Wednesday, 1 December 2010

Si Tanggang

Pernahkah anda mendengar cerita tentang Si Tanggang? Ia sebuah cerita lama yang diulang-ulang. Seingat saya, mak pernah bercerita kepada saya sewaktu saya masih kecil dan tidak tahu membaca. Siapakah Si Tanggang? Masyhur benar namanya sejak zaman berzaman. Al kisah, Si Tanggang ialah seorang anak muda miskin yang pergi merantau meninggalkan kampung halaman dan ibunya yang tua. Beliau ditakdirkan menjadi kaya. Biasalah cerita lama, yang kaya dapat pula menjadi menantu raja. Namun, beliau lupa daratan. Apabila kaya, beliau malu untuk mengaku si ibu yang miskin itu adalah ibunya. Maka sedih dan hiba hati si ibu. Seketika, hujan turun dengan lebat dan kilat sambar menyambar. Tetiba, Si Tanggang bertukar menjadi batu. Begitulah sedikit sebanyak tentang cerita Si Tanggang yang popular. Pun begitu, ia bukan idola. Si Tanggang adalah ikon anak derhaka!

Kenapa cerita Si Tanggang masih diulang-ulang? Masihkah relevan ceritanya di zaman sains dan teknologi ini? Ketika di luar waktu sibuk dan sempat menerawang di celah-celah kehidupan, rupa-rupanya Si Tanggang bukan termasuk di dalam spesies 'dinasour' yang sudah pupus. Dia ada di zaman dahulu kala dan masih ada di zaman yang serba digital ini...

Sketsa Pertama:
Seorang ibu yang sudah lanjut usia hidup sebatang kara. Sudahlah tidak mempunyai ramai anak, anak yang ada tidak sudi pulang ke rumah. Sejak berkahwin, anak lelaki kesayangannya berubah. Si anak menjadi jauh dan bersikap acuh tidak acuh. Si anak merasa tidak perlu bertegur sapa atau pulang menjenguk ibunya. Hidupkah si ibu? Sakitkah si ibu? Dia apa peduli. Si ibu tunduk sayu. Dalam suara yang bergetar si ibu menutur satu per satu,"Mak Cik sudah tidak berair mata.. Mak Cik cuma ingin membahagiakan hari tua ini dengan melupakan dan membuang jauh-jauh harapan dan kenangan tentang dia".

Sketsa Kedua:
Ketika si anak lelaki ini membesar di depan mata, dialah jadi pujaan kedua ibu bapa. Taat, bersopan dan menurut perintah. Si anak inilah yang ringan tulang membantu itu dan ini... si anak inilah yang manja, menjadi buah hati pengarang jantung... di tatang bagai permata. Masa berlalu, si anak sudah dewasa. Dari seorang kanak-kanak berhingus.. membesarlah dia menjadi gagah perkasa. Berjaya pula ke menara gading dan seterusnya menjawat pekerjaan yang mulia. Pun begitu, langit tidak selalu cerah. Harapan kedua ibu bapa yang dipertaruhkan kepada si anak di kala mereka tua, terhempas dan jatuh berkecai. Sebaik mendirikan rumah tangga, si anak sudah berubah. Si isteri menjadi raja di hati, lalu ibu bapa tersisih ke tepi. Pernah ibu bapa menangis hiba, "Apakah anak kami ingin menjadi anak derhaka? Takutkah pada isteri lalu menjadi dayus? Tahukah dia apa itu dayus? Lelaki dayus tidak mencium bau syurga, apatah lagi untuk masuk ke dalamnya?" Aduhai... menitis air mata satu persatu... Kejamnya si anak ini. Ibu bapanya tidak meminta emas atau permata. Ibu bapanya hanya menagih kasih dan hormat anak yang tidak seberapa. Kini, ibu bapa ini bukan sahaja 'kehilangan' anak kesayangan, menantupun tidak sudi untuk bersua muka dan usahlah bermimpi untuk merangkul sayang si cucu, kerana wajah si cucu hanya muncul di facebook!

