Tuesday, 6 December 2011

Secara Rasmi...

Hari ini secara rasminya pihak penerbit, Greenbirdsbook Publisher telah memulakan promosi buku sulungku. Antaranya berbunyi:

Welcome our New Author - Dr Nasiroh Omar

We are delighted to announce our collaboration with Dr Nasiroh with her forthcoming title,
'The Priceless Princess.' For all mothers who have ever written love notes to their children this book is a tribute for you guys. I often observe and collect little notes on life and general lessons I can pass onto my children, with the hope that when wisdom sets in, my ramblings begin to make sense!

 Dr Nasiroh has perfected her  notes and  presented them in a beautiful memoir fashion, to her
daughters by way of this book. Entitled, 'The Priceless Princess' this book will reach out to all those mothers facing the obstacles of raising Muslim daughters today in the West.

"It is a light-hearted, warm and embracing read which I will be using  in my own parenting expeditions! " - kata penerbitnya...

The Priceless Princess, set to be Published in May 2012.

Alhamdullillah... Alhamdullillah.... bersemangat untuk meneruskan buku seterusnya....

Wednesday, 30 November 2011

Cepatnya Masa Berlalu...

Cepat sungguh rasanya masa berlalu. Masih terbayang bagaimana kami menghantar Gem 3 ke asrama nun di utara. Memasuki sekolah baru ketika bulan April bukanlah masa yang baik. Bukan sahaja perlu menyesuaikan dengan keadaan yang baru, tetapi banyak perkara yang perlu diuruskan. Tambahan pula, untuk menjimat kan wang kerajaan, pihak sekolah diarah untuk mengarah semua pelajar asrama pulang setiap 2 minggu. Maka, ia kelihatan sukar bagi pelajar yang tinggal berjauhan dari sekolah. Tapi Gem 3 agak tabah. Maka pandailah beliau menaiki kapal terbang atau bas untuk pulang bersendirian.

Sudah tentu kaum kerabat di Penang banyak membantu kehidupan Gem 3 di sana. Terima kasih yang tidak terhingga untuk mereka.

Hari ini Gem 3 akan pulang bersama-sama dengan barangan yang banyak. Tamatlah sudah satu episod kehidupan. Kehidupan baru menanti di hadapan. Mudah-mudahan ia kehidupan yang lebih baik dan dirahmati Tuhan.

Tuesday, 29 November 2011

Satu Pengalaman Baru

Semalam, satu e-mail baru diterima dari Penerbit. Jangka waktu 8 jam berbeza dengan waktu tempatan menjadikan e-mail itu diterima pada waktu-waktu ganjil. Ia memang e-mail yang dinanti-nanti. Bersamanya, ada 4 fail yang disangkut, termasuk satu dokumen kontrak. Nampaknya tibalah masa untuk menelek-nelek kontrak yang bakal diikat untuk tempoh yang panjang - 20 tahun. Jikalah buku yang bakal diterbitkan ini dapat dimanfaatkan dan terlekat di dalam beberapa hati-hati, maka keinginan di awal Muharam itu (entri lepas), untuk mengaut pahala yang berterusan bagi ilmu yang dimanfaatkan akan menjadi kenyataan. Alhamdullillah.

Ada beberapa perkara yang diperlukan. Ada beberapa soalan yang perlu dijawab.  Ada kepingan gambar yang diminta. Ada coretan biografi yang perlu ditulis. Kata Gem 4 dan Gem 6, "Let us check everything before you submit!"  Tetiba terasa seperti ada pembantu-pembantu untuk urusan rasmi.. Sungguh... ia satu pengalaman baru yang sangat mengujakan!


