Wednesday, 3 October 2012

Suruhan atau Anutan?

Sejak beberapa minggu ini saya sering memikirkan tentang satu perkara yang agak merisaukan minda. Iaitu, adakah saya menganut Islam? Apakah Islam saya kerana suruhan atau sudah menjadi anutan? Dan saya yakin saya memang menganut Islam. Tetapi tidak perasan bilakah ia bermula. Kenapa? Kerana sebilangan kita menjadi Islam sebab ibu bapa kita berugama Islam. Ia turun temurun. Ia bermula dengan aktiviti suruhan. Sejak kecil, ibu bapa menyuruh anaknya menjadi Islam. Suruh ucap kalimah syahadah. Suruh solat. Suruh puasa. Itu suruhan rutin. Dan kita membesar bersama suruhan-suruhan itu. 

Kadang kala, ketika mengharungi dunia remaja, ketika tinggal di asrama dalam usia yang muda, ketika ibu bapa tiada di sisi menyuruh dan menyuruh, maka rutin untuk beribadat yang berdasarkan suruhan itupun hilang bersama hilangnya wajah garang ibu dan bapa. Tidak pasti bilakah saya menjadikan agama Islam sebagai agama anutan yang lahir dari jiwa sendiri. Bukan berugama kerana disuruh ibu bapa begitu. Sungguh, saya tidak pasti. Anda pula, bagaimana?

Lalu, ketika setiap pagi melaung-laung pada anak-anak supaya menyempurnakan solat Subuh, pertanyaan seperti  "Apakah anak-anak aku menganut Islam kerana disuruh?" terlekat di minda untuk difikirkan. Kenapa mereka perlu disuruh-suruh lagi? Bukankah sudah bertahun-tahun kami menjadikan solat itu rutin? Apakah yang akan terjadi sekiranya mereka berjauhan? Apakah mereka akan melaksanakan suruhan Tuhan dengan keinginan yang datang dari keinsafan sendiri? Takutnya untuk mencari jawapan.
 
Seperti saban semester saya akan menanyakan soalan cepu emas kepada pelajar-pelajar: Siapakah di antara anda yang dengan ikhlasnya dapat memberi jawapan, "Siapakah yang cukup sembahyang lima waktu?" Yang mengangkat tangan serta-merta sangat sedikit. Barangkali benarlah kata Dr Fadzillah Kamsah - hanya 20% umat Islam di Malaysia yang bersembahyang 5 waktu! Yang lain tersipu-sipu malu dengan alasan-alasan. Apakah ini contoh generasi yang Islam kerana suruhan dan bukannya anutan?

Bagaimana ... bagaimana... bagaimana... untuk membina generasi yang menganut Islam? Satu persoalan yang memerlukan pendekatan praktikal. Bukan teori. Teori ada di kedai buku. Ya Allah, mudah-mudahan Engkau menemukan kami dengan jawapan. Ya Allah, jadikanlah keturunan kami, keturunan yang menganut agama Islam, bukan hanya ikut-ikutan. Amiin.

Tuesday, 2 October 2012

"How to Train a Dragon?"

Minggu ini ialah minggu melatih. Melatih seorang anak bujang untuk membuat sesuatu yang berguna kerana banyak masa dihabiskan dengan perkara yang tidak mendatangkan hasil.

Uishhhh.... banyak cabarannya.

Pertama, menetapkan di dalam mindanya bahawa setiap tugasan ada tarikh tamat.

Kedua, menjadikan beliau bersungguh-sungguh menghabiskan tugasan. Sudah dua hari tanpa kemajuan langsung! Semalam, ada sedikit pembaharuan - 5%!

Ketiga, menanamkan rasa bahawa hampir tiada manusia berjaya dengan cemerlang pada percubaan pertama! Perlu ada semangat untuk berlatih dengan bersungguh-sungguh tanpa penat dan putus asa. Itu realiti kehidupan hari ini dan juga esok.

Adoiiiiiii..... 

Monday, 1 October 2012

Dari Puncak Ingin ke Angkasa



Sejak dari beberapa hari yang lepas, Gem 7 sangat menggemari lagu Gemuruh yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir. Barangkali, kerana lagu itu mempunyai rentak yang bertenaga. Kerana tidak tahu lirik, maka lagu yang didendangkan Gem 7 sangat membingitkan telinga. Semalam, kami melakukan sesuatu - mencari dari youtube lagu yang berlirik dan dipancarkan ke skrin dengan menggunakan projektor dan sistem bunyi yang agak baik. Sangatlah gembira Gem 7. 

Apabila dilihat kepada lirik lagu itu, saya pulak tertarik dengan rangkap: Gemuruh jiwa semangat membara, Dari puncak ingin ke angkasa, Berkalungkan bintang berkelipan, Menyerlah jauh dari yang biasa.... Liriknya menyatakan keinginan dan azam. Mudah-mudahan, ia menjadi satu doa yang sering dinyanyikan dengan harapan ia dimakbulkan Tuhan. Mudah-mudahan.