Sketsa Ketiga:
Si anak lelaki lupa akan wujudnya si ibu yang sudah tua. Ketika susah, si anak datang meminta-minta. Jika, senang.. lupa dunia. Untuk ibu, segalanya serba sukar. Yang dekat menjadi jauh. Yang cepat, menjadi lambat. Si anak boleh bebas ke sana ke mari, berkelah, bercuti, berkenduri, berkelana .. cuma tidak boleh menjenguk si ibu yang tua lagi uzur; dan tidak pula ada masa untuk sekadar bertanya khabar. Sakitkah si ibu? Cukupkah nafkah si ibu? Si ibu diam memendam rasa... aduhai.. mempunyai anak ramai pun sunyi juga di kala tua.

Sketsa Keempat:
Dulu... kecil-kecil si anak sering kotor, comot dan berhingus. Pun begitu, rumah ibu bapanya adalah syurga dunia.... bahagia. Kini, ketika berkerjaya hebat dan bergaji tinggi, tiba-tiba rumah ibu bapa bertukar menjadi busuk, sempit, buruk dan kotor. Sesekali ada rasa untuk menjenguk ibu bapanya, bagaikan tetamu jauh yang tergesa-gesa untuk pulang. Tidak lagi sudi untuk bermalam di rumah ibu bapa atas serba alasan, lalu menyewa hotel berbintang-bintang. Si ibu melambai sayu anak, menantu dan cucu. Hiba... anak sendiri tidak lagi sudi untuk bermalam bersamanya. Tertanya-tanya juga pada sikap si anak. Jika rumah ibu bapa busuk, wangikanlah. Jika rumah ibu bapa sempit, luaskanlah. Jika buruk, cantikkanlah. Bukankah dia sudah berjaya dan kaya raya?


Entri ini aku tujukan khas untuk anak-anak lelakiku dan untuk pelajar-pelajar lelakiku.

Wahai anak-anak lelaki,
Ketahuilah olehmu bahawa kewajipanmu menjaga ibu bapa bukan seketika
Allah telah mewajibkan ke atasmu tanggungjawab itu sehingga engkau tidak bernafas lagi.. mati!
Ingatlah.. roda hidup sentiasa berputar..
Renunglah ke dalam dirimu, apakah ada calitan Si Tanggang pada sikapmu
Jika begitu.. apakah engkau mahu.. calitan yang serupa ada pada anak-anakmu?
Apakah engkau akan tersenyum bahagia kerana mempunyai anak-anak yang serupa denganmu?
Sungguh, amaran Allah Maha Benar .. bahawa biarpun bintang berjuta yang kau gapai
Syurgamu masih terperosok di telapak kaki yang hina milik ibu bapamu!!

Monday, 22 November 2010

Felda Residence Hotspring, Sungai Klah

Pada 9 dan 10 Nov lepas, kami telah ke Felda Hotspring Sungkai. Sesekali bekerja diluar kawasan, siang bersuka-sukaan, malam pula bekerja, dapatlah sikit sebanyak merungkaikan kekusutan kepala dengan kerja-kerja yang bertimbun di musim peperiksaan.

Tempat ini ternyata nyaman dan damai. Barangkali kerana di luar musim cuti. Jadi, tempat itu 'bagai ana yang punya'. Kata Encik N,"He..he.. terasa macam Sultan Brunei.. berenang dan dan bersantai di pulau seperti raja!".

Tempat ini istimewa kerana mempunyai kolam air suam, panas, dan sejuk. Tak jemu berenang-renang di dalam air Sulfur!

Gem 5 di kolam air suam

Gem 4 dan Gem 6 juga di kolam air suam
Masih di kolam air suam. Semakin nun ke hujung kolam, semakin panas airnya
Gem 7 tidak suka mandi di kolam air suam. Katanya,"It's too hot!". Mukanya muncung untuk ke kolam air sejuk...
Sekarang beliau ceria apabila kami semua berjalan menuju ke kolam air sejuk
"Please dont be angry at me!"
Penat berenang, perut terasa lapar. Gem 5 ke kedai membeli beberapa biji telur untuk direbus. Tempat ini suhu air ialah 100 darjah celcius!
Masing-masing menanti telur masak

Gem 1 pula cuba memasak telur
Kami menunggu
Selepas makan.. berenang pula di kolam air sejuk
Suasana sunyi kerana tiada penghuni lain
Hari makin gelap... kami masih berendam
Peace!
Sesekali , anak-anak menggelonsor turun ke kolam
Ini sebahagian daripada kolam air sejuk
Sesekali, lega rasanya belakang apabila diurut dengan pancutan air ini
Emm... seronoknya berendam di sini dengan suasana aman damai! Barangkali jika musim cuti.. keamanan ini sukar diperolehi kerana ramai pengunjung yang akan ke sini...