Sunday, 27 November 2011

Buku Baru

Semalam 1 Muharam. Petanda satu lagi tahun kehidupan sudah berlalu. Barangkali kerana terlalu lama bergelumang dalam dunia komputer, maka hari 1 Muharam juga saya melihat dari perspekstif ini. Bayangkan, pada saat sebelum Maghrib untuk masuk ke 1 Muharam, seluruh umat manusia seolah-olah sedang menekan butang 'Send', untuk 'upload' seluruh amal pada tahun berkenaan ke sisi Allah. Maha Berkuasa Allah menguruskan urusan ini. Jika manusia, sudah lama, talian Internetnya tersentak-sentak dan 'jam'.

Maka selepas menekan butang 'Send' untuk menghantar buku lama, kita mendapat pula buku amalan yang baru. Entahlah apa yang sudah tertulis di buku lama. Mudahan-mudahan buku itu tidak comot dengan contengan dosa yang tidak terampun. Pada buku yang baru ini, apa yang perlu diperbuat? Sudah pasti, pada keinsafan yang ada, ingin sekali inginkan kandungannya hanya terisi amalan-amalan yang suci sahaja. Bagaimana?

Pada permulaan tahun ini, kita perlukan sistem tapisan persendirian yang lebih ketat. Mudah-mudahan, setiap kali ingin melakukan sesuatu, diri akan bertanya pada diri sendiri:

  • Apakah yang akan dilakukan ini satu dosa berat?
- Tidak sembahyang.
- Minum minuman keras.
- Memberi rasuah atau menerimanya.
- Terlibat dalam riba - renung semula semua urusan pinjam-meminjam. Tiada alasan untuk terlibat di dalam sistem riba kerana pilihan sistem perbankan Islam ada di mana-mana.
- Tutup aurat pada semua keadaan? Baju tidak jarang dan sendat dan ketat dan singkat?
- Hutang sudah dibayar?
Dan banyak lagi.... senaraikanlah!
Aduhai... banyaknya punca-punca dosa. Apakah aku terselamat daripadanya dalam buku amalan lama?

  • Apakah yang akan dilakukan ini akan mendatangkan pahala?
Hanya 3 benda yang pahalanya berterusan:
- amalan anak yang soleh
- ilmu yang kita beri dimanfaatkan
- sedekah yang dimanfaatkan berpanjangan
Barangkali, inilah perkara yang perlu dititikberatkan.

Oh Buku Amalku yang baru... mudah-mudahan ia tidak akan secomot Buku Lamaku!


Thursday, 24 November 2011

Ada Apa Pada Cita-Cita

Bagi pelajar-pelajar lepasan SPM, dari sekarang dan beberapa bulan ke hadapan ialah waktu untuk mengisi borang permohonan ke universiti. Jika sebelum ini tidak sempat untuk bercita-cita, maka sekarang masa yang WAJIB untuk memikir apakah yang diingini untuk masa hadapan. Adakah anda ingin menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya? Seorang doktor yang berjaya? Seorang ulama yang tersohor? Inilah  masanya untuk memikirkan segala.

Beberapa kali saya pernah bertanya pada anak-anak kecil dan remaja: Apakah cita-cita anda? Kebanyakannya menjawab sambil tersengih-sengih, "Tidak tahu?" Aduhai... barangkali mereka tidak tahu.. cita-cita itu amat perlu. Ia bukan sahaja untuk motivasi diri untuk mendapat kejayaan yang lebih baik, malah pada pendapat saya, ia adalah doa yang tersirat. dan Allah sentiasa mendengar apa yang tersirat itu. Lalu, biarpun usia sudah berensot tua, saya masih lagi bercita-cita! Kadangkala ianya luar biasa, tapi Allah makbulkan jua.

Pada awal tahun ini, saya sudah membisikkan di dalam doa-doa, luahan keinginan pada Allah - pada hajat yang sejuta. Di akhir tahun ini, saya menilai semula ... Ya Allah, banyaknya cita-cita yang Engkau kabulkan:
 - Keinginan untuk ke Greece.
- Keinginan untuk Ke Republic Czec - Prague.
- Keinginan untuk kembali ke London.
- Keinginan untuk memiliki Ipad, Galaxy Tab dan Komputer Netbook.
- Keinginan untuk melihat anak-anak berjaya.
- Keinginan untuk kekal sihat.
- Keinginan untuk mengekalkan kadar penulisan akademik.
- Keinginan untuk menulis buku impian (cita-cita hampir 20 tahun lepas!!!!).

