Wednesday, 7 November 2012

Di Awan Biru

Pada 5.11.2012 perlu menghadirkan diri ke Dungun. Pemberitahuan saat-saat akhir. Sudah tentu ia pemergian yang tidak dirancang. Mujurlah ada rakan sekerja yang akan pergi bersama. Kepenatan perjalanan raya yang melebihi 24 jam  masih terasa! Jadi, kami mengambil keputusan untuk balik hari. Jika balik hari, perlu pengangkutan udara. Alahai...   Kenapa? Kerana biarpun sudah berkali-kali terbang merentasi negari, negara, lautan dan benua, saya adalah seorang yang tidak suka pengangkutan udara!  Malah, dua minggu lepas saya tidak menyertai rombongan kerja ke London kerana sebahagian alasannya ialah malas untuk terbang! Ha..ha..ha...

Maka, pada hari Isnin lepas, pagi-pagi lagi sudah berdebar. Ahh.... mudah-mudahan cuaca baik. Jika, cuaca baik, perjalanan akan lancar. Mata asyik memandang ke langit. Akhirnya, saat untuk terbang tiba. Duduk di tepi tingkap. Alhamdullillah, cuaca cerah. Lalu, ketika berada di ruang angkasa, tampaklah lapisan-lapisan awan yang sangat tersusun dan cantik. Perjalanan selama 50 minit tidak terasa kerana menikmati pandangan luaran ciptaan Tuhan yang sangat damai . Awan berkepol-kepol terapung, tidak digantung. Lihatlah berkali-kali. Lihatlah berkali-kali. Teringat Surah Al-Mulk. Sudah tentu tidak ada kecacatan yang ditemui.

Di awan biru, yang tidak disukai itu, rupa-rupanya aku temui saat sangat eklusif memuji-muji Tuhanku.

Tuesday, 30 October 2012

Lebih 24 Jam!

Pada 28.10.2012 yang lepas, kami bertolak dari rumah Tok (Kedah) menuju ke Kelantan untuk menghantar Gem 4. Dari Kelantan, kami menuju ke Shah Alam. Sepanjang perjalanan, kenderaan bergerak sangat perlahan. Hajat untuk bersantai-santai tidak menjadi. Malah terperangkap di dalam kesesakan yang teruk. Bukan tidak pernah bersesak. Tetapi bersesak tanpa lebuh raya menjadi sangat siksa. Keadaannya seperti yang pernah kami alami 20 tahun yang lampau!!!! Tidak ada kawasan rehat yang luas dan bersih menjadikan masjid sebagai sasaran. Kebanyakan masjid pula tidak terurus tandasnya. Aduhai.....

Pertama kali meredah kesesakan sudah terasa peritnya. Bagaimanalah mereka yang bertahun-tahun mengalami perjalanan yang sama. Benarlah kasih sayang yang ada menggunung untuk bertemu keluarga tersayang. Jika tanpa alasan, siapalah yang sanggup mengharungi keadaan sedemikian rupa.

Tidak pasti berapa gunung sumpahan pengguna jalan yang mengharapkan kepada keadaan yang lebih baik. Siapakah yang terkena sumpahan itu? Tidak tahu. Sudah 55 tahun negaraku merdeka, kenapa masih jadi begini??????

Perjalanan pertama dari Shah Alam - ke Perak (ambil Gem 3) - ke Kelantan (ambil Gem 4) - ke Kedah (rumah Tok) = Lebih 19 jam.

Perjalanan kedua dari  Kedah (rumah Tok)  - ke Kelantan (hantar Gem 4) - ke Shah Alam  = Lebih 24 jam! *** Itupun Gem 3 telah dipos bersama Ajun untuk ke Perak. Jika tidak, sudah tentu tidak sempat ke kuliah....

Hari Isnin terpaksa ambil cuti tambahan. Sakit seluruh sendi... hu..hu..hu...

Sunday, 21 October 2012

Ulang Tahun ke 12

Pada 20.10.12 yang lepas, Gem 6 menyambut Hari Lahir yang ke 12. Gem 6 sangat teruja kerana tahun ini beliau akan memiliki sekeping kad pengenalan. 