Friday, 12 November 2010

Konsert Nuh's Ark

Pada 5/11/10 yang lalu, seperti selalu tadika Gem 7 mengadakan konsert tahunan bertemakan binatang di Intekma Resort.

Majlis dimulakan dengan ucapan-ucapan... Sungguh tertarik dengan ucapan puan (?), penaung Nuh's Ark Montessori. Ucapannya ringkas, bermula dengan satu surah Al Quran (yang menceritakan tentang binatang) dan disudahi dengan sebuah Hadis. Indahnya ucapan yang membawa kepada Tuhan.. tiada bebelan yang meleret-leret!

Kemudian, diikuti dengan persembahan demi persembahan.

Gem 7 menanti untuk masuk ke dewan

Gem 7 sesudah persembahan

Gem 7 keletihan!

Tuesday, 26 October 2010

Peperiksaan

Sekarang minggu peperiksaan. Istilah peperiksaan seperti sebati dengan perjalanan hidup ini. Sudahlah dari kecil meniti peperiksaan demi peperiksaan, setelah bekerjapun masih diulit peperiksaan yang datang silih berganti. Aduhai peperiksaan... istilah keramat yang tersimpul seribu nostalgia.

Pernahkah membilang berapa peperiksaan penting yang telah dilalui? Bermula dengan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah, Sijil Rendah Pelajaran (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Peperiksaan Setiap Hujung Semester (Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana) dan kemudian Viva (PhD). Itu baru yang besar-besar, tidak lagi termasuk peperiksaan percubaan, ujian Bahasa Inggeris TOEFL dan IELTS, ujian bulanan, kuiz... bla... bla... Sungguh! hidup di dunia ini penuh dengan hambatan peperiksaan demi peperiksaan yang mengancam hidup dan masa depan ... huruf-huruf 'A', 'B', 'C', 'D', 'E' dan 'F' telah mengikat satu kasta ... yang dihujungnya ada implikasi sosial dan nilaian Ringgit Malaysia.

Peperiksaan yang silih berganti itu ada musim dan kala. Tanya azam dan kemahuan, bersiap sedialah seadanya. Putih hitam keputusan, ada di tangan sendiri. Tidak sama nasib si berusaha dengan nasib si alpa. Pun begitu, sudah fitrah dunia, status gagal atau berjaya, bukanlah kekal abadi. Ia boleh diulang dan diubah. Maka, implikasi sosial dan Ringgit Malaysia yang datang bersamanya, bukan hukuman atau balasan hakiki yang kekal untuk selamanya.

Namun, seseorang Muslim percaya bahawa ada lagi pembalasan gagal atau berjaya yang kekal abadi. Ia datang bersama perkiraan dosa dan pahala .. dihujungnya ada kasta Syurga atau Neraka dan ianya untuk selamanya. Untuk meraih kasta tersebut, peperiksaannya tiada format dan jangkaan. Itulah yang dinamakan dugaan atau ujian hidup. Berjayakah kita di sisi Tuhan?

Untuk kita yang sedang dan bakal menduduki peperiksaan / dugaan / ujian, didoakan semoga kejayaan di sisi Tuhan menanti kita. Mudah-mudahan kejayaan itu mencakupi segalanya yang baik - kasta sosial, Ringgit Malaysia dan kasta Syurga tertinggi. Amin.

Saturday, 23 October 2010

Gem 7 dan Rambutan

Gem 7 amat suka buah Rambutan. Baginya, buah Rambutan akan sentiasa ada dijual di pasar atau di tepi-tepi jalan. Apabila beliau teringin memakan Rambutan.. beliau hanya perlu berkata,"Mummy, I want Rambutan", maka sangkanya buah Rambutan akan terhidang di depan mata! Sudah berkali-kali diberitahu padanya, buah Rambutan buah bermusim, cuma sekali setahun. Cuma, jika ada rezeki, buah Rambutan dijual dalam jangka waktu yang agak panjang kerana masaknya tidak serentak di antara negeri-negeri. Tidak pasti, Gem 7 faham atau pura-pura tidak faham. Beliau akan meminta pada bila-bila masa beliau suka!

