ramadhan yang telah lepas... apakah naik atau turun. Mudah-mudahan biarlah ia mewarisi tradisi harga barang.. terus naik dan naik!!!!!

Salam Ramadhan untuk rakan maya yang sudi bertandang. Mudah-mudahan Allah mengurniakan nikmat rajin dan kesihatan untuk membelai Ramadhan yang datang dan akan pergi.

Sunday, 25 July 2010

Rakan Maya dan Realiti Kehidupan

Pada lewat petang Ahad minggu lepas, tiba-tiba saya mendapat panggilan daripada Nurazzah8, seorang rakan maya yang juga merupakan rakan sekerja. Katanya dengan nada sedih,"Raden Galoh (nama maya) sedang tenat di hospital. Doakanlah moga Allah meringankan kesusahannya". Saya tidak pernah bersua muka dengan Raden Galoh. Saya cuma 'silent reader' pada blognya http://onebreastbouncing.blogspot.com. Pun begitu, seolah-olah mengenali beliau dari dekat kerana kadang-kadang membaca coretan beliau yang ditulis dengan gaya bahasa yang indah dan halus. Tulisannya menggambarkan kecekalan dan pengharapan ketika beliau diuji dan diuji Tuhan.
Pada pagi Isnin, diberitakan beliau telah kembali ke Rahmatullah. Saya diajak Nurazzah8 berkunjung ke rumahnya. Setibanya di sana, saya diperkenalkan oleh nurazzah8 dengan rakan-rakan maya yang lain. Katanya, "Perkenalkan, ini SilverSarina... ini Kak Lady.... ini...." - semuanya dengan menggunakan nama maya mereka. Yang paling dikagumi, SilverSarina datang dari Kemaman menuju ke hospital semata-mata ingin berjumpa dengan rakan mayanya Raden Galoh. Setiba di hospital, beliau diberitahu tentang berita kematian, lantas bergegas pula mencari rumah ibu bapa Raden Galoh. Itulah pertemuan awal dan akhir.
Ketika saya sempat bersalam dengan ibu Raden Galoh, beliaupun bertanya,"Di mana kau kenal dia nak.. maafkanlah kesalahan beliau". Saya cuma memeluknya erat tanpa berkata apa-apa.. dalam hati cuma berkata .."Saya tidak pernah bertemu dengan anak Mak Cik!"
Dan jika berkunjung ke blog Raden Galoh... ratusan komen masih mendoakan beliau, dari dekat, dari jauh, yang dikenali dan tidak dikenali.
Yang pasti, rakan maya bukan sekadar sesuatu yang sia-sia. Ia umpama, rakan yang jauh tapi dekat di hati. Dalam konteks ukhwah, rakan maya adalah sebahagian daripada realiti kehidupan.