Hari ini cuba membelek-belek koleksi gambar yang sedikit... Mudah-mudahan sketsa entri kali ini menjadi kenangan yang berharga buat Gem 6.  Pada usia yang sangat muda, hidupnya dipenuhi dengan warna-warni. Moga Allah permudahkan seluruh kehidupan dunia menuju ke Syurga Firdaus. Mudah-mudahan, kehidupan di masa hadapan juga dipenuhi warna-warni kebahagiaan.

 Di Venice
 Di Colloseum, Rome
 Di Menara Condong Pisa, Itali
 Di depan rumah pertama, Central Avenue
 Di Eiffel Tower, Paris
 Di Disney World, Paris
 Di ?
 Di Cannes, Peranchis (Filem Festival)
 Di 83, Central Avenue
 Di Padang Wollaton
 Di London Eye
 Di 83 Central Avenue
 Di Kampus University of Nottingham
 Di Lands End
 Di Peak District
 Di 83, Central Avenue
 Di Edinburgh
 Di 71, Burford Road
 Di Greenich
 Di Peak Districk
 Di Forest Field (Kata Gem 6 - ini gambar favourite!
 Di Forest Field - Musim Luruh yang sangat cantik
 Di 71, Burford Road
 Di rumah Tok!

Tuesday, 16 October 2012

100% Tidak Berjaya

Pada lewat petang 16/10/2012, ada dua perkhabaran gembira yang betul-betul tidak disangka. Ia hasil kegagalan mendapatkan sesuatu tetapi akhirnya diterima semula melalui mekanisma berbeza.

Lalu, benarlah kata Encik Mus (orang kuat geran dan penyelidikan), "Jika tidak menghantar permohonan, confirm 100% gagal. Jika hantar, sekurang-kurangnya ada peratus harapan untuk berjaya".

Moralnya, mencuba sesuatu sekurang-kurangnya ada harapan untuk berjaya. Berbanding dengan tidak langsung mahu mencuba dan berusaha = 100% Tidak Berjaya!

Friday, 12 October 2012

Tidak Terasa

Tidak terasa minggu ini berlalu dengan pantas. Banyak kerja-kerja bersilangan:
  • Meneliti dua kertas kerja anak-anak buah untuk final upload
  • Membantu dan menyemak dua permohonan geran
  • Menyelia penghantaran soalan-soalan akhir
  • Mengadakan perbincangan-perbincangan dengan 4 pelajar PhD dan 2 projek sarjana muda
  • Menyediakan solan ujian dan skema untuk ujian esok
Sedar-sedar hari Jumaat sudah hampir berlalu kerana suasana di luar makin kelam. Letih .. tapi tetap bersyukur Alhamdullillah... objektif minggu ini tercapai. Allah telah memudahkan urusan.

Kerana otak dan mata penat.. maka projek X dan projek Y sangat tergendala. Semalam Gem 4 talipon. Katanya, "Mummy.. I'm busy. I'll do your work during Hari Raya Haji". Adoiiiiii........ Nampaknya tarikh projek tamat tertunda-tunda.


Wednesday, 10 October 2012

Berat Sama di Jinjing

Salah satu perkara yang selalu hendak dielakkan ialah apabila perlu mengendalikan sesuatu kerja yang memerlukan saya perlu meminta-minta. Namun, tidak dapat lari. Telah dua hari bertungkus lumus menyiapkan satu tugasan secara berkumpulan. Hari ini ia diselesaikan.  Walaupun tidak sempurna seperti yang diharapkan, ia menggembirakan ahli-ahli yang terlibat. Seolah-olah misi sudah berjaya. Saya kira begitu. Ahli-ahli kumpulan bekerja secara berpasukan. Tidak ada kira-mengira. Kami masih ketawa walau tertekan dengan keadaan. 

Terima kasih rakan-rakan sekumpulan dan rakan-rakan sekerja. Syukur Alhamdullillah.

