Tuesday, 16 October 2012

100% Tidak Berjaya

Pada lewat petang 16/10/2012, ada dua perkhabaran gembira yang betul-betul tidak disangka. Ia hasil kegagalan mendapatkan sesuatu tetapi akhirnya diterima semula melalui mekanisma berbeza.

Lalu, benarlah kata Encik Mus (orang kuat geran dan penyelidikan), "Jika tidak menghantar permohonan, confirm 100% gagal. Jika hantar, sekurang-kurangnya ada peratus harapan untuk berjaya".

Moralnya, mencuba sesuatu sekurang-kurangnya ada harapan untuk berjaya. Berbanding dengan tidak langsung mahu mencuba dan berusaha = 100% Tidak Berjaya!

Friday, 12 October 2012

Tidak Terasa

Tidak terasa minggu ini berlalu dengan pantas. Banyak kerja-kerja bersilangan:
  • Meneliti dua kertas kerja anak-anak buah untuk final upload
  • Membantu dan menyemak dua permohonan geran
  • Menyelia penghantaran soalan-soalan akhir
  • Mengadakan perbincangan-perbincangan dengan 4 pelajar PhD dan 2 projek sarjana muda
  • Menyediakan solan ujian dan skema untuk ujian esok
Sedar-sedar hari Jumaat sudah hampir berlalu kerana suasana di luar makin kelam. Letih .. tapi tetap bersyukur Alhamdullillah... objektif minggu ini tercapai. Allah telah memudahkan urusan.

Kerana otak dan mata penat.. maka projek X dan projek Y sangat tergendala. Semalam Gem 4 talipon. Katanya, "Mummy.. I'm busy. I'll do your work during Hari Raya Haji". Adoiiiiii........ Nampaknya tarikh projek tamat tertunda-tunda.


Wednesday, 10 October 2012

Berat Sama di Jinjing

Salah satu perkara yang selalu hendak dielakkan ialah apabila perlu mengendalikan sesuatu kerja yang memerlukan saya perlu meminta-minta. Namun, tidak dapat lari. Telah dua hari bertungkus lumus menyiapkan satu tugasan secara berkumpulan. Hari ini ia diselesaikan.  Walaupun tidak sempurna seperti yang diharapkan, ia menggembirakan ahli-ahli yang terlibat. Seolah-olah misi sudah berjaya. Saya kira begitu. Ahli-ahli kumpulan bekerja secara berpasukan. Tidak ada kira-mengira. Kami masih ketawa walau tertekan dengan keadaan. 

Terima kasih rakan-rakan sekumpulan dan rakan-rakan sekerja. Syukur Alhamdullillah.

Monday, 8 October 2012

GPS: Antara Tanda-Tanda

Barangkali saat ini, keinginan saya yang paling bergejolak ialah mencari tanda-tanda Kehebatan Ilahi melalui perspektif umat yang hidup di Alaf Digital. Alaf Digital - alaf yang menjadikan manusia hidup sangat berorientasikan komputer, maklumat dan komunikasi. Ada banyak ketika, hati kecil berdoa, Ya Allah, tunjukkan aku. Mudah-mudahan aku mampu merenung KehebatanMu melalui duniaku hari ini. Kerana saya sangat percaya bahawa keajaiban hidup di alaf ini mampu merungkai seribu rahsia.

Minggu lepas, di dalam kesibukan urusan kerja harian, tiba-tiba ada rakan sekerja mengajak, "Jom kita pi dengar taklimat geran". Secara spontan, kami pergi. Walaupun sudah biasa ke tempat berkenaan, kami sering tersasar tempat. Kali ini, rakan yang memandu amat yakin akan sampai ke tempat tujuan dengan cepat. Beliau ada GPS. Benarlah kata beliau, kami sampai seperti yang dijangka.

Bila pulang, kami masih dibantu oleh GPS. Ketika GPS mengarah kami mengambil satu simpang, kami pula engkar dan pilih simpang yang lain. Berkali-kali GPS memberi arahan untuk berpatah balik. Dan kami tidak peduli. Tiba-tiba bateri talipon habis. Habislah juga bantuan GPS.