Bila bertalu rentak di kalbu
Hasrat yang tersirat semakin ku buru
Bila bergema laungan gempita
Harapan bernyala nadiku berganda

Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Bila bertalu rentak di kalbu
Hasrat yang tersirat semakin ku buru
Bila bergema laungan gempita
Harapan bernyala nadiku berganda

Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Ungkapan ini bukan sekadar bermimpi
Segalanya pastikan terbukti nanti


Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Lagu:  Gemuruh (Faizal Tahir)

Sunday, 30 September 2012

Jika itu yang Tersurat

Ketika bermalas-malasan hari ini, tiba-tiba Gem 1 menunjukkan satu SMS yang diterimanya. Biarpun kandungan SMS itu membawa khabar negatif, tidak mengapalah.  Kerana kita hanya merancang. Dan Allah adalah Perancang yang Muktamad. Pasti ada hikmah yang tersurat. Tahun depan usaha lagi!

Dulu-dulu, ketika menginginkan sesuatu, pasti keinginan itu dinyatakan secara spesifik. Contohnya, "Ya Allah, makbulkanlah doaku untuk bercuti ke tempat X". Bila tiba masanya doa dimakbulkan Tuhan, tetapi demam pula. Sudah tentu ia bukan percutian yang terbaik. Kerana terlalu inginkan sesuatu, kita sering lupa bahawa sesuatu keadaan itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain yang kita terlepas pandang. Sedangkan faktor-faktor tersebut penyumbang kepada sesuatu kegembiraan yang hakiki.

Sekarang, doa lebih kepada keinginan kepada sesuatu yang berkeadaan terbaik. Contohnya, "Ya Allah, mudahkanlah  kami untuk ke destinasi X, dan pilihlah kami untuk menyertai perjalanan yang terbaik". Maka, jika keinginan tidak terlaksana, hati mudah menjadi redha. Kenapa? Kerana mungkin perjalanan kali ini tidak sesuai untuk kami. Dan Allah lebih mengetahui faktor-faktor lain yang mempengaruhi perjalanan yang dinanti. Faktor-faktor yang memungkinkan kami tidak menjadi antara yang terpilih dan terbaik!

Lalu, hati menjadi tenang. Jika itu yang tersurat, redha!

Wednesday, 26 September 2012

Meniti Alaf digital

Hari-hari, meniti kehidupan di Alaf Digital, apakah kita bersyukur? Banyak perkara di dalam kehidupan harian yang berorientasikan teknologi komputer, komunikasi dan maklumat telah meletakkan umat Nabi Muhammad SAW di akhir zaman seperti kita, berada di posisi yang lebih mengerti tentang rahsia-rahsia kejadian Tuhan.

Contohnya, perjalanan Nabi Muhammad ketika Israk dan Mikraj, nampak sangat ghaib dan ajaib yang tidak ada sandaran logik, jika dilihat dari perspektif kehidupan di Zaman Batu. Hanya orang yang benar-benar beriman kepada setiap patah kata Nabi dan Allah sahaja yang akan menerimanya. Bagi yang lain, pasti memikirkan alasan logik bersandarkan akal, yang akhirnya akan berkata semua cerita itu dusta belaka.

Sedangkan, bagi kita yang berada di Alaf Digital, yang mampu menyaksikan segala jenis kenderaan, dari kereta yang menjalar di jalan raya sehingga ke roket yang membelah angkasa, maka kejadian Israk dan Mikraj dapat disandar kepada hujah logik. Jika manusia yang lemah akal dan kekuatan, dapat menghasilkan roket ke angkasa, apatah lagi Allah yang Maha Berkuasa. Tentu Dia Maha Mampu melakukan segala jenis perjalanan, sekalipun sehingga langit yang ke tujuh.

Satu analogi, jika seekor semut memberitahu seekor semut yang lain, bahawa dia sudah sampai ke London. Maka, apakah semut yang lain itu akan percaya? Dalam dunia semut, mana mungkin seekor semut dapat merentas negara, lautan dan benua. mati hidup balikpun tidak percaya. Tetapi, jika dilihat dari perspektif manusia, kisah semut ke London, bukan pelik. Sang semut ke London kerana tersesat di dalam sebuah beg tangan seorang manusia yang bertolak ke London dengan kapal terbang. Seekor semut mampu ke sana sambil merentasi negara, lautan dan benua. Begitulah dengan perjalanan Israk dan Mikraj, ia ada alasan logiknya jika dianalisa di luar kepompong kemampuan manusia.

Meniti kehidupan di Alaf Digital, kita dapat membuat analisa kelemahan ciptaan manusia berbanding Kehebatan Ciptaan Allah. Maklumat ada dihujung jari untuk meneroka tanda-tanda Kebesaran Allah. Sesuatu yang tidak mungkin dinikmati oleh umat di zaman-zaman yang terdahulu. Nikmat Tuhan manakah yang telah kita dustakan?