Pernah sekali, kami mencuba Gem 7 dengan buah Rambutan di dalam tin. Harapan kami, senanglah nanti apabila beliau merengek-rengek, buah Rambutan di dalam tin mudah didapati. Tapi, siang-siang lagi beliau berkata,"Mummy, when you want to buy Rambutan, please buy the fresh Rambutans, not the rambutans in tin". Aduhai.... tidak berjayalah nampaknya.

Meminta buah Rambutan ketika musimnya adalah permintaan biasa. Yang luar biasa, ialah apabila permintaan itu tidak bermasa dan bermusim! Maka, jika permintaan itu tidak bermasa dan bermusim, kami tidak ada daya upaya melainkan mengajarnya berdoa. "How?", tanya beliau. Kata kami,"Just say.. Oh Allah, please give me Rambutans. Amin". Dan beliaupun berdoa dengan penuh kusyuk. Sebentar kemudian, beliau akan berkata lagi,"Mummy, I want Rambutannnnnnn.."! Dan, setiap kali itu juga, ahli keluarganya akan berkata,"Pray to Allah". Sungguh! Doa anak kecil tidak berhijab dengan dosa. Allah ada di mana-mana untuk Mendengar permohonan hambaNya. Sehingga hari ini, setiap kali permintaan Gem 7 (yang tidak bermasa dan bermusim) untuk makan buah Rambutan telah dikabulkan Allah dengan cara yang tidak disangka-sangka akan tempat dan masanya. Dan, Gem 7, akan berkata,"Thank Allah.. Thank you Allah, You heard my wish! Alhamdullillah".

Kisah Gem 7 adalah kisah harian yang remeh. Pun begitu, ia mengetuk pintu hati, bahawa doa anak kecil tidak berhijab.. dibayar tunai di depan mata! Ya.. Allah hampirnya Engkau dengan hambamu sehingga Engkau Amat Mendengar keinginan yang tersurat dan tersirat. Ampunilah dosa-dosa kami. Mudah-mudahan, antara kami dan Engkau, tiada hijab dosa yang menghalang kebaikan di dunia dan di akhirat. Amin.

Ulang Tahun Gem 6

Pada malam 20.10.2010, kami semua 'berusaha' untuk menyempurnakan hajat Gem 6. Beliau inginkan hari lahirnya disambut dengan taburan belon-belon. Lalu, semua ahli keluarga termasuklah tetamu tunggal (abang Ajun) menunjukkan sedikit kreativiti! Apa-apapun, semangat kerjasama menjadikan persiapan selepas Mahgrib dapat diselesaikan dalam waktu yang singkat. Syabas semua....

Gem 5 diserahkan tugas tampal menampal
... dibantu oleh Gem 1
Gem 7 dengan bangganya menampal hasil karyanya
Gem 6 tersenyum melihat hasil karya adik-beradiknya (kecuali Gem 3 yang di asrama!)
Kek untuk 'Princess' pada 20.10.2010
Gem 4 dan Gem 6 sedang menghidang juadah ringkas. Ada dua kek, satu dari kedai, satu lagi dari 'dapuraulad.blogspot.com'!
Sketsa hidangan
Gem 6, si Puteri Kecil
Satu keluarga
Keempat-empat Gem

p/s: Auwwwwwww Ajunnnnnnnn......... silap haribulan!!!!!! bukan 10.10.10, 20.10.2010!!!!! Huwa.... huwa.... sudah suratan........

Tuesday, 19 October 2010

20.10.2010

Hari ini hari yang istimewa untuk Gem 6. Katanya,"Today.. please treat me as a princess!" Gem 6 memang selalu menganggap dirinya sebagai Little Princess. Agaknya, kerana kedudukannya di dalam keluarga sebagai puteri terkecil kami!

Selamat menyambut ulang tahun kelahiranmu, Puteri Kecil. Hari lahir yang ke 10 pada 20.10.2010. Angka yang istimewa untuk seseorang yang istimewa. Semoga di panjangkan usia dan diselamatkan dari segala bahaya, bala dan wabak. Semoga membesar sebagai anak yang solehah dan tergolong di kalangan manusia yang mendapat kebaikan dan kelebihan darjat di dunia dan di akhirat. Amin.

We LOVEEEEEEE YOU SOOOOOOOOOOOOOOOOOOO MUCH!