Ketika rakan-rakan berbincang tentang arah yang perlu diambil, apa yang mampu saya katakan ialah "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar", berulang-ulang kali. Pada saat itu saya berkata di dalam hati, Ya Allah.. di sebalik GPS ada tanda-tanda KebesaranMU. Bagaimana?

Lalu, saya melewati kehidupan lampau. Sesekali apabila memegang al-Quran dan membaca terjemahannya, hati menimbulkan banyak persoalan. Kenapa Allah sering menyatakan sebahagian besar manusia akan menghuni neraka? Jika begitu, tidak perlulah kita bersusah payah menjadi baik. Bukankah segalanya sudah tersurat? Dan saya menjadi sangat keliru tentang semua orang Islam wajib percaya bahawa Allah memberi kita pilihan untuk memilih jalan. Jalan ke syurga atau ke neraka. Sungguh, saya tidak memahami.

Dan alat GPS  sangat-sangat membantu untuk memahami kekeliruan itu. Benar. Ia memang benar bahawa Allah tahu segolongan besar manusia akan ke neraka. Kenapa? Kerana Allah mempunyai fakta tentang perlakuan dan pergerakan kita yang tercatit dari masa ke semasa. Allah Maha Mengetahui seluruh peta perjalanan makhluknya dari alam ruh ke alam akhirat. Peta yang memiliki segala bentuk persimpangan. Allah yang sentiasa memerhatikan kita Maha Mengetahui jalan manakah yang kita akan pilih. Maka, Dia Maha Mengetahui apakah kita akan sampai ke destinasi syurga atau neraka akhirnya. Sungguh, Allah memiliki GPS Maha Canggih yang meneliti perjalanan keseluruhan hidup kita! Apakah Allah memaksa kita menurut hanya satu jalan? Jawapannya tidak sama sekali. Kita bebas memilih simpang. Simpang manakah yang kita akan ikuti? Dan Allah Memerhati.

Seperti biasa, apabila hati melihat tanda-tanda Kebesaran Allah, saya akan bertanya-tanya di dalam hati, apakah ada ayat al-Quran yang bercerita tentang GPS? Al-Quran tidak menyebut tentang GPS. Tetapi ayat memohon bantuan GPS Allah kita baca setiap hari - SEKURANG-KURANGNYA 17 KALI SEHARI, PADA 5 WAKTU YANG BERBEZA. Kita memohon GPS Allah menunjukkan jalan yang lurus ke Syurga Firdaus. Bukan tersesat ke neraka Jahannam! Apa ayatnya????


Surah Al-Fatiha
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (1)
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (2) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. (3) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (4) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). (5) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (6) Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7) 




Wednesday, 3 October 2012

Suruhan atau Anutan?

Sejak beberapa minggu ini saya sering memikirkan tentang satu perkara yang agak merisaukan minda. Iaitu, adakah saya menganut Islam? Apakah Islam saya kerana suruhan atau sudah menjadi anutan? Dan saya yakin saya memang menganut Islam. Tetapi tidak perasan bilakah ia bermula. Kenapa? Kerana sebilangan kita menjadi Islam sebab ibu bapa kita berugama Islam. Ia turun temurun. Ia bermula dengan aktiviti suruhan. Sejak kecil, ibu bapa menyuruh anaknya menjadi Islam. Suruh ucap kalimah syahadah. Suruh solat. Suruh puasa. Itu suruhan rutin. Dan kita membesar bersama suruhan-suruhan itu. 

Kadang kala, ketika mengharungi dunia remaja, ketika tinggal di asrama dalam usia yang muda, ketika ibu bapa tiada di sisi menyuruh dan menyuruh, maka rutin untuk beribadat yang berdasarkan suruhan itupun hilang bersama hilangnya wajah garang ibu dan bapa. Tidak pasti bilakah saya menjadikan agama Islam sebagai agama anutan yang lahir dari jiwa sendiri. Bukan berugama kerana disuruh ibu bapa begitu. Sungguh, saya tidak pasti. Anda pula, bagaimana?