Monday, 8 October 2012

GPS: Antara Tanda-Tanda

Barangkali saat ini, keinginan saya yang paling bergejolak ialah mencari tanda-tanda Kehebatan Ilahi melalui perspektif umat yang hidup di Alaf Digital. Alaf Digital - alaf yang menjadikan manusia hidup sangat berorientasikan komputer, maklumat dan komunikasi. Ada banyak ketika, hati kecil berdoa, Ya Allah, tunjukkan aku. Mudah-mudahan aku mampu merenung KehebatanMu melalui duniaku hari ini. Kerana saya sangat percaya bahawa keajaiban hidup di alaf ini mampu merungkai seribu rahsia.

Minggu lepas, di dalam kesibukan urusan kerja harian, tiba-tiba ada rakan sekerja mengajak, "Jom kita pi dengar taklimat geran". Secara spontan, kami pergi. Walaupun sudah biasa ke tempat berkenaan, kami sering tersasar tempat. Kali ini, rakan yang memandu amat yakin akan sampai ke tempat tujuan dengan cepat. Beliau ada GPS. Benarlah kata beliau, kami sampai seperti yang dijangka.

Bila pulang, kami masih dibantu oleh GPS. Ketika GPS mengarah kami mengambil satu simpang, kami pula engkar dan pilih simpang yang lain. Berkali-kali GPS memberi arahan untuk berpatah balik. Dan kami tidak peduli. Tiba-tiba bateri talipon habis. Habislah juga bantuan GPS.

Ketika rakan-rakan berbincang tentang arah yang perlu diambil, apa yang mampu saya katakan ialah "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar", berulang-ulang kali. Pada saat itu saya berkata di dalam hati, Ya Allah.. di sebalik GPS ada tanda-tanda KebesaranMU. Bagaimana?

Lalu, saya melewati kehidupan lampau. Sesekali apabila memegang al-Quran dan membaca terjemahannya, hati menimbulkan banyak persoalan. Kenapa Allah sering menyatakan sebahagian besar manusia akan menghuni neraka? Jika begitu, tidak perlulah kita bersusah payah menjadi baik. Bukankah segalanya sudah tersurat? Dan saya menjadi sangat keliru tentang semua orang Islam wajib percaya bahawa Allah memberi kita pilihan untuk memilih jalan. Jalan ke syurga atau ke neraka. Sungguh, saya tidak memahami.

Dan alat GPS  sangat-sangat membantu untuk memahami kekeliruan itu. Benar. Ia memang benar bahawa Allah tahu segolongan besar manusia akan ke neraka. Kenapa? Kerana Allah mempunyai fakta tentang perlakuan dan pergerakan kita yang tercatit dari masa ke semasa. Allah Maha Mengetahui seluruh peta perjalanan makhluknya dari alam ruh ke alam akhirat. Peta yang memiliki segala bentuk persimpangan. Allah yang sentiasa memerhatikan kita Maha Mengetahui jalan manakah yang kita akan pilih. Maka, Dia Maha Mengetahui apakah kita akan sampai ke destinasi syurga atau neraka akhirnya. Sungguh, Allah memiliki GPS Maha Canggih yang meneliti perjalanan keseluruhan hidup kita! Apakah Allah memaksa kita menurut hanya satu jalan? Jawapannya tidak sama sekali. Kita bebas memilih simpang. Simpang manakah yang kita akan ikuti? Dan Allah Memerhati.

Seperti biasa, apabila hati melihat tanda-tanda Kebesaran Allah, saya akan bertanya-tanya di dalam hati, apakah ada ayat al-Quran yang bercerita tentang GPS? Al-Quran tidak menyebut tentang GPS. Tetapi ayat memohon bantuan GPS Allah kita baca setiap hari - SEKURANG-KURANGNYA 17 KALI SEHARI, PADA 5 WAKTU YANG BERBEZA. Kita memohon GPS Allah menunjukkan jalan yang lurus ke Syurga Firdaus. Bukan tersesat ke neraka Jahannam! Apa ayatnya????


Surah Al-Fatiha
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (1)
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (2) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. (3) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (4) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). (5) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (6) Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7)