Sudah tentu ada cita-cita yang tidak terkabul:
- Untuk haji - tidak masuk kouta. 
- Untuk geran penyelidikan tambahan yang gagal.
- Untuk naik pangkat yang gagal.
Pun begitu,rahmat Allah tidak datang hanya kerana kita berjaya. Kadang-kala, kegagalan membuka pilihan-pilihan lain yang lebih berharga.

Anak-anak,
Bercita-citalah.... Ia tidak memerlukan ringgit dan sen. Ia cuma sejuta pengharapan yang disertai dengan usaha seadanya. Allah Maha Membantu anda untuk ke arah itu! Percayalah dengan hati yang yakin: Jika Allah inginkan sesuatu, Dia hanya berfirman 'KUN!", maka JADILAH ia biarpun sesuatu itu luar biasa pada pandangan kita dan kadangkala tidak dapat diulas dengan logik akal!







Sunday, 20 November 2011

20.11.2011 - Hari Graduasi Gem 7

Tak perasan, rupanya tarikh hari ini juga cantik (sebab tengok entri waterlily!). Rupa-rupanya ada juga agenda istimewa untuk hari ini iaitu hari Graduasi untuk Gem 7 di Brainy Bunch Islamic Montessori. Maka dengan ini, tamatlah kisah-kisah tadika untuk kami sekeluarga. Tahun depan Gem 7 akan melangkah ke tahun 1. Alahai... ini petanda beliau semakin meninggalkan zaman 'baby'nya. Sudah tentu kami akan merindui zaman itu!

Hari ini juga Gem 7 tidak sihat - allergik. Beliau sentiasa terbatuk-batuk sepanjang majlis Graduasi tadi. Kesian...

Wednesday, 16 November 2011

Tahniah Gem 5

Hari ini Gem 5 menerima keputusan UPSRnya. Waktu menunggu di sekolah agak lama. Ada sahabat menyarankan kami menghantar SMS pada jam 10 pagi ke nombor tertentu untuk mendapat keputusan . Ada yang bernasib baik, hantaran SMSnya diterima dan mendapat balasan. Ada yang 'jam', tidak dapat keputusannya melainkan menanti ianya diberi secara tradisional. Kalau difikir-fikirkan urusan pendidikan sudah menjadi satu perniagaan. Dari buku rujukan, soalan ramalan, sehingga ke mendapatkan keputusan, ada saja unsur perniagaan. Bayangkan, jika beratus ribu menghantar SMS dengan kadar 20 sen! Ia duit yang datang sekelip mata.

Tapi kami orang tua tradisional. Tidak memilih untuk SMS, tetapi melangut dengan penuh debar di depan pentas sekolah. Satu-satu nama dipanggil. Nama Gem 5 yang bermula dengan huruf A tidak muncul-muncul. Saya melihat Gem 5 menunggu resah. Saya pula menjadi tenang pula. Kenapa? Sebabnya, ketika bertentang mata dengan guru kelasnya, beliau memberi isyarat tahniah. Jadi tidaklah berdebar-debar lama.

Apa pun kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak sekolah Seksyen 7 yang bertungkus lumus dari permulaan tahun. Kami cuma menghantar Gem 5 ke kelas tambahan yang disediakan oleh pihak sekolah sahaja. Tiada tuisyen tambahan dari swasta atau persendirian. Di awal tahun, agak sukar untuk menjangka keputusan ini. Beliau bermasalah. Tidak pernah mendapat A di dalam dua mata pelajaran utama - Kefahaman dan Karangan. Kami buntu untuk membantu. Guru bahasanya ternyata telah berjaya mengasah yang tumpul!

Tahniah ... Tahniah... Tahniah....