Monday, 24 September 2012

Tersentuh

Entri ini berkisar tentang buku "A Priceless Princess". Objektif asal penulisan ialah keinginan untuk memecah kelemahan sendiri, iaitu menulis. Menulis bukan mudah untuk sesetengah orang. Dan saya termasuk di dalam golongan itu. Barangkali bosan menjadi murid tercorot, menulis menjadi impian yang terpendam. Lama ia terpendam. Tidak nampak jalan.

Barangkali, hikmah terbesar terpaksa menulis semula satu thesis PhD untuk dilihat dari sudut yang berbeza, telah membawa saya ke satu dimensi baru. Ia satu pengalaman yang sepatutnya sangat pedih, tapi dilalui dengan semangat "bahawa aku perlu lulus, jika tidak seumur hidup aku akan corot". Dan Dr. Boriana dari Bolivia mengajar saya erti sabar dan menulis satu persatu. Betapa intensif sesi saya bersamanya, hanya Tuhan yang tahu. Bergandingan dari bahu ke bahu menatap skrin komputer yang satu. Ia satu pengalaman yang tidak akan dilupakan selagi hayat masih ada.

Dari situ, keinginan untuk menulis berterusan. Lalu, dalam diam-diam, saya mulakan dengan menulis blog. Blog pertama hanya ada susunan gambar. Diselangi sebaris dua ayat yang menceritakan kenangan gambar-gambar itu. Ia satu entri yang saya rasakan sangat buruk. Terus blog itu dipadam.

Selang beberapa minggu. menulis lagi. Kali ini, agak lebih tersusun. Dua tiga hari kemudian, saya mendapat komen dari pembaca maya nun jauh di Jepun. Katanya, saya tertarik dengan cara penceritaan anda. Dia tidak tahu dan tidak mungkin tahu, bahawa kata-katanya yang seringkas itu telah menaikkan tahap keyakinan - "ya saya boleh menulis". Dan bermulalah penulisan entri-entri seterusnya. Terhegeh-hegeh menulis. Sukarnya apabila lemah berbahasa.

Kini, "A Priceless Princess telah 3 bulan di pasaran". Saya hanya ada beberapa salinan terhad atas ihsan kiriman Nurazian, rakan sekerja yang berada di Glasgow. Lalu, salinan yang ada itu saya berikan kepada ketiga-tiga anak perempuan saya. Itulah objektif yang pertama. Satu koleksi nota cinta dari seorang ibu yang akan mengekori anak-anaknya ke mana-mana.

Apakah objektif kedua? Objektif kedua muncul selepas membaca di dalam satu ruangan soal jawab agama. Tanya seorang pemuda yang lebih kurang begini bunyinya "Jika Al-Quran dikatakan sesuai untuk sepanjang zaman, kenapa tidak ada disebut gajet-gajet terkini di dalamnya? Bagaimana saya ingin berhujah bahawa al-Quran sesuai untuk semua zaman kepada rakan-rakan bukan beragama Islam?". Tiba-tiba saya terkenang satu entri spontan Pangkalan Data: Antara Tanda-Tanda. Ia bagaikan satu entri yang memanggil-manggil bahawa saya harus menulis tentangnya. Ia sesuai dengan generasi yang lebih mengenali komputer dan alatan eletronik daripada organ badan sendiri! Maka, "A Priceless Princess" adalah langkah permulaan ke arah menjawab persoalan generasi Alaf Digital tentang al-Quran dan kehebatan Tuhannya. Mampukah? Ilham milik Tuhan. Mudah-mudahan ada jalan dan kemudahan.

Apakah objektif ketiga? Objektif ketiga ialah ingin sangat menyentuh hati-hati. Lalu, satu salinan "A Priceless Princes" saya tawarkan pada yang hampir untuk digilir membacanya. Itupun pada yang sudi. Pembaca pertama, berusia 65 tahun. Ketika ingin memulangkan buku itu kembali, tanyanya mengharap, bolehkah dia dapatkan untuk diberi pada anak-anak perempuannya? Katanya, buku kecil itu seperti berbicara dengannya dan menyentuh di hati. Pembaca kedua, baru sekitar 8 atau 9 tahun. Kata ibunya, anaknya suka dengan buku itu dan ingin memilikinya. Pada saat itu, hati saya sangat tersentuh. Ya Allah, jika buku kecil itu tidak mampu menyentuh hati beribu manusia, ia sudah cukup jika dapat menyentuh beberapa hati. Untuk manusia seperti saya yang tidak pandai berbahasa, ia satu pencapaian objektif yang tidak diduga. Alhamdullillah.

Untuk rakan maya di luar sana, jika ada sejuta  impian, impikanlah hari ini. Tidak tahu bilakah Tuhan akan makbulkan, mungkin bertahun, berbulan, berminggu, berhari, berjam, berminit atau bersaat. Allah Maha Mendengar!



Sunday, 23 September 2012

Siri Kenangan: Sehari di Safari Birmingham

Masih berkisar album lama. Dulu tidak sempat merakamkan.