Lalu, ketika setiap pagi melaung-laung pada anak-anak supaya menyempurnakan solat Subuh, pertanyaan seperti  "Apakah anak-anak aku menganut Islam kerana disuruh?" terlekat di minda untuk difikirkan. Kenapa mereka perlu disuruh-suruh lagi? Bukankah sudah bertahun-tahun kami menjadikan solat itu rutin? Apakah yang akan terjadi sekiranya mereka berjauhan? Apakah mereka akan melaksanakan suruhan Tuhan dengan keinginan yang datang dari keinsafan sendiri? Takutnya untuk mencari jawapan.
 
Seperti saban semester saya akan menanyakan soalan cepu emas kepada pelajar-pelajar: Siapakah di antara anda yang dengan ikhlasnya dapat memberi jawapan, "Siapakah yang cukup sembahyang lima waktu?" Yang mengangkat tangan serta-merta sangat sedikit. Barangkali benarlah kata Dr Fadzillah Kamsah - hanya 20% umat Islam di Malaysia yang bersembahyang 5 waktu! Yang lain tersipu-sipu malu dengan alasan-alasan. Apakah ini contoh generasi yang Islam kerana suruhan dan bukannya anutan?

Bagaimana ... bagaimana... bagaimana... untuk membina generasi yang menganut Islam? Satu persoalan yang memerlukan pendekatan praktikal. Bukan teori. Teori ada di kedai buku. Ya Allah, mudah-mudahan Engkau menemukan kami dengan jawapan. Ya Allah, jadikanlah keturunan kami, keturunan yang menganut agama Islam, bukan hanya ikut-ikutan. Amiin.

Tuesday, 2 October 2012

"How to Train a Dragon?"

Minggu ini ialah minggu melatih. Melatih seorang anak bujang untuk membuat sesuatu yang berguna kerana banyak masa dihabiskan dengan perkara yang tidak mendatangkan hasil.

Uishhhh.... banyak cabarannya.

Pertama, menetapkan di dalam mindanya bahawa setiap tugasan ada tarikh tamat.

Kedua, menjadikan beliau bersungguh-sungguh menghabiskan tugasan. Sudah dua hari tanpa kemajuan langsung! Semalam, ada sedikit pembaharuan - 5%!

Ketiga, menanamkan rasa bahawa hampir tiada manusia berjaya dengan cemerlang pada percubaan pertama! Perlu ada semangat untuk berlatih dengan bersungguh-sungguh tanpa penat dan putus asa. Itu realiti kehidupan hari ini dan juga esok.

Adoiiiiiii..... 

Monday, 1 October 2012

Dari Puncak Ingin ke Angkasa



Sejak dari beberapa hari yang lepas, Gem 7 sangat menggemari lagu Gemuruh yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir. Barangkali, kerana lagu itu mempunyai rentak yang bertenaga. Kerana tidak tahu lirik, maka lagu yang didendangkan Gem 7 sangat membingitkan telinga. Semalam, kami melakukan sesuatu - mencari dari youtube lagu yang berlirik dan dipancarkan ke skrin dengan menggunakan projektor dan sistem bunyi yang agak baik. Sangatlah gembira Gem 7. 

Apabila dilihat kepada lirik lagu itu, saya pulak tertarik dengan rangkap: Gemuruh jiwa semangat membara, Dari puncak ingin ke angkasa, Berkalungkan bintang berkelipan, Menyerlah jauh dari yang biasa.... Liriknya menyatakan keinginan dan azam. Mudah-mudahan, ia menjadi satu doa yang sering dinyanyikan dengan harapan ia dimakbulkan Tuhan. Mudah-mudahan.

Bila bertalu rentak di kalbu
Hasrat yang tersirat semakin ku buru
Bila bergema laungan gempita
Harapan bernyala nadiku berganda

Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Bila bertalu rentak di kalbu
Hasrat yang tersirat semakin ku buru
Bila bergema laungan gempita
Harapan bernyala nadiku berganda

Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Ungkapan ini bukan sekadar bermimpi
Segalanya pastikan terbukti nanti


Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Lagu:  Gemuruh (Faizal Tahir)